Insan & Komuniti 31 Oct, 2023

Pemantapan Perkahwinan: Program Smartstart 2nd Honeymoon! Menangis teringat kisah ketika bercinta!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this


KURANG persefahaman dalam mengurus rumah tangga dalam kalangan pasangan yang baru berkahwin antara penyebab banyak kes perceraian berlaku sehingga mahligai yang dibina hanya mampu bertahan beberapa tahun sahaja. 

Tidak hairanlah jika 6,565 kes perceraian membabitkan pasangan beragama Islam direkodkan di Terengganu pada 2020 sehingga Oktober tahun 2022.

Data yang dikeluarkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, menunjukkan daripada jumlah itu, sebanyak 4,132 kes perceraian dicatatkan pada 2020, manakala sehingga Oktober 2021 sebanyak 2,433 kes direkodkan.

Kes perceraian atau pembubaran perkahwinan yang tertinggi direkodkan adalah di Kuala Terengganu iaitu sebanyak 1,923 pasangan, yang kedua tertinggi adalah di Kemaman (1,151 pasangan) dan ketiga tertinggi di daerah Dungun membabitkan 1,003 pasangan.


Pasangan peserta Program Smartstart 2nd Honeymoon di Bukit Keluang Beach Resort,Besut


Pelbagai inisiatif dilakukan oleh kerajaan untuk membendung peningkatan kes perceraian tersebut dengn menganjurkan pelbagai program untuk pasangan suami isteri terutama membabitkan mereka yang sudah berkahwin antara  satu hingga lima tahun. 

Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga tidak ketinggalan  membantu kerajaan membina institusi keluarga yang lebih dinamik dan bahagia menerusi  kursus, seminar dan perjumpaan bersemuka yang membabitkan pasangan yang bermasalah.

Persatuan Belia Setia Pakat, Marang,Terengganu menjadi contoh terbaik apabila tampil menganjurkan Kursus Pemantapan Perkahwinan: Program Smartstart 2nd Honeymoon (Permulaan Bijak Berbulan Madu Kedua) bagi membentuk jiwa kental pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga.


Abdul Karim Ibrahim


Pengerusinya, Abdul Karim Ibrahim berkata, program jangka pendek selama dua hari yang berlangsung di Bukit Keluang Beach Resort, Besut, Terengganu ini berjaya membangkit kesedaran dan keinsafan kepada peserta yang terpilih mengikuti program itu.

Katanya, program itu mendapat kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menyediakan tenaga penceramah berkemahiran tinggi dalam aspek kekeluargaan.

Menurutnya, pada program sesi pertama pada 2022, pihaknya mengehadkan peserta kepada pasangan kampung terbabit sahaja tetapi pada tahun ini (2023) ia terbuka kepada seluruh daerah di negeri itu. 

Beliau berkata, pencarian peserta hanya dilakukan menerusi siaran dalam media sosial dan dalam tempoh dua minggu seramai 25 pasangan suami isteri mendaftar untuk menyertai program yang diadakan secara percuma itu.

“Peserta yang dipilih adalah berumur 50 tahun ke bawah sahaja,” katanya. 


Peserta dilatih dalam sesi makan beradab bersama pasangan


Abdul Karim berkata, sepanjang program berlangsung peserta diberi pendedahan dalam aspek menjaga keharmonin rumah tangga, mengenal diri, meluahkan perasaan (kad cinta) kepada pasangan masing-masing, malam beradu, membina keintiman, menangani konflik dan cabaran, meneroka harapan cinta dan persandingan semula (olok-olok) sebagai mengingati perkahwinan asal yang pertama kali dialami pasangan terbabit.

Menariknya, kata Abdul Karim, ada pasangan yang menitiskan air mata bila mengingati kisah hidup bersama selama tempoh berkahwin ketika mengadakan sesi temu mata pasangan.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran program tersebut mendorong pihaknya merancang untuk meneruskan program sama pada tahun akan datang. - KitaReporters


Peserta mengadakan sesi melafaz aku janji menerusi kad cinta bersama pasangan

15
15
2
10
0
You will be interested