Insan & Komuniti 20 Nov, 2023

Video| Usaha bina masjid di Daego, Korea dihalang, diganggu! Daud Kim belajar kerja buruh binaan!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this



Gara-gara banyaknya halangan pada pembinaan masjid Daego di Korea Selatan, Youtuber mualaf yang tersohor Daud Kim sudah dua bulan menyertai bidang kerja binaan. Sebagai orang kuat mengumpul dana, dia sangat mengambil berat mengenai perkembangan pembinaan masjid itu yang sehingga kini masih belum siap.

Dengan pelbagai halangan dihadapi penduduk Islam di Korea Selatan, tiba-tiba terfikir olehnya untuk menimba pengalaman membuat bangunan, agar kelak dapat membantu kerja binaan dengan kudrat sendiri pula. 

Melalui pengalaman itu, fikirnya lebih mudah untuk dia menyumbang tenaga empat kerat bagi menyempurnakan masjid berkenaan yang sepatutnya telah lama siap.


Video| Tolong kami! Bantu Daud Kim! Rancang bina masjid di Seoul! Masjid di Daego hampir nak siap!


Daud Kim tiba-tiba terfikir untuk menimba pengalaman bekerja dalam bidang pembinaan. Kredit foto - YouTube Daud Kim

Sejak awal dibina kira-kira dua tahun lalu, kerja pembinaan masjid itu sentiasa menghadapi rintangan dan halangan dek ditentang oleh penduduk setempat yang fobia dengan kehadiran masjid di situ, sehinggakan kerja binaan terpaksa ditangguh beberapa kali. Pelbagai tindakan dilakukan oleh mereka yang terpengaruh dengan kecelaruan Islamofobia.  

Menurutnya, pelbagai bantahan daripada pihak awam di situ memaksa pengurusan masjid memohon keizinan pembinaan daripada mahkamah. 

Walaupun telah mendapat keizinan untuk meneruskan binaan, kata Daud Kim, penduduk di situ terus melakukan pelbagai hal bagi menghalang pembinaan antaranya meletak trak di tengah jalan menghala laluan ke masjid, mengadakan barbeku makanan haram, meletak kepala khinzir sepanjang laluan ke masjid termasuk digantung bergayutan pada kain rentang sepanduk bantahan.


"Sedang belajar bahasa di Indonesia, saya tergesa-gesa pulang ke Korea kemudian menyertai bidang kerja binaan." - Kredit gambar: YouTube Daud Kim


Dalam video terbaharu yang dimuat naik, Daud Kim memberi informasi terkini yang mana dia yang sebelumnya mengikuti pengajian bahasa di Indonesia pulang tergesa-gesa ke Korea apabila mendengar pembinaan masjid itu terhenti lagi atas beberapa masalah.

Kegiatan berterusan penduduk setempat menghalang pembinaan menyebabkan masjid tidak dapat disiapkan mengikut waktu. Perbuatan mengganggu gugat pelaksanaan kerja terus berlangsung. 

Setiap kali berlaku masalah seperti itu, menuntut pihak pengurusan masjid mengambil langkah sewajarnya untuk penyelesaian, agar pembinaan dapat diteruskan.

Dengan apa yang berlaku, kata Daud Kim, terlintas pada fikirannya untuk terbabit langsung dalam kerja pembinaan.


"Saya terkejut apabila mendapat tahu pembinaan masjid di Daego tertangguh semula." - Kredit foto: YouTube Daud Kim


Kali ini terfikir olehnya, mengapa tidak dia sendiri menyumbang tenaga empat kerat untuk menyegerakan kerja binaan dengan harapan masjid itu dapat disiapkan. Sebelum ini dia sudah membantu dari segi mengumpul dana melalui sumbangan daripada pengikut media sosialnya.  

Atas alasan itu, Daud Kim mengambil keputusan untuk menyertai kerja kontrak pembinaan dan sehingga kini masih bekerja di tapak pembinaan yang sangat asing baginya. "Ia bukanlah satu kerja yang mudah, bahkan berbahaya juga," ulasnya. 

Melalui konten YouTube terbaharu, dia turut menyelitkan petikan video mengenai reaksi kasar penduduk sekitar yang membantah usaha mereka, dengan menimbulkan ketegangan berterusan melalui laungan bantahan dan membuat aksi menyakitkan hati masyarakat Islam. 

Mereka juga sengaja membuat bising antaranya, menyanyi dengan kuat dan sebagainya untuk mengganggu konsentrasi jemaah yang sedang solat. 

Bagi pihak orangnya, Daud Kim memohon maaf kepada pengurusan masjid dan jemaah, di atas apa yang  yang berlaku.


"Kemudian terfikir, bagaimana kalau saya boleh bina masjid sendiri?" - Kredit foto: YouTube Daud Kim


Keadaan itu menunjukkan betapa kuatnya fobia mereka terhadap Islam dan Muslim, serta kekal dengan tanggapan Muslim terrorist (pengganas)

Apa pun Daud Kim komited untuk memperkenal Islam sedikit demi sedikit kepada masyarakat Korea. Dia ingin menjayakan hasrat membentuk komuniti Muslim di negara itu. 

Dengan adanya komuniti Muslim barulah budaya Islam dapat didedahkan, justeru tegas beliau perlu adanya masjid bukan sahaja untuk tempat beribadat, bahkan sebagai pusat kegiatan komuniti Muslim.

Ada benarnya buah fikiran Daud Kim itu, dengan langkah berkenaan mana tahu sedikit demi sedikit dapat menunjukkan sifat sebenar orang Islam pada mata masyarakat Korea, dengan harapan kelak akan mengubah persepsi atau buruk sangka mereka terhadap Muslim. 

Seandainya Islamofobia dalam kalangan mereka dapat dikendurkan, dan budaya murni Islam berjaya diperkenal, dengan perlahan-lahan akan menimbulkan perasaan ingin tahu dan saling mengenali seperti mana yang berlaku di Barat. 


Suasana apabila selesai kerja jam 6 petang, Daud Kim dan pekerja binaan lain berduyun pulang. - Kredit foto: YouTube Daud Kim


Biarpun usaha membina masjid di Diego berhadapan pelbagai kesukaran termasuk tentangan daripada masyarakat setempat namun dengan bantuan saudara-saudari Muslim, pembinaan akan diteruskan dan lambat laun akan siap juga.  

Sebenarnya sudah adapun surau diguna oleh masyarakat Islam bukan Korea yang menetap di situ dan pelajar asing untuk solat. Demi keselesaan dan untuk menampung lebih ramai jemaah, mereka mengusahakan pembinaan masjid. Pelajar asing turut membantu menjayakan usaha berkenaan.

Sekitar awal tahun 2023 ini, Daud Kim datang ke situ bersama timnya untuk mendengar masalah semasa dan membantu dari segi pengumpulan dana. 

Ketika itu masjid sudah 70 peratus siap tetapi sampai kini belum sempurna walaupun jumlah dana sudah berjaya diperolehi. Difahamkan apabila pembinaan tertangguh, harga barang dan kos pembinaan terus bertambah. 



Daud Kim tidak hanya fokus membantu pembinaan masjid di Diego, katanya pada masa sama dia turut mengumpul dana untuk membina sebuah lagi masjid, di Seol, ibu kota Korea. Dia menyeru pengikutnya untuk terus membantu dengan memberi sumbangan mengikut kemampuan. 

Maklumat saluran untuk menderma, dapatkan pada bahagian diskripsi video YouTube Daud Kim. - KitaReporters


18
20
0
15
0
You will be interested