Insan & Komuniti 06 Feb, 2023

Tolong kami! Bantu kami siapkan surau baharu! Pondok Bidayatul Hidayah, Kundasang! Gigih cari dana!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


AHLI Jawatankuasa baharu Pondok Bidayatul Hidayah (PBH) di Kampung Kundasang Lama, Sabah akan terus berusaha gigih untuk menyiapkan pembinaan surau baharu pondok berkenaan walaupun menghadapi pelbagai masalah selepas kerja pecah tanah dilakukan pada Mac 2020.

Faktor masih kekurangan dana serta kenaikan harga barangan binaan seperti simen, besi, kayu dan sebagainya termasuklah kos upah kontraktor di samping bencana alam berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu turut menjejaskan kelancaran pembinaan surau PBH yang terletak berhampiran kaki Gunung Kinabalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Pondok Bidayatul Hidayah

Sebahagian binaan surau baharu PBH yang rancak dalam pembinaan.


Pengerusinya, Mustafa Asad, berkata berikutan pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga memberi kesan sampingan menyebabkan sebahagian tanah yang sudah diratakan diusahakan dengan pelbagai tanaman sayur-sayuran bagi mengelak terbiar begitu sahaja.

Menurutnya, pada masa pandemik itu banyak kerja tertangguh apabila kontraktor tidak dapat meneruskan kerja pembinaan berikutan PKP sebagai mematuhi arahan pihak berkuasa bagi membendung Covid-19.

Jelasnya, pada pertengahan tahun 2022 baharulah kerja pembinaan surau PBH rancak semula membabitkan fasa satu dan dua dengan menggunakan kos dana sumbangan yang diinfak pelbagai pihak berjumlah kira-kira RM80 ribu untuk membina beberapa binaan asas.


Kerja pembinaan bahagian dalam surau baharu PBH dapat diteruskan denghan baik oleh kontraktor terbabit.


“Berikutan kenaikan bahan binaan yang sesetengahnya melebihi sekali ganda pihak pengurusan PBH terpaksa akur apabila kos keseluruhan pembinaan surau baharu itu akan mencecah hampir RM400 ribu walaupun sudah dilakukan pengurangan pembiayaan sebelum ini,” katanya.

Mustafa berkata, sehubungan itu PBH masih mengharap pelbagai pihak untuk sudi menghulurkan sumbangan termasuk dengan membeli 3,750 lot yang ditawarkan pada harga RM100 untuk satu lot bagi membantu menyiapkan pembinaan surau baharu berkenaan.

Menurut beliau, setakat Januari 2023 sudah 45 peratus pembinaan surau dapat disiapkan membabitkan bahagian pembinaan asas yang penting supaya dapat digunakan oleh pelajar PBH serta komuniti penduduk kampung sekitar pada Ramadan nanti.


Sebahagian ustaz dan pelajar menunjukkan poster Jom Berwakaf bagi mencari dana untuk menyiapkan pembinaan surau baharu Pondok Bidayatul Hidayah, di Kampung Kundasang Lama, Sabah. 


Tambahnya, andai kata pembinaan surau itu tidak dapat mencapai pada tahap siap sepenuhnya ia akan tetap digunakan bagi tujuan solat lima waktu, solat tarawih, solat Aidlifitri serta kegiatan kelas pengajian dan kuliah agama akan diteruskan juga.

Jelas beliau, jika ada bahagian tertentu binaan belum dapat disiapkan menjelang Ramadan pihak PBH berharap ruang yang siap dibina mampu menampung lebih 100 jemaah pada satu masa untuk digunakan sepanjang bulan penuh barakah itu.

“Saya berharap kempen Jom Berwakaf yang dilancarkan PBH mendapat sambutan daripada orang ramai termasuk pelbagai organisasi untuk turut sama menyumbang terutama bagi menyediakan kemudahan selesa kepada pelajar PBH kerana sebahagian besar mereka bersemangat mendalami bidang agama,” katanya.


Kelas pengajian agama tetap diteruskan dalam surau lama yang semakin uzur sementara menanti surau baharu siap dibina.


Surau baharu itu amat perlu bagi mengantikan surau PBH sekarang yang diperbuat daripada bahan terpakai termasuk kayu serta papan semakin uzur selain itu tidak sesuai untuk menempatkan pelajar yang datang jauh dari pedalaman.

PBH yang sudah merancang sekian lama untuk membina surau baharu lengkap dengan pelbagai kemudahan asas yang akan turut digunakan komuniti sekitar termasuk penduduk Kampung Kundasang Lama, Ranau untuk solat berjemaah serta mengikuti pengajian agama bersama-sama pelajar pondok.  - KitaReporters


Mustafa (dua dari kanan) bersama-sama sebahagian pelajar selepas mengikuti kelas pengajian kitab.

27
13
0
12
0
You will be interested