Insan & Komuniti 01 Oct, 2025

Haram tetap haram! Johor kekal bertegas! Larang penjualan rokok elektronik! Demi kesihatan rakyat!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this

Johor tidak akan berkompromi dalam isu kesihatan awam khususnya berhubung  perintah larangan penjualan rokok elektronik yang telah diharamkan penjualannya di negeri ini sejak sembilan tahun lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon ketika menyertai operasi larangan penjualan rokok elektrik atau vape. - Kredit foto: Facebook Ah Soon.


Johor menjadi antara negeri terawal di Malaysia yang mengambil langkah berani menguatkuasakan perintah larangan penjualan rokok elektronik atau vape.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, larangan tersebut bukan keputusan biasa, sebaliknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, yang ketika itu Sultan Johor.

"Bermula tahun 2016, garis tegas itu dikuatkuasakan tanpa kompromi, tidak satu pun daripada 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor diberikan kuasa untuk meluluskan lesen menjual produk berkaitan rokok elektronik.


Ling Tian Soon menunjukan antara rokok elektronik yang dirampas di salah sebuah permis menjual rokok elektronik di Johor. - Kredit foto: Facebook Ah Soon.


"Ini membuktikan Johor serius mendahulukan kesihatan rakyat berbanding kepentingan ekonomi jangka pendek. 

"Pada kala ada negeri lain masih bergelut mencari pendekatan terbaik, Johor sudah menetapkan pendirian jelas bahawa rokok elektronik tiada tempat di bumi Johor," katanya dalam satu kenyataan pada 27 September 2025.

Menurutnya, penguatkuasaan bukan sekadar di atas kertas sebaliknya operasi pembenterasan terus dilaksanakan oleh pihak berwajib khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) secara berkala.

Hasilnya dalam satu operasi terbaharu di negeri  Johor, pada hujung bulan September 2025, sejumlah 1,997 unit rokok elektronik serta produk berkaitan berjaya dirampas dan dalam operasi sama, 10 notis amaran turut dikeluarkan kepada pihak yang cuba melanggar peraturan.

Angka itu memberi gambaran jelas bahawa cubaan untuk menjual tetap ada, namun penguatkuasaan berterusan memastikan usaha pihak tidak bertanggungjawab dapat dibendung.


Kedegilan peniaga menjual rokok elektronik untuk mendapat keuntungan segera tanpa menghiraukan kesihatan awam menerima padah. - Kredit foto: Facebook Ah Soon.


Katanya, produk rokok elektronik semakin berani dipasarkan secara terbuka, termasuk melalui media sosial dan saluran tidak rasmi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, namun dengan kerjasama orang awam, aktiviti sebegini lebih mudah dihidu.

Keunikan reka bentuk moden, variasi perisa dan gaya penggunaan yang kelihatan “trendy” menjadikan rokok elektronik sangat mudah menjerat golongan muda khususnya remaja yang terdedah kepada persepsi kononnya vape lebih selamat berbanding rokok biasa.

Hakikatnya, kajian perubatan membuktikan sebaliknya bahawa bahan kimia dalam rokok elektronik boleh menjejaskan paru-paru, sistem pernafasan dan memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak pernah mengiktiraf vape sebagai alternatif lebih selamat.

Ujarnya lagi, Johor bukan satu-satunya negeri yang mengambil pendirian tegas berhubung perkara ini, Singapura misalnya sudah lama mengharamkan sepenuhnya rokok elektronik. 

Thailand dan Brunei juga turut memilih pendekatan sama, sekali gus menunjukkan trend serantau semakin condong ke arah larangan menyeluruh demi kesihatan awam.


Walaupun negeri Johor sudah menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik sejak sembilan tahun lalu, masih ada peniaga yang berdegil. - Kredit foto: Facebook Ah Soon.


Ini menjadikan usaha Johor bukan sekadar keputusan lokal, tetapi sebahagian daripada gerakan global mengekang pengaruh produk nikotin moden terhadap generasi muda.

Walau bagaimanapun, cabaran sebenar ialah kesedaran masyarakat. Ramai masih memandang ringan risiko rokok elektronik dan terpengaruh dengan iklan atau testimoni pengguna yang menganggapnya tidak berbahaya.

Di sinilah peranan advokasi awam sangat penting. Kempen pendidikan kesihatan perlu diperkasa, khususnya di sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi memberi kefahaman awal tentang bahaya rokok elektronik.

Pakar kesihatan menegaskan, nikotin tetap nikotin, walau dibungkus dalam bentuk moden atau dipersembahkan dengan perisa buah-buahan, memandangkan kesan ketagihan tetap sama, malah lebih mudah menjerat kerana kelihatan “selamat” pada pandangan mata. 


Ling Tian Soon melihat pelbagai jenis rokok elektronik yang dipamerkan untuk jualan secara terbuka ketika menyertai salah satu operasi larangan penjualan rokok elektronik.-Kredit foto: Facebook Ah Soon.


Kerajaan Negeri Johor turut mengingatkan orang awam agar memainkan peranan bersama. Sekiranya mengesan aktiviti penjualan rokok elektronik, laporan boleh dibuat kepada pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Kesihatan negeri.

"Tindakan sebegini bukan sekadar melindungi diri, tetapi juga melindungi generasi akan datang daripada budaya ketagihan nikotin yang kian berbahaya.

"Larangan ini juga selari dengan agenda kesihatan awam negara yang menekankan pencegahan penyakit, bukan hanya rawatan tetapi dengan menutup pintu awal kepada rokok elektronik dan Johor sedang berusaha membina benteng yang lebih kukuh untuk masa depan rakyatnya," katanya. - KitaReporters


Pelbagai jenis dan reka bentuk rokok elektronik yang masih dijual  secara terbuka menarik golongan remaja untuk mencuba.-Kredit foto: Facebook Ah Soon.


15
9
0
7
0
You will be interested