Insan & Komuniti 06 Dec, 2025

Telatah si bulus! Tawaran hebat melancong! Topi keledar percuma! Tarannum! Kita Rancakkan Madani!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Berasa terhibur dan hati tercuit melihat telatah si bulus berlari-lari serta melompat menjadi sebahagian daripada tarikan Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di Dataran Putrajaya dari 5 Disember sehingga 7 Disember 2025.


Para pengunjung berpeluang menyaksikan telatah si bulus menerusi Meow Fiesta yang membawakan kucing-kucing comel dari pelbagai baka seperti BSH, Sphynx, Parsi dan banyak lagi untuk anda lihat, pegang, dan jika berkenan boleh dibawa pulang (adoption)!
Seorang pemilik kucing, Mohd Faizal Kamarudin, 42, meminati kucing sejak zaman kanak-kanak lagi, tetapi mula serius memelihara pada tahun 2018. 

"Bermula sekadar suka-suka. Kemudian saya ambil dua ekor kucing baka Maine Coon. Modal pertama saya antara RM17,000 hingga RM20,000.

"Lama-kelamaan mereka membiak. Selepas itu, saya mula berminat pula dengan baka British Shorthair, yang bulunya pendek," katanya ketika ditemui KitaReporters.


Mohd Faizal Kamarudin bersama kucing kesayangan baka Maine Coon yang diberi nama Simba.


Disebabkan minat, beliau menyediakan bilik khas dan sangkar bagi meletakkan sebanyak 13 ekor kucing yang dimilikinya.

"Langkah ini penting supaya kucing-kucing tidak bercampur secara berlebihan dan membiak tanpa kawalan. Dari segi kos, makanan agak tinggi kerana saya berikan makanan kering dan juga makanan basah seperti daging mentah. 

"Selain itu, saya menggunakan pasir kucing jenis kristal dan anggaran perbelanjaan makanan kucing sebulan antara RM1,000 hingga RM1,500," katanya.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai haiwan lain seperti ikan laga, arnab, hamster dan banyak lagi. '

Turut disediakan khidmat konsultasi kesihatan haiwan oleh pakar untuk para pemilik si comel. 


Pengunjung berpeluang membuat pertukaran topi keledar percuma yang ditawarkan sebanyak 5,000 unit sempena Program Rancakkan Madani di Dataran Putrajaya.


Program berskala nasional itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat, 5 Disember 2025 sehingga Ahad 7 Disember 2025.

Dalam pada itu, bagi 'kaki jalan' pula, mereka berpeluang mendapatkan pelbagai potongan harga dan diskaun bagi produk pelancongan domestik secara eksklusif di segmen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TM 2026).
Mini karnival pelancongan ini menghimpunkan ejen-ejen pelancongan terpilih dari seluruh negara. 
Selain tawaran hebat yang ditawarkan, pengunjung turut berpeluang menikmati jualan batik dan produk kraf tempatan, promosi makanan warisan, serta permainan tradisional, di samping mengikuti Tourism Talk bersama pemain industri pelancongan.

Segmen Tahun Melawat Malaysia 2026 menawarkan pelbagai potongan harga dan diskaun bagi produk pelancongan domestik.

Suasana turut dimeriahkan dengan persembahan buskers, penampilan khas maskot TMM 2026, serta demonstrasi dan aktiviti seni interaktif untuk seisi keluarga.

Kira-kira 30 gerai yang menawarkan makanan popular dari seluruh negeri dihimpunkan di Pesta Rasa @ Selera Malaysia.

Sambil menikmati hidangan yang pelbagai, enak dan unik, pengunjung turut disajikan dengan persembahan menarik, ceramah interaktif, serta cabutan bertuah!

Sangat sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, sambil merasai sendiri keunikan cita rasa Malaysia yang dihimpunkan dalam satu lokasi. - KitaReporters


Sebahagian pengunjung yang menyertai aktiviti alunan ayat suci al-Quran menerusi segmen 'Battle Tarannum Qari Malaysia'.
Medan menjamu selera yang menyediakan kira-kira 30 gerai yang menawarkan makanan popular dari seluruh negeri dihimpunkan di Pesta Rasa @ Selera Malaysia.

5
1
0
7
0
You will be interested