Insan & Komuniti 07 Jan, 2026

Bagaikan satu keluarga! Kelas ilmu Ustazah Siti Hajar satukan ahli-ahli! Berilmu bersama berbakti!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this

Orangnya sangat peramah. Mesra dan disayangi jemaahnya. Setiap tutur katanya umpama seorang ibu memasihati anak-anaknya dengan penuh kasih sayang.

Separuh hidupnya diabadikan kepada Muslimat yang menimba ilmu daripadanya tanpa belah bagi, jauh sekali mengeluh.



Kelas Al-Quran Fardu Ain Muslimat Masjid (AQFAMM) sedang berjalan.


"Inilah saja amal jariah yang saya boleh buat untuk berkongsi ilmu anugerah Allah kepada saya," kata Ustazah Siti Hajar Ahamad.

Wanita kelahiran Pulau Pinang ini menamatkan pelajarannya sehingga Tingkatan 5 dengan memperoleh Tauliah Tajwid dan Fardu Ain.

"Sekarang saya mengajar 5 kelas Al-Quran Fardu Ain Muslimat Masjid (AQFAMM), sekali seminggu di cawangan AQFAMM Raudhatul Jannah dan kelas tajwid sekali seminggu di Khairunnisa," katanya.

Kelas selebihnya diuruskan oleh Ustazah Salmiah Abd Wahab.

Ustazah Siti Hajar berkata, masa beliau dihabiskan dengan rutin mengajar 5 kelas AQFAMM yang diadakan pada hari Sabtu, Ahad, Isnin, Rabu dan Jumaat dari pukul 8.30 -11.30 pagi, manakala di Raudhatul Jannah (RJ) dan Khairunnisa' dari jam 3 ptg-5 ptg.

"Walaupun diberi saguhati oleh pihak masjid dan jemaah kelas, saya lebih reda melakukan tugasan ini dengan ikhlas kerana Allah. Yang diberi saya anggap rezeki yang Allah atur untuk saya," tambahnya.

Ustazah Siti Hajar juga terlibat dengan ceramah dan tazkirah di daerah Kota Setar, Gurun dan Sik.

"Alhamdulillah saya bersyukur kerana ahli-ahli telah bertambah menjadi  230 orang yang mana asalnya hanya 7 orang," ujar ustazah Siti Hajar lagi.


Ustazah Siti Hajar Ahamad.


Ustazah Salmiah Abd Wahab.


Selain itu, Ustazah Siti Hajar berkata, peluang berdamping dengan masyarakat pada majlis bacaan Yasin, tahlil, tahnik dan berselawat, serta ziarah kasih ahli dan masyarakat setempat yang diuji adalah masa yang sangat berharga buat beliau.

"Apa lagi bila dapat menggembirakan mereka yang tidak berkemampuan dengan memberi sedikit sumbangan ihsan

bagi meringankan beban dan saya sangat bersyukur,' jelasnya.

Sebagai orang berpengalaman yang banyak melihat ragam manusia dan kehidupan mereka yang terumbang ambing, Ustazah Siti Hajar berkata beliau berharap kelas mengaji dan fardu ain ini bukan setakat kelas pengajian sahaja tetapi tempat ahli-ahlinya berhimpun dan menguatkan silaturahim sebagai satu keluarga.

"Semoga ahli-ahlinya dapat hidup sebagai satu keluarga Islam yang menerapkan nilai nilai kekeluargaan yang sebenar di sisi Allah  SWT," kata Ustazah Siti Hajar menutup cerita.


Cara solat yang betul turut diajarkan.


Che Noraini Morad


Sementara itu, Che Noraini Morad bekas Penasihat kumpulan ini berkata pada peringkat awal besar cabaran, ramai yang memerlukan bimbingan 100% dalam bacaan iqra' dan al-Quran.

Namun dalam masa yang singkat, semua berjalan mengikut dirancang dengan bantuan Allah SWT.

"Syukur penambahan ahli terus meningkat dan pelbagai bentuk jawatankuasa penggerak merancang pelbagai program dan aktiviti sehingga berjaya menjadi seperti hari ini" ujarnya.

Pada masa yang sama, pihaknya berusaha menambah peralatan seperti almari untuk simpan al-Quran, telekung dan rehal supaya nampak tersusun kemas dan sedap mata memandang.

"Kami juga mengenakan infak bulanan RM5 seorang kepada ahli-ahli sebagai belanja pengurusan RJ ke arah urusan perbelanjaan dan kebajikan ahli," tambah Che Noraini lagi.

Pencapaian yang sangat membanggakan RJ adalah apabila ramai ahli yang sebelum ini kurang mahir membaca al-Quran, tetapi sekarang bertambah mahir sama ada dengan usaha sendiri dan juga dengan bimbingan Ustazah Salmiah.

Begitu juga dengan pengajian fardu ain sebulan sekali oleh Ustazah Siti Hajar sangat membantu dalam  pemahaman urusan ibadah terutama bab solat dan hal-hal berkaitan kehidupan sebagai  hamba Allah.


Ahli-ahli AQFAMM Raudhatul Jannah hadir pada majlis penyerahan telekung.


"Sebagai tambah nilai, diselitkan juga nilai solat melalui bengkel bijak solat, menyedia hadiah galakan dan sebagainya," jelas Che Norainii.

Menurutnya, beliau berperasaan gembira dan bersyukur apabila melihat silaturahim dan kerjasama antara ahli-ahli sekampung bertambah erat dan padu.

"Saya dapat melihat dan sangat bangga dengan perkembangan dan pencapaian keseluruhan Muslimat RJ sehingga hari ni.

"Semoga mereka terus istiqamah untuk berada dalam Raudatul Jannah bersama dalam taman ilmu, mengimarah dan meneroka ilmu al-Quran dan fardu Ain bagi memantapkan iman, rujukan dan panduan sepanjang menyusuri usia berbaki," doanya.

Che Noraini juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Jafni Hashim, Pengarah LHDN Selangor yang menginfaq PA system kepada kumpulan RJ.

Che Noraini yang meletak jawatan sebagai Penasihat atas sebab sebab kesihatan bagaimanapun terus terlibat sebagai AJK penggerak dan pelajar. - KitaReporters


Kumpulan ahli-ahli AQFAMM Raudhatul Jannah bergambar berama-ramai selepas selepas majlis.

15
10
0
9
0
You will be interested