Dua tahun lalu, negara kita dikejutkan dengan tragedi seorang wanita yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental memandu kenderaan lalu merempuh sekumpulan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun sehingga mengorbankan tiga nyawa.
Tragedi itu bukan sekadar kemalangan jalan raya, tetapi isyarat jelas kegagalan sistem dalam mengurus pesakit mental yang berisiko.

Baru-baru ini pula, masyarakat sekali lagi dikejutkan dengan kes seorang individu yang disyaki mengalami gangguan mental memandu secara berbahaya sehingga mengorbankan nyawa seorang wanita, iaitu penuntut UniSZA di Trengganu.
Pemandu kereta berkenaan disahkan mengidap Major Depression Disorder atau MDD sejenis sakit mental.
Sebelum itu, juga tidak kurang kes keganasan, kecederaan dan kematian yang melibatkan individu dengan masalah penyakit mental yang tidak dirawat, tidak dipantau atau dilepaskan begitu sahaja ke dalam komuniti tanpa sistem sokongan yang kukuh.
Persoalannya, sampai bila tragedi demi tragedi ini perlu berlaku sebelum kita mengakui bahawa isu kesihatan mental di Malaysia sedang berada pada tahap membimbangkan.
Seringkali masalah kesihatan mental dilihat sebagai isu peribadi atau masalah keluarga semata-mata. Pesakit dianggap beban, manakala penjaga pula dipersalah apabila berlaku kejadian tidak diingini.

Hakikatnya, ini adalah kegagalan sistem dalam negara kita. Pesakit mental yang tidak menerima rawatan berterusan dan menjalani rehabilitasi yang sesuai, bukan sahaja berisiko mencederakan diri sendiri, malah boleh mengancam keselamatan dan nyawa awam.
Sistem rawatan kesihatan mental negara hari ini masih terlalu tertumpu kepada rawatan hospital dan ubat-ubatan.
Selepas discaj, ramai pesakit dihantar pulang ke rumah tanpa pelan pemulihan jangka panjang.
Keluarga yang tidak terlatih dan sudah keletihan dipaksa menjadi penjaga sepenuh masa tanpa sokongan profesional.
Akibatnya, pesakit mudah relapse, hilang kawalan dan akhirnya mencetuskan tragedi yang tidak dpt dielakkan.

Pesakit mental perlu dirawat.
Lebih membimbangkan, ketiadaan pusat rehabilitasi mental komuniti yang menyeluruh, menjadikan pesakit yang masih mempunyai potensi untuk pulih terbiar tanpa hala tuju dan berkemungkinan boleh menyebabkan penyakit mereka kembali bertambah teruk.
Apa yang menyedihkan, negara dan masyarakat kita hanya bertindak selepas tragedi berlaku dan bukan mencegah sebelum nyawa terkorban.
Isu ini bukan lagi soal simpati terhadap pesakit mental. Ia adalah isu keselamatan masyarakat dan kestabilan negara.
Setiap kemalangan maut, setiap nyawa yang hilang, membawa kos yang besar dari segi emosi, sosial dan ekonomi.
Kos rawatan kecemasan, siasatan polis, proses perundangan, pampasan dan trauma masyarakat, jauh lebih tinggi berbanding kos menyediakan rawatan dan rehabilitasi yang berkesan sejak awal.
Kerajaan dan masyarakat perlu berhenti memandang remeh isu ini. Stigma terhadap pesakit mental perlu digantikan dengan kefahaman bahawa rawatan dan rehabilitasi adalah satu pelaburan keselamatan.

Pesakit mental yang dirawat dan dipantau dengan baik mampu hidup berfungsi, bekerja dan kembali menyumbang kepada masyarakat.
Sudah tiba masanya negara mempunyai pendekatan lebih tegas dan menyeluruh termasuk penubuhan pusat rehabilitasi mental komuniti, pemantauan pesakit berisiko tinggi, sokongan kepada penjaga serta kerjasama erat antara hospital, agensi keselamatan dan komuniti setempat.
Berapa banyak nyawa lagi perlu terkorban sebelum kita bertindak?
Kesihatan mental bukan isu pinggiran. Ia adalah barah senyap yang, jika terus diabaikan, akan mengancam keselamatan masyarakat dan masa depan negara. - KitaReporters