
DATUK Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan kepada Abdul Wahab Aziz. - Kredit foto BERNAMA.
“ABANG jangan tak datang, rugi. Banyak dapat tu nanti,” kata seorang sahabat mengingatkan Abdul Wahab Aziz supaya hadir pada majlis ‘Raya Sama-Sama’ anjuran bersama Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). pada 17 Mac 2025 lalu.
Ketika itu Abdul Wahab berbelah-bahagi sama ada hendak pergi
atau sebaliknya. Keuzurannya menyebabkan beliau tidak yakin untuk memandu bersendirian
dari Bangi ke Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Kuala
Lumpur, apatah lagi hendak menghadapi kesesakan jalan raya semasa pulang nanti.
Anak menantu serta cucu semua sibuk dengan urusan masing-masing. Walaupun sahabatnya itu beria-ia meyakinkan dirinya bahawa sumbangan yang bakal diterima daripada Tabung Kasih @ Hawana itu berjumlah empat angka, namun dia menganggap ia hanya gurauan.
Sahabatnya itu jugalah yang berusaha mencadangkan namanya kepada sekretariat Tabung Kasih @ Hawana untuk dipertimbang sebagai salah seorang penerima sumbangan.
“Ah, paling banyak pun RM500,” fikir Abdul Wahab.

ABDUL Wahab memiliki pengalaman hampir 50 tahun dalam bidang media.
Begitupun kesungguhan sahabatnya itu yang sanggup datang menjemputnya di Bangi semata-mata bagi memastikan beliau hadir ke majlis itu akhirnya membawa Abdul Wahab ke sana.
Agak memeranjatkan, beliau menerima layanan Istimewa apabila ditempatkan di meja VIP bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta tetamu-tetamu VIP lain seperti Pengarah Urusan Mydin Holding, Datuk Dr Ameer Ali Mydin.
“Kelu lidah saya. Apa saya nak bualkan dengan menteri nanti,” fikir Abdul Wahab sementara menunggu ketibaan Menteri Komunikasi.
Walaupun berpengalaman hampir 50 tahun dalam dunia kewartawanan namun kali ini beliau berasa agak kekok kerana tetap menganggap dirinya kerdil untuk diberi penghormatan sebegitu rupa.
Selama ini, terutama selepas bersara sepenuhnya dari dunia persuratkhabaran pada 2013, Abdul Wahab berasakan dirinya ibarat ‘kain buruk’ yang dipedulikan lagi.

ABDUL Wahab berbual dengan Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur'ul Afida Kamaludin sebelum bermula majlis.
Namun, diberi penghormatan sebegitu rupa segera menangkis tanggapan itu. Ternyata masih ada yang prihatin serta mengambil berat mengenai dirinya.
“Saya berasa sangat terharu,” kata Abdul Wahab. “Apatah lagi dilayan begitu mesra oleh penganjur termasuk Datuk Fahmi yang ramah bertanya khabar saya malah menyebut nama saya dalam ucapannya,” tambahnya.
Fahmi dalam ucapannya memetik nama Abdul Wahab kerana tertarik dengan pengalaman warga media itu berdasarkan kad akhbar dan perakuan media yang dipamerkan oleh bekas penyunting berkenaan di atas meja.
“Saya tengok senarai kad dibawa Encik Abdul Wahab ada kad perakuan akhbar, sekarang kita panggil kad perakuan media, itulah kad kuasa seorang wartawan, kalau nak hadir ke tempat tugasan, dia kena tunjukkan kad akhbar,” kata Fahmi dalam ucapannya.

ABDUL Wahab mewakili warga media berucap pada majlis 'Raya Sama-Sama' di IPPTAR. - Kredit foto: Kementerian Komunikasi.
Abdul Wahab juga terkejut dan terharu apabila diberi
penghormatan berucap di pentas sebagai wakil warga media yang turut menerima sumbangan
pada hari itu.
Dan apa yang membuatkan Abdul Wahab lebih terkejut apabila sumbangan yang diterimanya menerusi Tabung Kasih @ Hawana pada majlis petang itu benar-benar luar jangkaannya.
“Sebelum balik, petugas-petugas majlis itu mengingatkan saya agar berhati-hati supaya tidak tertinggal atau tercicir sampul yang saya dapat kerana di dalamnya terdapat wang tunai yang banyak.
“Apabila balik ke rumah, saya hampir tak percaya. Berulang kali saya kira bersaksikan isteri. Bukan beratus ringgit seperti saya jangka tapi ribu-ribu.
“Inilah pertama kali dalam hidup saya, mendapat sumbangan sebanyak itu. Ternyata pembabitan saya selama hampir 50 tahun dalam bidang media dihargai.
“Saya sangat bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan mengwujudkan Tabung Kasih @ Hawana kerana sekurang-kurang nasib warga media seperti kami terbela terutama selepas bersara dan dibelenggu pelbagai penyakit,” katanya.

KISAH Abdul Wahab mendapat liputan BERNAMA.
Selain Abul Wahab, turut menerima sumbangan adalah 25 orang pengamal media serta 50 orang penggiat seni veteran sempena Ramadan serta sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Abdul Wahab, 80, memulakan kerjaya dalam bidang persuratkhabaran sebagai budak penyusun surat khabar di kilang cetak akhbar milik Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin pada 1965 ketika berusia 20 tahun.
Beliau diserapkan ke Utusan Melayu sebagai wartawan pada 1980-an dan kemudian dinaikkan pangkat sebagai penyunting sebelum berpindah ke beberapa penerbitan seperti Mingguan Perdana, Harian Nasional dan Watan.
Beliau menoktah perjalanan panjangnya bersama New
Strait Times Press sebagai penyunting Berita Harian dan Harian Metro sebelum
bersara sepenuhnya pada 2013. - KitaReporters