Insan & Komuniti 16 Mar, 2023

Selamat berpuasa! 5 cara terbaik sambut kedatangan Ramadan! Semoga diberikan ribuan rahmat, berkat!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Kredit Foto: Google image


Ramadan adalah bulan mulia di mana umat Islam seluruh dunia berebut-rebut menggandakan amalan ibadah mereka. Bulan yang menuntut umatnya berpuasa selama sebulan. 

Malah bulan Ramadan juga adalah bulan rezeki buat para peniaga. Lihat sahaja di Malaysia, masuk sahaja bulan Ramadan, maka berduyun-duyunlah orang ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka.

Justeru, kedatangan Ramadan perlulah disambut dan dirai dengan sebaik-baiknya agar ia bermanfaat. Tetapi bagaimana mahu menyambut Ramadan agar kedatangannya memberikan rahmat dan keberkatan buat kita? 

Jom kita semak amalan yang dikongsi oleh website Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ibadat berpuasa

Banyakkan berdoa agar ibadah puasa diberkati Allah SWT. - Kredit Foto: Google Image


Perkara pertama yang harus dilakukan ialah memperbaiki niat sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya”. (Al-Bayyinah: 5)

Maksud ayat ini ialah apa jua ibadah yang dilakukan tanpa niat ia tidak dikira sebagai ibadah. Mungkin boleh jadi ia hanyalah adat kebiasaan sahaja. Justeru, persiap niat kita untuk menghadapi Ramadan ini hanya kerana Allah SWT.

Mungkin bagi sesetengah orang, memperbaik niat adalah perkara enteng. Sebenarnya ia tidaklah semudah mengucapkannya di bibir. Malah, para salaf (sahabat Rasulullah SAW, tabiin, tabi tabiin) juga tidaklah terlepas daripada kepayahan ini. 

Sufyan al-Thauri Rahimahullah meskipun dengan kehebatan ilmu dan kewarakannya juga pernah berkata: “Tidaklah pernah aku merawat sesuatu yang paling sukar melainkan niatku (untuk ikhlas kepada Allah SWT)”. Jika beginilah keadaannya Sufyan al-Thauri apatah lagi kita!


Seterusnya kita pergi kepada perkara kedua iaitu berdoa. Rasulullah SAW dan para salaf menyambut Ramadan dengan berdoa. 

Dalam sebahagian hadis  meriwayatkan mengenai perihal doa Rasulullah SAW untuk diberkati dalam bulan Ramadan dan juga ketika melihat anak bulan Ramadan. Meskipun sesetengah hadis tersebut tidak mencapai taraf sahih namun ia boleh diamalkan berdasarkan keumuman berdoa selagi mana tidak bercanggah dengan syarak dan mestilah tidak menyandarkan doa tersebut pada Rasulullah SAW.

Al-Imam Ibn Rejab al-Hanbali Rahimahullah di dalam kitabnya, Lataif al-Ma’arif menukilkan daripada Ma’la bin al-Fadhl: “Adalah mereka (golongan salaf) berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan supaya disampaikan kepada mereka bulan Ramadan dan enam bulan lagi supaya Allah SWT menerima daripada mereka amalan mereka”.
Beliau juga menyebut daripada Yahya bin Abi Kathir iaitu di antara doa para salaf itu ialah: “Ya Allah, selamatkanlah (sampaikanlah) diriku hingga ke bulan Ramadan, terimalah (pahala) Ramadan untukku dan perkenankanlah amalanku di bulan Ramadan”. 

Perkara seterusnya dilakukan untuk menyambut Ramadan ialah memperbanyak membaca al-Quran. Rebut dan isilah peluang ini sebaik-baiknya kerana Ramadan adalah bulan yang amat istimewa kerana ketika itulah diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk buat sekalian manusia.  

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah". (Al-Baqarah: 185)


Amalan membaca al-Quran pada bulan Ramadan sangat digalakkan. - Kredit Foto: Google Image


Perkara keempat yang boleh dilakukan ketika menyambut kedatangan Ramadan ialah bersedekah dan memberi makan. Alhamdulillah, kalau di Malaysia, ramai yang melakukan amalan ini sama ada disedari atau tidak. Rakyat Malaysia memang dikenali sebagai pemurah dan suka bersedekah. 

Dalam sebuah hadis riwayat al-Imam al-Bukhari Rahimahullah, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang bermaksud: "Adalah Rasulullah SAW seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Rasulullah SAW pada setiap malam pada bulan Ramadan untuk mengulang kaji al-Quran dan kemudiannya Rasulullah SAW menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas." Riwayat Al-Bukhari (3554)

Jelas ini membuktikan bahawa bersedekah pada bulan Ramadan terdapat kelebihannya yang tersendiri. 

Dalam sebuah hadis riwayat Anas RA menyebutkan: "Ditanyakan Rasulullah SAW puasa apakah yang terbaik selepas Ramadan? Jawab Rasulullah SAW: "Puasa pada bulan Syaaban untuk mengagungkan Ramadan". Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdal. Jawab Rasulullah SAW: "Sedekah pada bulan Ramadan". Riwayat Al-Tirmizi (663) dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadis ini gharib. 

Selain itu, memberi makan dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang lain, juga adalah daripada jenis sedekah bahkan mempunyai ganjarannya yang tersendiri. 

Ini seperti mana yang telah diriwayatkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang mana Baginda telah bersabda: "Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa itu". Riwayat Al-Tirmizi (807) dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadis ini hasan sahih.


Kalau bab sedekah, rakyat Malaysia sememangnya pemurah. - Kredit Foto: Google Image


Perkara terakhir atau kelima ialah qiyam. Pasti ada yang tertanya-tanya apa itu qiyam. Qiyam yang dimaksudkan di sini ialah dengan menghidupkan malam hari pada bulan Ramadan dengan beribadah kepada Allah SWT. 

Disunatkan bagi kita untuk menunaikan solat sunat yang dikenali dengan solat tarawih secara berjemaah ataupun bersendirian. 

Terdapat sebuah hadis yang menceritakan tentang ganjaran bagi mereka yang menunaikan qiyam. Ia seperti mana sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah SWT telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam". Riwayat Al-Tirmizi (806), Al-Nassa’ie (1605) & Ibn Majah (1327).
Maka rebutlah peluang ini serta ditambahkan lagi dengan amal-amal yang lain pada siang harinya agar tawaran yang telah disediakan oleh Allah SWT ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh kita.

Semoga amalan ibadah pada Ramadan kali ini lebih baik daripada sebelumnya. 

Pastikan ibadah yang kita lakukan akan menatijahkan taqwa dalam hati sanubari kita sehingga mendapat mardhatillah yang akhirnya melayakkan kita menjadi hamba yang rabbani. Amin!  - KitaReporters


Allah SWT memberikan ganjaran besar kepada sesiapa yang melakukan qiyam. - Kredit Foto: Google Image

12
13
0
12
0
You will be interested