"Sampai sekarang saya tidak tahu dan masih bertanya kepada diri sendiri, mengapa Allah memilih aku untuk melakukan kerja-kerja ini?

"Malah, saya tidak pernah menyangka nasi lemak ikan dan karipap yang disediakan oleh isteri tujuh tahun lalu akan mengubah seluruh perjalanan hidup ini daripada seorang yang agak nakal kepada kerja-kerja kebajikan bagi menyantuni gelandangan di Kuala Lumpur," kata pengamal media, Saipul Adli Mohamad.
Segalanya bermula apabila Saipul, yang kembali ke Kuala Lumpur selepas berkhidmat di Pulau Pinang memuat naik dalam Facebook (FB) cerita dia menjalankan bisnes kecil-kecilan menjual nasi lemak dan karipap di pejabat.
Postingnya menarik minat seorang aktivis, Haliza Abdul Halim yang menempah 100 bungkus nasi lemak dan meminta Saipul menghantar makanan itu menggunakan perkhidmatan Grab kepada gelandangan di kawasan sekitar Stesen Bas Klang, Kuala Lumpur.

Saipul Adli Mohamad.
"Namun, atas naluri ingin tahu, saya memilih menghantar sendiri pesanan itu. Itulah pertama kali saya bertemu ramai gelandangan yang menghuni di bawah jambatan Sungai Klang.
"Dan, pada pagi itulah, buat pertama kali, hati tersentuh. Saya terkejut melihat mereka dalam keadaan serba daif, timbul rasa simpati lalu saya berazam kepada diri sendiri untuk membantu mengagih-agihkan makanan sekurang-kurangnya sekali seminggu," katanya.
Kemudian, posting ringkas di FB bersama gelandangan membuka pintu rezeki lain. Rakan dan orang awam mula menghulurkan sedekah, malah lebih ramai mahu turut bersama memberi makan kepada golongan memerlukan itu.
"Lantas, saya menghubungi Haliza untuk meminta izinnya memberi satu slot lagi bagi membolehkan saya menyediakan nasi lemak ikan dan karipap daripada wang yang disedekah orang ramai.
"Alhamdulillah, saya mendapat kebenaran mengagih-agihkan makanan setiap Jumaat.


Gelandangan di ibu kota tidur di mana sahaja ada tempat kosong untuk mereka melelapkan mata termasuk di kaki lima kedai dan bawah jambatan Sungai Klang.
"Saya mendapat bantuan Tiagu yang juga kenalan Haliza. Nasi lemak dan karipap yang dibawa dari rumah di Ampang diserahkan kepada lelaki berbangsa India itu untuk diagih-agihkan kepada gelandangan di tepi Sungai Klang dan kawasan sekitar.
"Saya terkejut kerana selepas itu semakin ramai menghubungi saya, ada berminat menyumbang, ada sekadar mahu "menumpang pahala” dan ada mengucapkan terima kasih kerana tolong buat apa mereka tak mampu buat.
"Dari satu pesanan kecil, ia bertukar menjadi gerakan kecil, rutin dan perjuangan," katanya.
Bersama Haliza yang berstatus OKU dan Tiagu, Saipul kini mempunyai slot tetap setiap Jumaat untuk mengagihkan nasi lemak dan karipap kepada gelandangan.
Dia turun sendiri ke lapangan atau menggunakan khidmat Grab jika sibuk, yang penting makanan itu sampai kepada insan-insan yang menunggu.
Setiap Jumaat, Saipul menyediakan 120 bungkus nasi lemak serta 200 biji karipap.
Lokasi penghantaran ialah kawasan tumpuan gelandangan di bawah jambatan berhampiran Sungai Klang, Pasar Seni, Petaling Street dan sekitar Bangkok Bank.

