SUAPAN Kasih memori yang meranai titisan air mata pada program Hari Keluarga Kerabat Allahyarham Rasman Hassan dan Allahyarhamah Indahsabar Latif dari Kampung Parit Lapis Kadir, Senggarang, Batu Pahat, Johor, yang diadakan D’Nelayan Beach Resort, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka, selama dua hari bermula pada 1 Disember 2023 lalu.
Slot Suapan Kasih membabitkan anak sulung mewakili bagi setiap keluarga menyuapkan makanan kepada ibu atau bapa mereka meruntumkan rasa syahdu dan sayu dalam kalangan 136 ahli keluarga Allahyarham yang hadir pada program berkenaan.
Slot Suapan Kasih meruntum jiwa ahli keluarga yang hadir pada program Hari Keluarga itu.
Anak bongsu Allahyarham, Azman Rasman, menyuntikan emosi
perasaan sayu serta sedih dalam kalangan anak, cucu, cicit dan piut apabila
mengalungkan sajak berjudul ‘Harapan Seorang Ayah dan Ibu’ yang mengakibatkan
beliau sendiri tersekat-sekat suara kerana turut berasa sebak.
Timbalan pengerusi program berkenaan, anak ketujuh Allahyarham, Sutiah Rasman, berkata program hari keluarga yang kali pertama
diadakan itu sudah dirancangkan beberapa bulan lalu dengan membabitkan sembilan
adik-beradik beliau.
Daripada semua adik-beradik itu, hanya keluarga Allahyarham Maimunah merupakan kakak sulung diwakili anaknya, Mohd Nor@Raya Sapari diikuti keluarga anak kedua iaitu Seriatun, Mukarti (3), Mohd Juri (4), Siti Supayah (5), Mohd Zainal (6), Sutiah (7), Darman (8) dan Azman (9) yang semuanya berusia antara 60 dan 85 tahun.
Sutiah berasa terharu apabila adik-beradik mengadakan sambutan hari lahirnya yang ke-66 tahun pada program itu.
Sutiah berkata, slot Suapan Kasih itu amat menyentuhkan
perasaan kami adik- beradik apabila teringatkan kembali kisah silam dibesarkan
arwah bapa dan ibu yang banyak berkorban dalam kemiskinan membesarkan anak-anaknya.
Menurutnya, terasa terlalu hiba apabila anak sulung mewakili
ahli keluarga menyuapkan makanan kepada kami ibu dan bapa mereka yang kini uzur
dan menghidap pelbagai penyakit apabila mengenangkan arwah bapa dan ibu dahulu memandi serta
merawat anak-anaknya ketika sakit sewaktu kecil dahulu.
“Bertemakan ‘Yang jauh kita dekatkan, Yang dekat kita rapatkan, Yang rapat kita mesrakan dan Yang tiada kita doakan’ menemukan empat generasi kerabat Alllahyarham Rasman dan Allahyarhamah Indahsabar yang berada di seluruh pelosok tanah air dalam program yang disusun rapi,” ujar beliau lagi.
Sutiah Rasman (dua dari kiri) bersama-sama abang dan adik beliau pada program Hari Keluarga Kerabat Allahyarham Rasman Hassan dan Allahyarhamah Indahsabar Latif yang diadakan di D'Nelayan Beach Resort, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka, 1 dan 2 Disember 2023.
Program hari keluarga itu dimulakan aktiviti sukan pantai
selepas mendaftar masuk, diikuti majlis tahlil selepas magrib yang kemudian
makan malam yang dimulai Suapan Kasih, penyampaian hadiah, sambutan hari lahir
Sutiah dan karaoke. Pada hari kedua dimulakan dengan bacaan tahlil selepas solat subuh dan diakhiri dengan senam robik.
Sutiah berkata, paling penting program berkenaan dapat
mengeratkan lagi hubungan silatulrahim antara adik-beradik, cucu, cicit dan piut
kerana ada mereka yang belum kenal rapat disebabkan kekangan kerja dan
berhijrah mencari kehidupan lebih selesa.
Menurutnya, walaupun dunia sekarang disediakan dengan
pelbagai kemudahan media sosial untuk berhubung namun perjumpaan pada program
hari keluarga sebegini lebih mesra serta berkesan terutama dalam mengenali hati
budi masing-masing.
“Kami adik-beradik berharap akan diadakan lagi program seperti ini pada masa akan datang terutama apabila anak-anak pula mengelolakannya dari awal hingga akhir kerana sebagai ibu atau bapa sudah berasa makin hilang tenaga,” ujarnya lagi. - KitaReporters
Ahli keluarga merakam kenangan pada program Hari Keluarga Kerabat Allahyarham Rasman Hassan dan Allahyarhamah Indahsabar Latif.