Insan & Komuniti 20 Jun, 2023

Nasib Adam si tukang kasut! Tak boleh balik, kampung tak selamat! Abangnya lari sembunyi dalam hutan!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this


KITA rakyat yang sangat bertuah. Hidup di negara yang aman damai. Walaupun perselisihan kecil antara kaum ibaratkan air berkocak di dalam gelas. 

Bangsa kita takut pergaduhan dan konflik boleh menyebabkan ramai orang susah, apalagi ramai yang sudah berjaya membina kehidupan yang baik.

Ingat lagi tak, kita masih boleh bergelak ketawa apabila menonton filem klasih, Sabarudin Tukang Kasut arahan Tan Sri P Ramle pada tahun 1966? Kisah klasik tentang kehidupan seorang tukang kasut yang akhirnya berkahwin dengan puteri raja. 

Begitu juga pada realiti kehidupan tukang kasut ada yang masih tidak berubah. Berpendapatan tidak menentu seperti kais pagi makan pagi.

Mereka bersaing dengan tukang kasut moden yang memiliki mesin khas untuk membaiki, menggantikan tapak kasut, menjahit dan memakukan bahagian kulit kasut yang tertanggal.

Walau apapun terjadi, selagi ada kasut, maka akan ada segelintir yang mencari sesuap nasi mengambil upah membaiki kasut ini di kaki lima.



Begitulah kehidupan seorang tukang kasut yang juga seorang penghijrah dari Mynmar yang mahu dikenali sebagai Adam. Kerja ambil upah itu membolehkan dia terus hidup mencari rezeki menyara isteri dan anaknya. 

Selama16 tahun dia tak boleh balik kampungnya di Mynmar sejak berhijrah ke negara ini sejak 16 tahun lalu.

Bukan kerana tidak cukup duit untuk belanja tambang tiket penerbangan tetapi lebih penting dia selamat di sini berbanding abang dan keluarganya yang terpaksa lari ke hutan selain setiap hari bertarung dengan risiko maut sebab suasana negaranya yang sedang bergelodak.

Lelaki ini meninggalkan negaranya untuk mencari pekerjaan di Malaysia melalui perjalanan darat yang berbahaya. Mula-mula dia dapat kerja di ladang sayur bertahun-tahun, kemudian menjadi buruh kasar di tapak pembinaan,

Selepas melalui cabaran yang getir dia kemudian mencuba nasib bekerja di pelbagai jenis kilang dan akhir sekali menjadi tukang baiki kasut sejak tiga tahun lalu.



Dia bertemu dengan rakan yang membantunya mendapatkan tapak di kaki lima yang disewanya RM400 sebulan. Kerja membaiki kasut terutama menukar lapik kasut, menjahit atau sekadar gamkan tapak kasut.

"Kadangkala tak ada yang datang hantar kasut untuk dibaikipun. Dalam sehari itu dapat dua tiga pelanggan pun sudah cukup baik. 

"Saya cajkan baiki kasut terutama menukar tapak ini dengan kadar harga RM25 hingga RM50 bergantung kepada jenis tapak kasut. Jenis kulit mahal sikit kerana barang-barang sudah naik harga," katanya.

Dia enggan memberitahu pendapatannya sehari kerana tidak cukup untuk menyimpan lebihan wang sebab sebahagian besar hasil pendapatannya dihantar ke kampung di pinggir bandar raya Yangon.

"Sekarang saya juga tidak boleh balik ke kampung kerana sedang berperang di sana. Saya ada seorang abang dan saudara mara yang kini bersembunyi dalam hutan kerana bimbang dibunuh. Kami hantar duit dan ada orang akan hantar barangan makanan untuk mereka," katanya.

Anda tak mahu pulang ke? 

"Rindu juga tapi takut untuk pulang. Saya rela tinggal di negara ini kerana di sini aman damai dan makanan pun cukup. Malah saya juga sudah berkahwin dan ada seorang anak," katanya. - KitaReporters


Sebahagian peralatan digunakan untuk membaiki kasut

11
15
0
13
0
You will be interested