Haliza Abdul Halim yang menjadi mentor Saipul untuk terbabit dalam kerja-kerja kebajikan dan sukarelawan termasuk menyantuni gelandangan.
“Kalau saya tak hantar, mereka perasan. Mereka tunggu,” katanya sambil memandang penulis dalam perasaan yang sukar digambarkan.
Setiap kali Saipul tiba berhampiran Sungai Klang, dia turut melihat wajah-wajah baharu termasuk pekerja bergaji kecil yang tidak mampu menyewa bilik.
Ada yang datang tanpa baju, berjalan tanpa selipar. Kebanyakannya rakyat tempatan tapi ada juga warga asing.
"Saya menjadi jambatan antara penderma dan gelandangan. Mereka panggil saya "abang nasi lemak ikan". Seronok dapat tengok senyuman mereka dan kata-kata terima kasih apabila menerima nasi lemak dan karipap.
"Walaupun tugas mengagihkan makanan kelihatan mudah tapi hati saya selalu tersentuh dan sebak.
"Ada masanya ketika pulang ke rumah daripada tugas amal itu, saya sebak di dalam kereta. Pertanyaan yang sama, kenapa Allah pilih aku?,” katanya.

Saipul turut menyantuni kanak-kanak yang mengikut ibu bapa mereka menjadi gelandangan disebabkan pelbagai masalah sosial.
Sejak melakukan kerja amal ini, tempahan nasi lemak dan karipap meningkat, kini dia menyiapkan ratusan karipap frozen untuk pelanggan tetap.
"Dulu agihan nasi lemak diadakan dua kali seminggu iaitu pada Rabu dan Jumaat, namun kerana dana berkurangan, agihan hanya pada Jumaat saja.
"Tapi rezeki tak pernah putus, tempahan karipap frozen pula meningkat dan saya pun tak tahu macam mana, mungkin sebab doa gelandangan," katanya
Dia beberapa kali membawa anaknya ke lapangan supaya si kecil melihat realiti ketabahan hidup manusia yang sabar dengan apa yang ada dan dunia yang membuat seseorang menjadi lebih bersyukur.
Walau sudah 28 tahun menjadi pengamal media, Saipul percaya kerja kemanusiaan itu mengajarnya menjadi manusia ikhlas.
Baginya, cabaran berbeza selepas pulang dari bertugas di Pulau Pinang pada 2018 bukan kebetulan, tetapi hikmah yang membuka pintu kepada perjalanan amal ini.

Ada gelandangan warga emas yang masih berteduh di bawah jambatan dan sentiasa mengharapkan nasi lemak yang dibekalkan oleh Saipul.

Walaupun kadangkala mengalami masalah kesihatan, Saipul tetap turun ke lapangan kerana ada insan-insan yang menunggu bekalan nasi lemaknya.
“Saya buat kerja ini bukan untuk popular. Ini amanah. Orang bagi duit untuk infaq, saya tunjukkan bukti.
"Penderma gembira bila tengok gambar agihan makanan yang bermakna sumbangan mereka terus sampai kepada penerima. Sudah pasti, amanah jaga duit orang ni berat dan saya mahu tunaikan dengan apa cara sekalipun," katanya.
Kini, tujuh tahun berlalu. Dalam tempoh itu, dia melihat kemiskinan, kehilangan, kematian dan keajaiban kecil yang muncul daripada senyuman gelandangan yang menerima bungkusan nasi lemak.
Rahsia Allah memilihnya untuk kerja-kerja itu masih belum mendapat jawapan. Cuma Saipul yakin Allah sayangkan dirinya.
“Jika uzur atau tidak larat nanti, biarlah anak saya teruskan. Cuma, selagi Allah beri kudrat, saya akan lakukan amanah ini.
"Kerja amal ini bukan satu bebanan malah menjadi nikmat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
"Saya bukan orang besar atau tokoh dermawan, sekadar insan biasa berbekalkan periuk nasi lemak, karipap panas dan hati yang tidak sanggup melihat sesiapa kelaparan di bawah jambatan.
"Kerja amal ini saya lakukan atas dasar keikhlasan dan amanah. Setiap sumbangan direkodkan dan agihan dipaparkan dalam media sosial supaya penderma yakin wang mereka benar-benar sampai kepada penerima," katanya bagi mengakhirkan perbualan. - KitaReporters

Saipul menjadi jambatan antara penderma dan gelandangan dan tugas itu dilakukan dua kali seminggu, Rabu dan Jumaat.