Insan & Komuniti 16 Mar, 2024

Video| Syabas pelajar KUIPs! 3 pelajar antarabangsa tangkas bantu mangsa kebakaran di Kuala Perlis!

@kuips corp comm
Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) ditubuhkan pada 17 Jun 2013 dengan pengambilan pertamanya pada 15 Mei 2014 dengan jumlah pelajar seramai 61 orang untuk dua program pengajian, iaitu Asasi Muamalat dan Diploma Perbankan Islam. Boleh emel: [email protected]

Share this



Tiga pelajar antarabangsa Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang baru selesai solat asar berdekatan Kampung Warna Warni bergegas membantu mangsa kebakaran di Kuala Perlis pada 15 Mac 2024.

Al'amin Muhammad Nafi'u dari Nigeria berkata, ketika dia selesai solat asar bersama rakan-rakannya, mereka dimaklumkan oleh jemaah di masjid bahawa tidak kurang dari dua buah rumah terbakar di kampung itu.

'Saya dan Hamza Sulaiman Ismail yang juga dari Nigeria bergegas ke kampung itu,' sambungnya. 


Al'amin Muhammad Nafi'u dari Nigeria 

Al'amin (dua dari kiri) bersama penduduk cuba memadamkan api.

Al'amin menambah kedengaran penduduk riuh rendah mencari bantuan terutama untuk memadam api supaya tidak merebak ketika itu.

Mereka bersama penduduk terus membantu tanpa mengira siapa.

'Sebagai pelajar KUIPs kami terasa seperti penduduk sekampung situ sebab itulah kami terus membantu dengan orang lain agar dapat memadam api dan tidak merebak lebih teruk,' kata Hamza Sulaiman pula.


Pelajar KUIPs Hamza Sulaiman Ismail turut membantu penduduk.

Al'amin Muhammad turut membantu penduduk yang cemas apabila api mula merebak.

Difahamkan dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun melecur pada bahagian belakang badan, tangan kiri dan kedua-dua kaki akibat kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Seberang Alur itu.

Dalam laporan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Penguasa Bomba Norazwan Hashim, kanak-kanak yang  melecur pada tahap 30 hingga 40 peratus kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Kejadian yang difahamkan berlaku lebih kurang pada jam 5.15 petang itu menyebabkan rumah pertama musnah 90 peratus manakala rumah kedua musnah 60 peratus.


Beginilah keadaan rumah yang terbakar.
Penduduk dihalang menghampiri kawasan rumah yang terbakar.

Sementara itu, Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle yang kini berada di Tawau, Sabah menyatakan kesedihan atas musibah yang berlaku dan berdoa agar Allah menggantikan yang lebih baik kepada mangsa kejadian.

Manakala dalam masa yang sama beliau telah mengarahkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti ini membantu sekiranya bantuan tenaga mereka diperlukan.

"Saya juga mengucapkan tahniah dan bangga atas tindakan segera pelajar-pelajar KUIPs tersebut," sambungnya.

Dalam pada itu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar KUIPs Roshaizam Izuddin Roslan Abd Ghani yang ditemui berkata, mereka bersedia untuk menggerakkan pelajar-pelajar sekiranya penduduk memerlukan bantuan.

“Kami sedia membantu mereka dan sekiranya diperlukan sukarelawan kami akan bergerak kesana nanti,” sambungnya lagi. - KitaReporters/KUIPS


Roshaizam Izuddin 

 

 

 

 

12
12
1
15
0
You will be interested