Insan & Komuniti 04 Nov, 2025

Video| Tolong balas ya! Abang rider titip pesanan! Seru pelanggan balas mesej! Tapi ramai tak tahu!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Dalam ekosistem e-dagang yang berkembang pesat, peranan rider semakin penting sebagai penyambung terakhir dalam rantaian logistik. 



Mereka bukan sahaja memastikan barangan pelanggan tiba tepat masa, malah bertanggungjawab mengesahkan penerimaan, merekodkan penghantaran, serta menjaga keselamatan bungkusan. Komunikasi melalui mesej ringkas kepada pelanggan menjadi sebahagian prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan proses serahan berjalan lancar. 

Namun, video tular dalam platform TikTok mendedahkan fenomena yang jarang dibincangkan, masih ramai pelanggan tidak mengetahui bahawa mesej yang dihantar oleh rider perlu dibalas bagi tujuan pengesahan. 

Video tersebut dimuat naik oleh penggunaTiktok, @hznrzli, yang secara berseloroh meminta orang ramai ‘sebarkan seperti fitnah’ bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membalas mesej penghantar.



Hasil pemerhatian melalui ruangan komen, ramai pengguna mengakui sebelum ini mereka hanya membaca mesej rider tanpa memberikan maklum balas kerana menyangka ia sekadar notifikasi. Kejahilan terhadap keperluan membalas mesej tersebut dilihat boleh menimbulkan salah faham dan menyulitkan rider menjalankan tugas, terutama apabila proses pengesahan serahan perlu direkodkan sebagai bukti barang telah sampai kepada pemiliknya. 

Video berkenaan meraih lebih 1.1 juta tontonan dan lebih104,000 tanda suka dan mengundang lebih 7,800 komen dalam tempoh dua hari, mencetus gelombang perbincangan mengenai adab komunikasi dan literasi prosedur penghantaran dalam era digital.



Sebenarnya ramai yang tidak tahu mesej daripada rider perlu dibalas walaupun hanya menulis ‘titik’ atau ‘ok’.

“Ooo kena reply rupanya. Ingat macam baca notification je,” tulis salah seorang netizen.

Namun ada juga netizen yang berkongsi sebaliknya apabila mereka sebenarnya sentiasa membalas mesej rider, namun tidak menerima balasan.

“Saya je balas, tapi abang J&T tak reply. Patah hati sis nak balas,” kongsinya.



Selain mesej, @hznrzli juga menyentuh isu berkaitan urusan pembayaran cash on delivery (COD). 

Dia menjelaskan bahawa jumlah caj sebenar adalah RM8.66. Jika pelanggan memilih untuk membayar secara tunai, jumlah tersebut biasanya dibundarkan sedikit kepada RM8.70 bagi memudahkan urusan pertukaran wang. 

Namun, sekiranya pembayaran dilakukan melalui pindahan bank, pelanggan hanya perlu membayar jumlah asal iaitu RM8.66 tanpa sebarang pembundaran. 

Dia turut menegaskan bahawa caj tidak akan dinaikkan sehingga RM9 kecuali atas budi bicara pelanggan sendiri.


Situasi ini mencerminkan keperluan meningkatkan pendidikan penggunaan platform penghantaran dalam kalangan pengguna. 

Meskipun teknologi memudahkan urusan, komunikasi asas antara penghantar dan pelanggan kekal menjadi elemen penting dalam memastikan sistem berjalan lancar dan adil untuk kedua-dua pihak.

Ternyata, video ini bukan sekadar kandungan hiburan, tetapi turut membuka mata masyarakat tentang kepentingan memahami etika digital, terutama membalas mesej ringkas yang sebenarnya membawa implikasi operasi kepada pekerja barisan hadapan dalam sektor logistik. - KitaReporters


9
13
0
11
0
You will be interested