Dalam menghadapi cabaran dunia masa kini yang kian kompleks, peranan ibu bapa sebagai benteng pelindung dalam keluarga amat penting.

Beberapa insiden membabitkan kanak-kanak dan remaja yang tular baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa pengawasan dan perhatian ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan anak-anak terpelihara.
Ibu bapa bukan sahaja perlu memastikan keperluan fizikal anak-anak dipenuhi, tetapi bertanggungjawab membentuk emosi, sahsiah dan nilai diri mereka.
Suasana keluarga yang penuh kasih sayang, komunikasi terbuka serta perhatian yang berterusan mampu menjadikan rumah sebagai tempat perlindungan yang selamat dan menenangkan bagi anak-anak.
Selain itu, bimbingan agama, penerapan nilai-nilai murni dan pengukuhan akhlak mulia perlu diberi keutamaan sejak usia muda.
Pendidikan rohani dan moral yang kukuh menjadi benteng utama dalam diri anak-anak untuk menolak pengaruh negatif termasuk media sosial dan rakan sebaya.

Dr Wan Azizah wan Ismail dan Nancy Shukri menyaksikan bagaimana permainan bola sepak orang cacat penglihatan.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam memantau perkembangan anak-anak, memahami keperluan serta cabaran yang mereka hadapi, dan menjadi contoh teladan yang baik dalam setiap aspek kehidupan.
Beliau berkata, dengan asas keluarga yang kukuh dan berpaksikan kasih sayang serta nilai agama, generasi muda akan lebih bersedia menghadapi dunia luar dengan jati diri yang kuat dan akhlak yang terpuji.
"Setiap kali kejadian sebegitu tular, kita tertanya-tanya apakah yang berlaku kepada anak-anak kita.
"Sedar atau tidak anak kita kini berdepan tekanan dan pengaruh yang semakin kompleks daripada media sosial, rakan sebaya hinggalah kepada cabaran kesihatan mental, namun dalam setiap cabaran, ingatlah keluarga adalah benteng perlindungan utama.

Demonstrasi belajar bahasa isyarat sempena Bulan Keluarga Kebangsaan 2025.
"Satu lagi perkara utama ingin saya tekankan dalam usaha membentuk keluarga harmoni ialah menerusi bimbingan agama, nilai murni dan akhlak mulia supaya anak kita mempunyai benteng lebih kuat untuk menolak pengaruh negatif.
"Kita perlu prihatin dan bertanya apa yang berlaku di sekolah dan pergaulan mereka. Kita perlu pantau aktiviti media sosial anak, mengenali perubahan emosi atau tingkah laku mereka dan buka ruang kepada anak bercerita tanpa membuat penilaian awal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2025, di Padang Semarak, Taman Wetland, Putrajaya.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff.

Jualan Rahmah Madani menawarkan harga berpatutan sempena Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan program Pakej Kasih Madani 2.0 sebagai langkah proaktif memperkukuh hubungan pasangan suami isteri dan peranan bapa sebagai tonggak keluarga.
Bertemakan 'Kasih Keluarga, Bahagia Bersama', sambutan November BKK 2025 adalah seruan kepada penghayatan nilai 'Kasih' merangkumi kasih sayang, akhlak mulia, gaya hidup sihat, pencapaian ilmu yang memupuk pemikiran kritis dan celik maklumat serta suasana harmoni.

Kanak-kanak teruja melihat ular sawa di petting zoo.
Selain 23 reruai pameran dan jualan daripada pelbagai agensi yang menjadi rakan strategik kementerian, acara lain yang diadakan ialah urutan kesejahteraan dan penjagaan selepas bersalin, promosi pakej perkahwinan Rahmah dan tawaran istimewa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) seperti diskaun bagi taman tema, hotel dan inap desa (rumah inap atau homestay).
Turut diadakan ialah demonstrasi belajar bahasa isyarat, petting zoo, Soopa Doopa, permainan tradisional, wayang pacak, aktiviti pemerkasaan bapa membabitkan campervan, santai karom, setem keluarga, karikatur keluarga, Malam Kasih Keluarga dan Jualan Rahmah Madani.

Permainan karum mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Sementara itu, Nancy Shukri berkata, KPWKM memperkenal pendekatan baharu melalui Pakej Kasih Madani 2.0 bagi memperkukuh peranan bapa sebagai tonggak utama dalam pembentukan keluarga sejahtera.
"Pakej itu diwujudkan bagi menggalakkan golongan bapa memahami peranan mereka sebagai pemimpin keluarga serta berkongsi tanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan rumah tangga.
“Kita mahu mereka (bapa) memainkan peranan penting dalam kepimpinan. Bagi mereka, dia (bapa) ketua keluarga, tetapi yang menjalankan tugasan lain di rumah ialah ibu.
“Jika suami hanya mengharapkan isteri untuk melakukan semua tugas penting, hal ini tidak betul kerana memerlukan tanggungjawab bersama. Bukannya tentang bertukar peranan, tetapi tentang mengimbangi peranan,” katanya.
Pakej KAasih Madani 2.0 dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan penglibatan para akademik serta pakar rujuk bidang kekeluargaan termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). - KitaReporters

Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nancy Shukri bergambar kenangan bersama orang ramai yang hadir sempena Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025.