
Pejabat Pos Bukit Rotan terletak di tepi jalan utama Kuala Selangor-Sabak Bernam bakal berusia 100 tahun pada tahun hadapan (2026).
PEJABAT Pos Bukit Rotan, Kuala Selangor kini berusia 99 tahun. Tahun hadapan 2026 ia menjangkau usia 100 tahun, menjadikannya antara pejabat pos tertua di negara ini.
Dalam usia mencecah satu abad, pejabat pos ini masih tegak berdiri. Uniknya, bangunan pejabat pos ini kekal seperti bangunan asal yang dibina pada 1926, di atas tapak yang sama.
Diperbuat daripada kayu, dan berbentuk seperti rumah tradisonal Melayu, ia mengekalkan struktur dan binaan asal. Ketika banyak pejabat pos lain sudah berubah menurut peredaran masa, Pejabat Pos Bukit Rokan berdiri megah tanpa perubahan fizikal.
Bukan Pos Malaysia tidak mampu menggantikannya dengan pejabat pos baharu. Struktur lama sengaja diabadikan untuk memastikan keunikan pejabat pos berkenaan tidak terjejas.
Pejabat pos ini terletak di Bukit Rotan, di tepi jalan utama Kuala Selangor-Sabak Bernam. Jika dari Kuala Lumpur atau Ijok, pejabat pos ini sebelum sampai ke pekan Kuala Selangor.

Bagi penulis, setiap kali balik ke kampung di Bagan Datuk, Perak, melalui Lebuh Raya LATAR (Lebuh Raya Assam Jawa - Taman Rimba Templer yang juga dirujuk sebagai Lebuh Raya Kuala Lumpur - Kuala Selangor) menuju ke Kuala Selangor dan Sabak Bernam, pasti melintasi pejabat pos ini.
Dari
kejauhan sudah nampak menyerlah bangunan bersaiz sederhana berukiran rumah
Melayu. Dengan bangunan papan bercat putih, Pejabat Pos Bukit Rotan nampak
begitu klasik. Ia sudah menjadi bangunan bersejarah dan tarikan pelancong.
Malah
penduduk tempatan sendiri tidak mahu dibuat apa-apa perubahan terhadap pejabat pos tersebut. Antara penduduk dengan pejabat
pos tersebut bagai sudah sebati, sudah jadi teman setia sejak sekian lama.
Jumlah
penduduk yang berurusan di pejabat pos sekitar 50 orang sehari. Pada waktu
puncak, misalnya awal bulan, jumlahnya bertambah.
Mungkin jumlah
pelanggan dianggap tidak begitu ramai berbanding pejabat pos besar lain di
negara ini. Namun mereka tetap berkunjung untuk membuat urusan seperti membayar bil
utiliti dan urusan pos lain.
Pada era di mana bil utiliti boleh dibayar secara dalam talian, mereka lebih suka datang ke pejabat pos melakukan urusan secara fizikal. Ini bukti sayang dan setia mereka terhadap Pejabat Pos Bukit Rotan yang telah wujud sejak sebelum mereka lahir, atau mengenalinya sejak mereka kecil.

Orang ramai berurusan di Pejabat Pos Bukit Rotan dalam suasana tenang dan santai. Kebanyakan mereka sudah seperti rakan yang sering datang dan bertemu ketika berurusan.
Pejabat pos ini beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada hari bekerja, dan ditutup pada Sabtu dan Ahad.
Pejabat pos
tersebut seperti rumah orang dulu-dulu, lambang rumah tradisional Melayu lama. Penduduk tidak mahu Pos Malaysia membuat perubahan kerana antara pejabat
pos dengan penduduk setempat ada ikatan nostalgia.
Kerana
pelanggan yang berurusan di Pejabat Pos Bukit Rotan tidak ramai, mereka bagai teman
rapat yang sering bertemu apabila berurusan di pejabat pos berkenaan. Mereka juga seperti rakan dengan staf pejabat pos tersebut.
Menariknya,
terdapat pelanggan yang sanggup datang dari jauh seperti Bestari Jaya untuk
berurusan kerana nostalgia. Sewaktu kecil mereka biasa bermain di kawasan
tersebut bersama rakan, sesudah dewasa pejabat pos itu tempat berurusan.
Ada yang ketika kecil dibawa oleh ibu bapa ke pejabat pos tersebut untuk mengepos surat atau membuat urusan pos lain. Kini mereka pula berbuat demikian.

Pejabat Pos Bukit Rotan pernah diabadikan dalam stem kenangan-kenangan khas Pos Malaysia keluaran tahun 2010.
Walau pun berusia hampir satu abad, struktur Pejabat Pos Bukit Rotan tidak goyah. Namun sebagai bangunan lama ada kala berlaku kerosakan kecil di sana sini. Jika ini berlaku pengurusan Pos Malaysia akan segera memperbaiki.
Satu lagi
keistimewaan Pejabat Pos Bukit Rotan ialah ia tidak menggunakan sistem nombor.
Pelanggan selesa menunggu di ruang yang disediakan. Namun begitu, masa perkhidmatan
bagi setiap urusan biasanya tidak lebih lima minit.
Untuk
rekod, keunikan Pejabat Pos Bukit Rotan pernah diabadikan dalam setem khas
keluaran Pos Malaysia pada 2010. Keluaran khas ini memaparkan 14 pejabat pos di
seluruh negara dalam bentuk asal. - KitaReporters