Insan & Komuniti 03 Aug, 2023

Malaysia Madani santuni 100 anak yatim! AIA Public Takaful anjuran lawatan ke Aquaria dan Menara AIA!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Seramai 100 orang anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman, Setapak; Pusat Kebajikan Amal Rukaiyah, Kajang; dan Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan, Seremban telah menyertai aktiviti yang menyokong gagasan Malaysia Madani. Aktiviti baru-baru ini ialah lawatan sambil belajar anjuran AIA Public Takaful Bhd. (AIA Public Takaful). 

Diiringi 20 orang sukarelawan dari AIA Public Takaful, anak-anak yatim yang berusia antara 7 hingga 17 tahun itu diraikan dengan aktiviti riadah dan pembelajaran yang santai sebagai sebahagian daripada program Kongsi Rezeki, sebuah inisiatif komuniti AIA Public Takaful yang dilancarkan pada 2021 dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA).

Sesi lawatan sambil belajar itu dimulakan dengan lawatan ke Aquaria KLCC di mana anak-anak yatim dapat mengenali dan meningkatkan pengetahuan mereka tentang hidupan laut dan darat. 

Selain itu, mereka turut dibawa ke Menara AIA untuk menonton tayangan filem di samping menikmati hidangan tengah hari serta kudap-kudapan yang lain. 



Mengulas tentang lawatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Public Takaful, Elmie Aman Najas menjelaskan bahawa program Kongsi Rezeki telah diperkenal dengan tumpuan terhadap kesejahteraan dan pengayaan komuniti, terutama kesejahteraan fizikal dan mental kanak-kanak yang kurang bernasib baik. 

“Ia sememangnya suatu yang amat menggembirakan apabila dapat melihat kanak-kanak ini bergembira dan bersemangat menyertai setiap aktiviti yang dijalankan oleh sukarelawan kami yang berdedikasi. 

"Kami yakin bahawa sesi lawatan sambil belajar seperti ini bukan sahaja dapat menceriakan hari mereka malah turut memberikan pengalaman yang bermakna kepada zaman kanak-kanak mereka. 

"Kami berbesar hati kerana dapat memberi kanak-kanak ini peluang dan pengalaman yang dapat meningkatkan kesejahteraan mental serta kemahiran sosial mereka di samping memupuk kesedaran mengenai kepentingan alam semula jadi dan alam sekitar,” kata Elmie. 



Ketiga-tiga rumah anak yatim yang terlibat adalah antara 10 penerima manfaat di bawah program Kongsi Rezeki. 

Melalui fasa program yang berbeza, rumah anak-anak yatim ini turut menerima sumbangan lain seperti komputer riba baharu, kelengkapan tempat tinggal seperti katil dan tilam serta barangan keperluan harian yang bernilai RM420,000. 

Program Kongsi Rezeki adalah sebahagian daripada kempen Penyala Harapan AIA Public Takaful, yang memperkukuh komitmen dan hasrat syarikat dalam menyokong komuniti merealisasikan harapan dan impian mereka untuk mencapai Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna di bawah lembayung Malaysia Madani. - KitaReporters/Kenyataan Media



11
9
0
13
0
You will be interested