
NINI, mangsa langgar lari.
WAKTU sesudah subuh selepas ini pasti tidak sama lagi bagi penulis. Sesuatu sudah hilang. Pemergian yang tidak akan kembali lagi.
Sejak lebih sebulan lalu, kepulangan penulis daripada solat subuh berjemaah di Surau Jabal Nur, Fasa 8, Taman Seri Gombak yang berjarak hanya 100 meter dari rumah penulis, disambut oleh Nini.
Anak kecil itu akan berlari-lari mendapatkan penulis, mengikut penulis sehingga masuk ke rumah. Kadang-kadang, penulis mendukungnya. Ia sangat manja dengan penulis.
Kehadirannya yang tidak diundang sejak Mei 2025 lalu menceriakan rumah kami. Walaupun kami tidak tahu dari mana ia datang dan asal usulnya tapi kami tetap menerimanya dengan tangan terbuka sebagaimana kami menerima kedatangan Niki, Jojo dan Gurgirl dulu.

NIKI (kiri) dan Gurgirl.
Niki dulu penulis temui dalam enjin kereta. Begitu juga Jojo, sementara Gurgirl tiba-tiba muncul di muka pintu pada suatu pagi, merengek-rengek kelaparan.
Nini (nama yang kami beri kepada si kecil itu) ditemui di bawah kereta yang diparkir di depan rumah. Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, anak-anak penulis membawanya masuk ke dalam rumah dan menjadi ahli keluarga baharu kami.
Kadang-kadang penulis terfikir, mengapa dalam banyak-banyak kereta, kenapa kereta penulis yang menjadi tempat untuk mereka berlindung. Nasib baik di dalam enjin, kalau di bawah tayar, mahu tergilis kalau penulis tidak sedari.
Begitu juga penulis terfikir, mengapa dalam banyak-banyak rumah di sekitar taman itu, rumah penulis yang jadi pilihan untuk mereka menumpang teduh dan kasih.
Boleh dikatakan, tidak putus-putus rumah penulis dikunjungi, ada yang sekadar singgah beberapa hari untuk makan dan ada yang akhirnya menetap terus bersama kami.

NINI ketika baru menjadi ahli keluarga penulis.
Di rumah penulis, memang sentiasa tersedia makanan untuk insan-insan ini. Mungkin itu yang menyebabkan rumah kami jadi pilihan. Siapa tahu dalam kalangan mereka, ia menjadi tular sehingga banyak yang datang untuk mencari sesuap makanan.
Penulis sebenarnya bukanlah pencinta kucing tapi bila ada kucing yang datang, walaupun tidak tahu asal usulnya, tidak sampai hati untuk membiarkan mereka begitu saja. Paling tidak, beri mereka makan dan jika masih bayi, disediakan sangkar untuk berlindung.
Bagi penulis, ia adalah satu tanggungjawab dan amanah Allah SWT kepada kami untuk menyantuni si bulus-si bulus ini. Lagi pun penulis percaya kata orang, kucing sentiasa membawa rezeki kepada kita.
Setakat ini, kami tidak pernah papa kedana kerana memberi makan kucing walaupun kos untuk makanan mereka bukan murah. Itu belum lagi kos rawatan jika mereka sakit. Tapi, kami lakukan dengan ikhlas.


PANTANG penulis baring, pasti Nini tumpang tidur.
Sebagaimana ikhlas kami memelihara Niki, Jojo dan Gurgirl, begitulah ikhlasnya kami menyantuni Nini. Ketika dia hadir dalam hidup kami, Nini masih terlalu kecil, pada jangkaan penulis, ia masih menyusu.
Menjadi kebiasaan kami (penulis dan isteri) membahasakan diri kami abah dan mama kepada kucing-kucing itu kerana menganggap mereka bagai anak-anak kami sendiri. Bila anak-anak semua keluar bekerja, merekalah menjadi peneman kami di rumah.
Kadang-kadang bila penulis dan isteri ke luar daerah, hati tidak senang memikirkan ‘anak-anak’ kami itu di rumah. Selalunya, setiap kali isteri menelefon anak-anak, soalan pertama ditanya adakah Niki, Jojo, Gurgirl dan Nini dah makan?
Nini sangat manja dengan penulis. Pantang penulis berbaring, ia akan naik ke atas badan dan tidur dengan nyenyaknya. Anak-anak selalu mengusik, Nini suka tidur di atas tilam Bono, merujuk perut penulis yang empuk bak tilam.

NINI dan Gurgirl. Gambar ini dirakam pada Selasa, 15 Julai, 2025, sehari sebelum tragedi menimpa Nini.
Tapi, hari-hari selepas ini tidak sama lagi tanpa Nini. Tidak ada lagi Nini menunggu penulis pulang dari solat subuh berjemaah di surau. Tidak ada lagi Nini yang suka tidur di atas tilam Bono.
Pagi Rabu, 16 Julai, 2025, sebagaimana pagi-pagi sebelumnya, Nini setia menunggu penulis pulang dari surau. Dalam jarak kira-kira 20 meter untuk penulis sampai ke rumah, Nini berlari-lari hendak dapatkan penulis.
Pada masa sama penulis nampak sebuah kereta datang dari arah bertentangan, dipandu dengan laju. Penulis berlari hendak dapatkan Nini sambil membuat isyarat tangan supaya kereta itu berhenti.
Tapi, sama ada pemandu kereta itu tidak nampak isyarat diberikan atau tidak sempat memperlahan kereta, ia terus meluncur melepasi penulis sementara Nini pula sudah tergolek di tengah jalan dalam keadaan kaku.

GURGIRL menatap wajah Nini buat kali terakhir.
Penulis segera berlari mendapatkan Nini, mendukung dan memeluknya sambil memanggil namanya tapi tiada tindak balas daripada Nini. Rasa lemah sendi penulis ketika itu.
Penulis terus berlari balik ke rumah sambil memanggil anak-anak penulis. Kelam-kabut anak-anak turun untuk melihat apa yang terjadi.
“Nini kena langgar,” beritahu penulis dalam esak tangis.
Tubuh Nini sudah kaku. Nafasnya sudah terhenti. Nadinya tidak berdenyut lagi. Nini sudah pergi. Pagi itu kami sekeluarga meratapi pemergian Nini. Banjir air mata rumah kami. Kematian Nini ibarat kehilangan ahli keluarga.

NINI selamat disemadikan.
Begitulah putaran hidup makhluk ciptaan Allah, bila-bila masa jika mahu dijemput-Nya, tetap dijemput tanpa kita dapat menghalang.
Kami akan merasai kehilangan Nini. Begitu juga Gurgirl yang memang rapat dengan Nini kerana sering menjadi teman bergurau.
Nini hanya sempat menumpang kasih kami beberapa bulan saja tapi sepanjang bersama, kami sudah memberikan yang terbaik, semampu kami.
Kata jiran saya, Mrs Eng ketika memujuk saya yang kesedihan semasa mengorek liang lahad untuk mengkebumikan Nini, “Accept it. God dah panggil dia.”
Ya, kami reda dengan pemergianmu Nini kerana kami tahu di sana, Allah akan memeliharamu. - KitaReporters