Beberapa warga emas memakai T-Shirt warna merah untuk mengelak terlepas pandang daripada petugas serta sukarelawan yang menemani mereka.
SERONOK bukan kepalang bagi 30 warga emas apabila dibawa untuk ‘cuci mata’ dalam program ‘outing’ ke pusat beli-belah di Putrajaya dan Taman Melawati, Selangor pada 25 dan 26 Jun 2024.
Seharian berkurung dalam bilik, program berkenaan ternyata memberi kegembiraan kepada warga emas dari tiga pusat jagaan iaitu Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) dan Pusat Jagaan Insan (PJI) di Semenyih dan Beranang, Selangor.
Warga emas berkenaan yang dibahagi kepada dua kumpulan pada hari berbeza diiringi petugas serta ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) sebagai membantu melancarkan pergerakan mereka terutama yang perlu dipimpin atau berkerusi roda untuk meronda-ronda ‘cuci mata’ sekitar pusat membeli-belah berkenaan.
Selaku penerbit dan pengarah filem ZZAK, Mawi (tengah) dan isterinya Ekin Rahmat (kiri) menyantuni warga emas dari tiga pusat jagaan terbabit sebaik sahaja mengetahui kedatangan mereka ke panggung di pusat beli-belah Putrajaya.
Ibarat rezeki tidak salah alamat, apabila warga emas, petugas serta sukarelawan terbabit mendapat tiket percuma untuk menonton filem Zim Zim Ala Kazim (ZZAK) yang ditaja seorang dermawan prihatin yang mahu mengembirakan hati warga emas di tiga pusat jagaan itu.
Bukan suatu yang mustahil mungkin ada dalam kalangan warga
emas itu tidak pernah menonton filem dan melihat keadaan dalam panggung selain
sudah tentu berasa seronok dapat bersama-sama rakan merasai pengalaman
berkenaan.
Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata dia menzahirkan ucapan terima kasih kepada dermawan berkenaan yang menghubungi beliau untuk memaklumkan kesediaan menaja tiket bagi memberi peluang kepada warga emas memasuki panggung untuk menghiburkan hati menonton filem ZZAK.
Menurutnya, peluang sebegini memang belum pernah diterima dan ia sudah pasti menggembirakan hati warga emas terbabit dalam menghilangkan rasa bosan dan stres apabila hanya duduk berkurang di dalam bilik dan bergerak di sekitar pusat jagaan berkenaan sahaja.
Petugas dan sukalewan KESUMA'24 mengiringi warga emas untuk ke panggung.
Tambahnya, kebetulan pula jalan cerita filem berkenaan mempunyai nilai murni dan serta didikan moral yang sesuai untuk ditonton warga emas terbabit kerana mereka mungkin melalui perjalanan hidup seperti dipaparkan sebelum tersisih di pusat jagaan.
“Cerita itu boleh menjadi teladan kepada warga emas ini atau
kita semua apabila menghadapi situasi perjalanan hidup dalam suasana masyarakat
yang mempunyai pelbagai perangai serta perasaan terhadap orang sekeliling
hingga membawa berlaku perkara tidak sepatutnya,” ujarnya ketika ditemui.
Muhammad Syafiq, berkata apabila mendapat tawaran daripada
dermawan terbabit dia juga menganggap suatu inisiatif terbaik untuk membawa
warga emas tiga pusat jagaan itu bersiar-siar sekitar pusat beli-belah yang mungkin belum
pernah dilalui mereka.
Jelasnya, langkah itu juga dapat membuka minda warga emas berkenaan untuk melihat dunia luar yang sudah bertahun-tahun tidak berpeluang selepas mencari perlindungan di pusat jagaan berkenaan bagi meneruskan sisa-sisa hidup apabila disisih oleh ahli keluarga atau sanak saudara.
“Bagi warga emas pernah melalui keriangan hidup pada usia muda mungkin pusat beli-belah ini bukan suatu yang baharu bagi mereka malah menjadi tempat melepak bersama-sama rakan sepejabat atau sekolah sebelum berganjak usia dan terdampar di pusat jagaan.
“Apa pun yang berlaku kepada warga emas ini pada masa lalu akan turut dilalui generasi akan datang dan paling penting saya bersama petugas serta ahli KESUMA’24 berlapang dada serta berasa gembira dapat mengiringi mereka sehingga berakhir dengan menonton filem ZZAK,” katanya.
Pengurus PJI, Muhammad Rafiq Izuddin Rohaimi (kanan) menemani warga emas yang berkerusi roda dan diserang strok.
Seorang warga emas dari PJMM yang ditemui, Faridah Esa, bekiau berkata apabila dapat peluang datang beramai-ramai bersama rakan dari pusat jagaan untuk 'cuci mata' di pusat beli-belah serta menonton filem dia teringat kehidupannya sebelum itu yang pernah ikut ahli keluarga dan cucu ke panggung.
Katanya, tetapi semua itu tinggal kenangan sahaja kerana dia
sudah lama tidak dapat melihat anak atau cucu selepas dibiarkan untuk mencari
tempat berlindung sendiri sebaik sahaja discaj dari hospital sebaik sahaja sembuh
menerima rawatan.
Bagi Mohamed Tajuddin Mohamed Husain dari PJNH pula, dia berasa amat gembira dibawa untuk menonton filem di panggung walaupun terpaksa diiringi petugas dan sukarelawan bagi menjamin keselamatan diri kerana ramai yang sudah uzur selain perlu dibantu bagi melancarkan pergerakan.
“Saya juga suka jalan cerita filem ini kerana banyak memberi teladan di samping menyedarkan kita untuk mengekalkan kehidupan harmoni termasuk kami yang menjadi penghuni di pusat jagaan dan memiliki pelbagai perangai sehingga petugas serta sukarelawan terpaksa menyantuni dengan bijak,” ujarnya.
Mawi (tengah) sejak awal lagi sudah menunggu kumpulan warga emas yang berikutnya, petugas dan sukarelawan di panggung pusat membeli-belah di Taman Melawati bagi menyantuni mereka menonton filem ZZAK.
Manakala Abu Mutalib Mohd Ariffin dari PJI pula berkata, peluang keluar ‘cuci mata’ dan ‘outing’ seperti itu dapat meredakan stres menahan derita sakit serta uzur apabila dapat berlibur walaupun terpaksa berkerusi roda atau dipimpin untuk bergerak.
“Ini rezeki saya kerana kebetulan bukan hari terpaksa mendapatkan rawatan dialisis apabila terpilih mengikut rakan-rakan senasib keluar berjalan ke pusat beli-belah seterusnya menonton filem ZZAK sebelum pulang ke pusat jagaan,” katanya. - KitaReporters