MENGIKUT Wikipedia, wartawan (bentuk muanas: wartawati) atau jurnalis merupakan satu kerjaya dalam industri media massa merangkumi surat khabar, majalah, televisyen, radio dan internet.
Seorang wartawan bertugas untuk mengumpul dan menyebarkan maklumat tentang berita terkini, orang ternama, tren dan isu-isu yang relevan. Kerja wartawan juga termasuk mengarang, menyunting, menyiar serta membacakan berita yang disampaikan kepada penonton atau pembaca.
Namun sejauh mana lagi masa depan media tradisional boleh bertahan. Apa beza antara wartawan dulu dan wartawan pada era digital? Itu adalah soalan pelajar beberapa buah universiti bila bersemuka dengan pengendali agensi media.
Ada juga pelajar yang tanya perlukan wartawan memahami lebih daripada dua bahasa - Bahasa Melayu dan Inggeris?.
Soalan cepu emas oleh peserta Forum Media 2023 sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang berlangsung di Ipoh, Perak pada 28 Mei 2023. Masa dengar soalan itu, Opah macam nak bangkit ngomel nak beritahu betapa hebat dan bertuahnya menjadi wartawan pada era digital.
Dulu sudah ada macam-macam yang diramalkan akan berlaku apabila ledakan maklumat, superhighway infomasi melanda dunia ketika mula-mula internet diperkenalkan. Masa itu juga kemuncak media arus perdana membina nama, menjulang kerjaya wartawan dan paling penting, buat duit baik syarikat mahupun individu.
Bila Datuk Rocky (Datuk Ahiruddin Atan) wartawan terkenal yang mengacara program bual bicara iitu meminta wartawan senior bangun bagi idea. Malangnya tidak memberi tindak balas mungkin rasa pelajar sudah ada jawapannya dan pengacara itu sendiri sudah cukup matang bercerita.
Opah nak cakap saja gini. Anggaplah wartawan era milenium ni sangat-sangat bertuah. Semua maklumat di hujung jari. Dengan hanya sebiji laptop mereka boleh bekerja di ceruk rantau mana ditugaskan. Asal ada internet sudah boleh hantar berita.
Bukan itu saja, kerja boleh dibuat rumah. Ingat masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dulu, mereka 'kejar berita' dengan melayari Facebook tentang terhidang semua maklumat kementerian dan agensi berita dari seluruh dunia.
Malaysia Perlukan Media Yang Bebas, Berani Untuk Bersuara - Kata Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Fahmi Fadzil
Opah nak cakap, wartawan pada tahun 80-an dan 90-an kerjanya macam buruh kontrak. Kami dulu kerja secara 'manual' cari berita, pergi ke lapangan dan kena balik pejabat buat berita. Sekarang cari sudut taiplah dengan diam-diam.
Opah dulu gi kat lombong tengah panas terik, jelajah kawasan setinggan, dikejar penagih dadah, meninjau pusat pelacuran. Menjadi pelapor tetap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengubah kota raya penuh setinggan kepada bandar rraya metropolitan dunia. Kuala Lumpur kini sudah setaraf mungkin lebih daripada Tokyo, New York dan kota fesyen - Itali, London dan Bangkok.
Kerja wartawan sekarang lebih kepada mengumpul data maklumat, analisis dan susun laporan daripada pelbagai sumber menjadi informasi yang sempurna.
Enjin carian di internet- Google dan atau sumber media sosial termasuk Facebook, Twitter dan TikTok bersepah. Ketika Opah bekerja, kami guna mesin taip jenis lama itu. Kena sisipkan kerta A4 setiap kali buat berita atau rencana. Kalau tiga empat lima kali tukar kertas tu memang biasa tu.
Dulu kena tunggu jurugambar proses filem hitam putih atau warna. Kebanyakan buat manual daripada tulisan, reka letak dan cetak akhbar. Esok baru boleh baca berita yang berlaku semalam. Sekarang seminit berlaku, viral bagaikan api marak.
Sebab itu bila ada pelajar bertanyakan tentang censorship tu, Opah ternganga kerana dalam media sosial gambar dan liputan berita hampir 99 peratus tak ditapis. Macam kes kemalangan ngeri gambar mangsa jarang disiarkan kerana menghormati keluarga mangsa.
Dulu akhbar menjadi tempat rakyat mengadu. Sekarang kalau pegawai kerajaan tidak senyum ketika melayan orang ramai, kritikan diviral macam api boleh "membakar" jabatan itu. Dahsyatnya WhatsApp grup, Facebook, Twitter atau TikTok. Tiada selindung dah tu. Tambah kalau ada keyboard warrior atau jabatan netizen Malaysia.
Tapi lain pula yang Opah dengar, wartawan muda sekarang memilih untuk menjadi influencer (berpengaruh). Mereka nak berdiri depan telefon, melaporkan berita yang kadangkala nampak sangat kejar glamor daripada membuat laporan berhemah.
Kerap juga Opah dengar ada calon dipanggil temu duga 'malas' jika nak kena ditugaskan di lapangan lebih-lebih lagi jika liputan yang berselut lumpur atau di kawasan banjir. Anggapannya adalah mereka mahu sama naik macam 'artis' atau pembaca berita dalam televisyen bila membuat laporan.
Tentang bahasa lain selain Bahasa Melayu dan Inggeris, kata Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, wartawan sekarang perlu menjadi seperti saintis data dan keupayaan memahami banyak bahasa, satu kelebihan untuk memudahkan mereka melakukan kerja 'multitasking'
"Soal muka tebal, tu memang syarat asas wartawan. Saya dimaki setiap hari dalam media sosial. Tapi saya mengambil pendekatan balas komen dengan penjelasan. Bukan senang nak didik pelayar internet ini menjadi pengikut setia."
Katanya lagi wartawan di era digital ini kena biasa melakukan penyelidikan unik, pandangan berbeza, memiliki ilmu pengetahuan am yang luas dan suka membaca. - KitaReporters