Antara barangan pertanian yang dijual oleh Rosli Rashid
Gerai Rosli Rashid yang terletak di Kebun Komuniti, Jalan Lengkok Keluli 1, Seksyen 7, Shah Alam agak terpencil dan tidak diketahui ramai penduduk Shah Alam. Sejak diwujudkan kira-kira 6 tahun lalu, ramai penduduk Shah Alam tidak mengetahui kewujudan kebun komuniti yang menjual pelbagai jenis pokok dan barangan pertanian yang lain.
Kebetulan penulis mencari pokok pokok bunga dan pokok -pokok keperluan harian seperti pokok pandan, serai, pokok kunyit dan sebagainya. Penulis telah lalu di kawasan Jalan Lengkok Keluli 1, Seksyen 7 dan terjumpa gerai Rosli, Lenggong Nursery di sana.
Kehadiran penulis disambut mesra oleh Rosli yang ketika itu sedang memperbaiki tempat mengisi ikan keli, ketam nipahnya dan tempat siput sedut.
Rosli Rashid seorang OKU penglihatan yang mengusahakan Kebun Komuniti
Rosli Rashid, 56, adalah seorang OKU penglihatan (buta sebelah mata sejak lahir dan sebelah lagi agak kabur). Namun demikian kegigihan beliau mengusahakan gerai menjual barangan pertanian dan menanam tanaman seperti sayuran dan pokok-pokok bunga sangat mengagumkan saya.
Beliau yang telah tinggal di Shah Alam sejak 29 tahun yang lalu berasal dari Kampung Teluk Batu, Lenggong, Perak.
Beliau tinggal di Kebun Komuniti ini bersama isterinya Jemaah Abdul Manan yang sentiasa setia menemani beliau di kebun komuniti dan di gerai menjual barangan pertaniannya. Mereka tinggal di sebuah pondok yang dibina oleh Rosli.
Ketam nipah
Di gerai pertaniannya Rosli ada menjual siput sedut, Ikan keli, ketam nipah, buah-buahan seperti nangka, nenas, tembikai, kelapa muda dan pelbagai lagi. Beliau juga menjual tanah hitam, baja kompos untuk pertanian serta barangan pertanian yang lain.
Ketika penulis ke tempat Rosli, suasananya memang agak sunyi kerana tak ramai penduduk yang tahu kewujudan tempat itu.
Bila ditanya adakah orang yang datang membeli barangan disitu, beliau berkata, ada tapi tak ramai. " Mungkin tak ramai yang tahu kewujudan gerai saya dan Kebun Komuniti ini " katanya lagi.
Siput sedut banyak dijual di gerai pertanian Rosli di kebun komuniti ini.
Baja dan tanah hitam untuk pertanian
Rosli yang pernah bekerja dengan sebuah syarikat swasta 25 tahun yang lalu, sangat meminati bidang pertanian.
Dia menerima tawaran dari pihak MBSA untuk mengusahakan kawasan Kebun Komuniti ini 4 tahun yang lalu. Di situ dia dan beberapa orang yang diberikan kawasan pertanian mengusahakan pelbagai tanaman sayuran dan pokok-pokok bunga.
Baginya tempat itu sangat tenang dan memberikannya rezeki untuk kesinambungan hidupnya.
Beliau sangat berharap, lebih ramai lagi dapat datang ke tempatnya untuk membeli barangan pertanian, seperti sayur-sayuran segar, pokok-pokok bunga dan makanan seperti siput sedut, ketam nipah dan ikan keli di tempatnya.
Jika ada sesiapa yang mahu membeli ikan keli, siput sedit dan barangan pertanian yang lain boleh juga menelefon beliau menerusi nombor talian 0173151348.
Beliau sangat mengalu-alukan kedatangan penduduk Shah Alam khususnya k egerai beliau di Kebun Komuniti Jalan Lengkuk Keluli Satu, Seksyen 7 Shah Alam. - KitaReporters