Kehidupan di
apartment atau kondominium menuntut tahap toleransi yang tinggi. Dengan unit
kediaman yang saling berhampiran, setiap pergerakan, bunyi dan aktiviti mudah
kedengaran antara satu sama lain. Justeru, adab serta pematuhan undang-undang
komuniti menjadi asas penting bagi memastikan keharmonian hidup berjiran terus
terpelihara.
Maka. isu kebisingan termasuk berkaraoke di kawasan kediaman bertingkat-tingkat bukan perkara baharu.
Namun, video dimuat naik pengguna TikTok, @fadysapphire, mencetuskan perbincangan hangat rakyat Malaysia mengenai pentingnya menjaga ketenteraman bersama.
Dalam video berdurasi kurang satu minit itu, dia merakam kehadiran anggota keselamatan yang naik ke unit tingkat atas selepas menerima aduan mengenai bunyi bising sebab berraole pada jam 1 pagi.
“Jam 1 pagi, tolonglah hormat orang lain nak tidur” tulisnya.
Tindakan unit bawah yang terus menghubungi pihak keselamatan menggambarkan betapa seriusnya gangguan yang berlaku pada waktu tersebut.
Kejadian itu turut menarik pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Seorang netizen memuji tindakan pantas pihak keselamatan kediaman tersebut. “Bagus guard ni naik sampai atas,” tulisnya.

Sementara itu, Fady menjelaskan bahawa aduan tersebut dimulakan oleh unit di bawahnya, bukan daripadanya sendiri.
Netizen lain pula menegaskan inilah tujuan bayaran penyelenggaraan dikenakan kepada semua penghuni. “Tu la function bayar maintenance fee mahal-mahal,” komennya.
Namun, ada juga
yang berpendapat pengawal keselamatan dalam video tersebut dilihat kurang tegas.
“Cuma guard ni tak tegas. Guard kawasan saya sekali keluar suara
terus orang takut,” ceritanya.
Selain itu dalam ruangan komen, ramai turut berkongsi pengalaman masing-masing berdepan isu jiran bising, terutamanya selepas tengah malam.
Seorang netizen mengingatkan bahawa kebanyakan kondominium sememangnya melarang sebarang bunyi bising selepas jam 12 malam.

“Ikut logik
semua tempat memang tak boleh selepas 12am buat bising. Mungkin unit tu ingat
masa tu 1 petang kot,” balas Fady.
Tidak kurang juga yang berkongsi kisah peribadi.
Netizen tersebut menceritakan betapa berhati-hatinya dia menguruskan rumah agar tidak mengganggu jiran bawah, termasuk melarang anak berlari, tidak menggunakan batu lesung dan menarik kerusi perlahan-lahan.
Ada juga yang bertanya mengapa polis tidak dipanggil, namun Fady menjelaskan bahawa ketika itu pengawal keselamatan sudah berada di depan unit tersebut selepas menerima aduan rasmi.

Insiden yang tular ini mengingatkan masyarakat tentang hak dan tanggungjawab ketika tinggal di kawasan kejiranan.
Walaupun setiap penghuni berhak untuk menjalani kehidupan selesa di unit masing-masing, mereka turut bertanggungjawab memastikan perbuatan sendiri tidak menjejaskan ketenangan orang lain.
Isu ini juga membuka mata tentang pentingnya peraturan komuniti serta kepentingan menghormati waktu malam. - KitaReporters
