Insan & Komuniti 07 Oct, 2022

Video| Razak Shahuddin pesakit strok! Bahagia hidup sendirian, berdikari! Bersama 12 ekor kucingnya!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this


SEORANG pesakit strok berusia 52 tahun bahagia tinggal bersendirian bersama 12 ekor kucing yang menjadi penemannya sejak beliau sakit strok 4 tahun lalu di Sabak Bernam, Selangor. 

Razak Shahuddin mengalami Hemeoragicstroke atau strok pendarahan otak pada bulan Julai 2018, ketika itu beliau berusia 48 tahun. 

Dia yang pernah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak berusia antara 16 hingga 28 tahun mengambil keputusan untuk tidak menyusahkan keluarga dan anak-anaknya dan tinggal di sebuah rumah di belakang Masjid Al-Marzuqiyyah, Kampung Batu 4 Sepintas, Sabak Bernam


Lagi cerita-cerita sedih berkaitan penyakit dan pesakit strok

Razak Shahuddin


Kata Razak sebelum ini beliau tinggal bersendirian di sebuah rumah yang agak terpencil di sebuah ladang kelapa sawit, di Sabak Bernam. Dengan keadaan strok yang dialaminya menyebabkan beliau sukar keluar membeli makanan atau membeli keperluan harian. 

Untuk ke hospital buat fisio juga terlalu jauh. Beliau kemudiannya ditawarkan untuk tinggal di sebuah rumah di dalam kawasan masjid berkenaan oleh qariah masjid yang bersimpati dengannya. 

Oleh kerana beliau sering datang ke masjid, ramai yang kenal beliau dan mengesyorkan beliau tinggal di rumah dalam kawasan masjid untuk memudahkan beliau memperolehi keperluan harian dan ada jiran-jiran sekeliling yang boleh bantu beliau

Selain itu, beliau juga diamanahkan untuk menjaga persekitaran masjid


Razak bersama seorang rakan yang menziarahi beliau di rumahnya di Sabak Bernam.


Semangat juang Razak sangat tinggi walaupun strok yang dialaminya telah menyebabkan sebelah kiri badannya lemah dan tangan kirinya sukar untuk digerakkan

Beliau cekal menjalani kehidupan hidup seperti orang biasa, boleh urus diri dengan baik dan tidak merasakan kecacatan dirinya satu halangan untuk dia hidup cara normal

Kata Razak, tinggal bersendirian sangat membahagiakan dia kerana beliau boleh membuat apa-apa kerja dan hobi yang diminatinya tanpa ada orang atau pihak yang kurang senang dengan apa yang dia buat. 



Razak menganggap semua yang terjadi adalah takdir dalam hidupnya. 

Walaupun kadangkala ada juga rasa sedih dalam hatinya bila anak-anaknya jarang menjenguk beliau di sana, beliau tetap bahagia hidup dengan12 ekor kucing comel yang dijaganya

Menurut Razak kucing-kucing yang dijaganya sangat berdisiplin, kucing-kucing ini jarang membuang air merata rata sebaliknya mereka pandai masuk ke tandas dan ini memudahkan kerja Razak membersihkan najis kucing-kucing berkenaan. 

Razak juga memberitahu walaupun dalam keadaan dirinya berkerusi roda dan lemah badan sebelah kiri, dia menjaga rumah tempat dia tinggal dengan bersih agar dia selesa dan kucing-kucing berkenaan juga selesa hidup dengan dia. Razak sentiasa menyapu, vakum dan mop rumahnya sehari dua kali dan kadang lebih, katanya.



Menurut Razak lagi beliau boleh memasak makanan yang mudah untuk dirinya. Aktiviti hariannya mengemas rumah dan persekitaran tempat tinggalnya selain buat video kucing-kucingnya.  

Kata Razak, beliau suka membuat video mengenai kucing-kucing comel yang dijaganya. Ini adalah satu kepuasan dan kebahagiaan dalam hidupnya. '

Dalam link TikToknya @aku_oku beliau banyak membuat video bersama kucing-kucingnya yang cantik cantik. Memang kagum melihat kegigihan Razak menjaga kucing-kucing di samping membersihkan rumah walaupun beliau seorang OKU. 



 Ketika ditanya mengapa dia tak mahu tinggal di pusat penjagaan dan lebih terjamin hidupnya, Razak berkata dia jenis orang yang suka tinggal kawasan kampung dan gemar buat macam-macam kerja walaupun dalam keadaan dirinya yang dalam serba kekurangan. 

Tinggal bersendirian banyak mengajarnya menjadi seorang yang berdikari, untuk survival hidupnya. Dia juga boleh teruskan hobinya menjaga kucing dan sentiasa bahagia dengan cara hidupnya sebagai OKU sekarang.  

Dia mendapat bantuan JKM sebanyak RM300 tiap bulan. Duit itu yang dia belanja setiap bulan untuk meneruskan kehidupannya. 

Razak berpesan pada mereka yang kena strok dan senasib dengannya agar jangan terlalu sedih dan meratapi takdir yang telah ditentukan untuk mereka.

"Jangan kecewa dan putus asa, sebaliknya bangun dan teruskan semangat untuk hidup dan belajar untuk berdikari

"Tak selamanya orang boleh jaga kita dan simpati dengan kita yang sakit macam ni. Jadi kuatkan semangat dan belajar untuk mengurus diri sendiri tanpa bantuan orang lain, insya-Allah  kita akan rasa lebih bersemangat dan sentiasa kuat untuk meneruskan sisa sisa hidup ini" katanya. - KitaReporters


19
10
0
13
0
You will be interested