
Setiap Mei, kita raikan Bulan Kesedaran Kesihatan Mental. Tapi, sejauh mana kita benar-benar faham apa itu kesihatan mental? Dan sejauh mana kita dengar suara mereka yang berada di barisan depan iaitu caregiver atau penjaga kepada insan yang hidup dengan penyakit mental?
Penjaga ni kadang-kadang 'hilang' dalam cerita. Mereka bukan doktor, tapi mereka rawat. Mereka bukan kaunselor, tapi mereka dengar dan memahami. Mereka bukan jururawat, tapi mereka uruskan pesakit, layan pesakit, pujuk bila ada ‘episod’ halusinasi dan karenah yang sukar diramalkan.
Penjaga adalah manusia biasa yang menjadi luar biasa kerana cinta dan tanggungjawab terhadap ahli keluarga yang sakit mental.
Ramai antara mereka sunyi, penat, tertekan, tapi masih senyum di depan orang.
Tak ramai tahu betapa mencabarnya menjaga anak, ahli keluarga atau pasangan yang ada masalah kesihatan mental.
Ada kalanya penjaga juga mendapat sakit yang sama atau penyakit lain seperti sakit jantung, kanser dan penyakit-penyakit lain kerana terlalu penat dan tertekan.
Oleh itu penjaga juga perlukan ruang untuk bernafas, sistem sokongan yang baik dan pengiktirafan daripada masyarakat.

Dr Salina Abd Aziz
Seperti yang pernah dijelaskan oleh Dr. Salina Abd Aziz, Ketua Perkhidmatan Psikiatri Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia:
"Kita perlu menjaga penjaga juga, dan ini adalah konsep utama di sebalik Circle of Hope. Membuat perbezaan untuk pesakit memerlukan pendekatan 360° untuk penjagaan yang berkesan bagi semua yang terlibat."
Begitu juga pandangan dari Dr. Firdaus Abd Gani, Ketua Program Circle of Hope, "Setiap penjaga memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga orang tersayang mereka dengan penyakit mental dan cabaran bagi kedua-duanya boleh menjadi luar biasa."

Dr Firdaus Abd Gani
Oleh yang demikian, sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Mental dalam bulan Mei 2025 ini, mari kita menghargai dan menyokong penjaga kepada pesakit mental. Mereka adalah wira yang tidak pernah didendang yang sering terlepas pandang.
Sebarkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan pemimpin. Bantulah untuk mengurangkan stigma terhadap penyakit mental dan penjaga mereka.
Sediakan sokongan sama ada melalui bantuan penjagaan, bantuan emosi, kewangan, atau mengiktiraf kesukaran mereka sebagai penjaga.
Marilah kita dengar suara mereka. Dengar apa yang mereka mahu luahkan. Fahami kedudukan mereka dan Jangan menghukum mereka yang telah terlalu penat berhadapan dengan ahli keluarga yang sakit mental ini.
Justeru jika nampak keluarga struggle (bersusah payah) dengan ahli yang sakit mental, hulur bantuan. Kalau ada platform, guna untuk sebarkan kesedaran. Kalau kita tak tahu, tanya. Belajar dan fahami mereka. Jangan buat andaian.
Kepada para penjaga anda adalah wira sebenar yang jarang diiktiraf dan pengorbanan anda sering terlepas pandang , namun anda tidak pernah berputus asa dan kecewa demi menjaga insan tersayang.
Sesungguhnya setiap bantuan amat bermakna buat mereka. Oleh demikian menjaga caregiver pesakit mental sangat perlu untuk memastikan mereka terus kuat menjadi tulang belakang pesakit mental.
Sehubungan itu dengan sokongan masyarakat dan kerajaan terhadap penjaga pesakit mental, kita dapat mencipta persekitaran yang lebih inklusif dan memahami mereka yang terlibat dalam penjagaan kesihatan mental selain mencipta kehidupan yang lebih sejahtera dan tenang buat mereka yang telah Allah pilih menjadi penjaga kepada pesakit mental. - KitaReporters
