DI SEBALIK ujian yang diberikan-Nya pasti terselit hikmah, begitu juga di sebalik duka pasti akan ada bahagianya yang tersendiri.
Itu yang berlaku kepada empat pesakit kanser yang terpilih mendapat tajaan menjalani ibadat umrah daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Sharjah Charity International yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Memetik Gulf News, Friends of Cancer Patients (FOCP) yang berpangkalan di UAE telah bekerjasama dengan Sharjah Charity International untuk menaja perjalanan umrah di Mekah selama empat hari sebagai inisiatif tahunan yang bermula 28 Ogos 2023 lalu.
Pengarah FOCP, Aisha Al-Mulla berkata, pihaknya berusaha memberi sokongan membantu pesakit kanser, penjaga dan juga kakitangan FOCP menjalani ibadat umrah.
“Komitmen kami yang tidak berbelah bahagi adalah untuk menawarkan mereka sokongan holistik supaya mereka kuat semangat dan kembali sembuh.
“Kami yakin perjalanan umrah ini mampu memberi keseronokan kepada mereka, sekali gus meningkatkan kesejahteraan mental pesakit kanser ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Sumber Manusia dan Sektor Pelaburan Sharjah Charity International, Ali Mohamed Al Rashidi berkata, inisiatif kerjasama dengan FOCP ini mampu berfungsi sebagai tanda sokongan moral untuk pesakit ini ketika mereka melawan kanser.
“Ramai daripada mereka menyimpan hasrat untuk menjalani ibadat umrah namun tidak mampu dan penghargaan daripada FOCP ini berjaya memenuhi Impian mereka,” katanya.
Seorang pesakit kanser yang berusia 75 tahun, Jamila Elias berkata, meskipun pernah mengunjung Tanah Suci bersama Allahyarham suaminya sebelum ini namun tetap menyimpan impian untuk datang lagi selepas disahkan menghidap kanser kira-kira 23 tahun lalu.
“Namun saya berdepan dengan masalah kewangan berikutan perlu mendahului rawatan menyebabkan saya terpaksa mengetepikan impian.
“Tetapi hari ini, saya bersyukur kerana terpilih mendapat tajaan daripada FOCP menyebabkan saya terlalu teruja seolah-olah kesakitan yang dilalui selama ini pulih dengan tiba-tiba,” katanya.
Seorang lagi pesakit kanser, Hanaa Abdel Karim berkata, tajaan FOCP untuk menjalani ibadat umrah adalah hadiah terindah dalam hidupnya.
“Doa yang saya minta selama ini telah dikabulkan dan sangat bersyukur kerana FOCP telah merealisasikan impian saya,” ujarnya.
Wanita yang berusia 58 tahun itu berkata, sepanjang empat hari di Tanah Suci dia berdoa memohon penyakit yang dialami sembuh dan meneruskan kehidupan bersama keluarga.
Kesemua mereka berjaya menjalani ibadat umrah selama empat hari bermula 28 Ogos hingga 31 Ogos 2023 lalu. – KitaReporters