Pada era digital ini, media sosial menjadi sebahagian kehidupan seharian. Ia bukan sahaja memudahkan komunikasi, tetapi membuka ruang yang luas untuk menyebarkan maklumat dengan pantas.

Namun, kemajuan ini turut disalahgunakan segelintir pihak untuk menyebarkan berita tidak benar, gosip dan fitnah yang memecahbelahkan masyarakat.
Pada era teknologi moden ini, kebenaran bukan dinilai berdasarkan ilmu sebaliknya siapa yang lebih lantang dan pantas bersuara.
Ini menjadikan masyarakat bingung, penat melihat politik yang saling menuding, media sosial yang menanam kebencian dan bicara agama yang gemar menghukum.
Setiap hari masyarakat disajikan dengan berita-berita yang menggugat ketenangan jiwa, anak muda membuli atas nama pengaruh, sebahagian agamawan saling menempelak atas nama kebenaran dan rakyat yang terperangkap antara ketaksuban dan kejahilan.

Forum Masyarakat Madani, "Menolak Ketaasuban, Mempromosi Hikmah" menampilkan ahli panel hebat yang terdiri daripada Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan, Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib, Ustaz Zainal Abidin Abdul Rahim dan Ustaz Nu'Man Hani Jamal.
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Badlishah Sham Baharin, berkata inilah yang kita panggil krisis hikmah, bukan kerana agama itu lemah tapi pendekatan dan cara sebahagian kita yang beragama sudah kehilangan roh rahmah.
Beliau berkata, "Menolak Ketaasuban, Mempromosi Hikmah" bukan sekadar slogan tapi ia peringatan kepada umat Islam untuk kembali meneladani akhlak Rasulullah SAW yang mengajar kita bahawa agama tidak datang untuk menghukum tapi untuk membimbing.

Badlishah Sham Baharin
"Ketaasuban sama ada kepada kelompok parti, mazhab atau individu adalah racun yang membunuh nilai rahmah. Apabila fanatik menguasai jiwa, manusia mula menganggap hanya dirinya betul dan semua yang lain salah.
"Justeru, IKRAM melalui Jabatan Pendidikan Masyarakat (JPM) terpanggil untuk menyediakan modul Asas Islam Rahmah (AISAR) sebagai naratif baharu bag membina masyarakat Malaysia yang seimbang antara prinsip dan kasih sayang.
"AISAR bukan teori kosong tapi satu kerangka pemikiran dan tindakan untuk menanam nilai Islam dalam masyarakat majmuk. AISAR menerangkan Islam secara syumul bukan sekadar hukum tapi hikmah, bukan sekadar fiqh tapi akhlak dan bukan sekadar syariat tapi rahmat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Masyarakat Madani, "Menolak Ketaasuban, Mempromosi Hikmah" melalui AISAR di Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor.
Turut hadir, Pengerusi Masjid, Prof Emeritus Datuk Dr Ir Riza Atiq Abdullah; dan Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Selangor, Ahmad Shukri Adnan.

Badlishah Sham Baharin bergambar kenangan bersama sebahagian jemaah yang hadir sempena Forum Masyarakat Madani anjuran IKRAM Malaysia.
Forum Masyarakat Madani membariskan ahli panel, pendakwah selebriti, Imam Muda Asyaf Mohd Ridzuan; Pengerusi Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN), Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib; pendakwah bebas, Ustaz Zainal Abidin Abdul Rahim; dan moderator, Ustaz Nu'Man Hani Jamal.
Beliau berkata, Forum Masyarakat Madani bukan mahu menyalahkan sesiapa tetapi menyedarkan bahawa sikap fanatik menutup ruang untuk perbincangan berasaskan hikmah dan rasional, sekali gus menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

Badlishah (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr Ir Riza Atiq Abdullah.
"Malaysia baru-baru ini menyaksikan tragedi sosial yang membimbangkan termasuk kes buli remaja daripada pengaruh permainan maya, serangan terhadap pendakwah kerana perbezaan pandangan serta pertelingkahan politik yang mencemarkan nama Islam dengan makian dan kebencian.
"Inilah manifestasi ketaasuban tanpa ilmu kerana Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya (orang yang tidak layak), maka tunggulah saat kehancuran (kiamat)" - HR al-Bukhari.
"Begitulah apabila ilmu ditinggalkan, agama kehilangan jiwa. Apabila hikmah diabaikan, rahmah tidak lagi terasa. Dan, apabila rahmah hilang, umat tidak lagi kasih kepada alam," katanya.

Sebahagian jemaah wanita yang hadir sempena Forum Masyarakat Madani di Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor.
Katanya, masyarakat Madani yang diimpikan bukan kelompok yang membisu dalam kebenaran tapi berani bersuara dengan hikmah dan kasih sayang.
Dalam dunia politik, hikmah bermakna perbezaan pandangan tapi bukan perpecahan.
"Dalam dunia dakwah pula, hikmah bermakna nasihat bukan menghina. Dalam dunia pendidikan, hikmah bermakna mendidik dengan sabar bukan menghukum dengan marah.
"Hikmat bukan kelembutan yang lemah tapi ketegasan yang tenang. Inilah seni Rasulullah SAW.
"Konsep rahmah bukan milik sesiapa tapi ia tanggungjawab semua, dari rakyat biasa hingga pemimpin. Kita perlu menghidupkan kembali budaya mendengar sebelum menghukum, berfikir sebelum menuding dan memahami sebelum menolak.
"Bayangkan jika budaya ini hidup dalam keluarga, sekolah, media dan politik negara, tentulah Malaysia akan menjadi negara Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur yang kita impikan," katanya.

Pelbagai jenis buku dan bacaan bacaan dijual kepada pengunjung sempena Forum Masyarakat Madani.
Badlishah Sham mengajak masyarakat kembali menilai sesuatu berdasarkan ilmu, bukannya emosi atau tekanan kelompok.
Amalkan sikap kritis, bertanya, dan menilai kebenaran sebelum mempercayai sesuatu maklumat sebagai benteng dalam membina masyarakat yang matang.
"Mempromosikan hikmah mendidik masyarakat berfikir secara rasional selain mengukuhkan toleransi, keamanan dan keharmonian sosial.
"Menolak ketaasuban bukan bermakna kita kehilangan prinsip tapi ia adalah kebijaksanaan dalam menilai maklumat, menjaga hubungan sosial dan memastikan keputusan yang dibuat hasil pertimbangan yang tepat.
"Masyarakat yang berfikiran hikmah mampu menahan diri daripada terperangkap dalam provokasi, berfikir secara kritis, dan menolak penyebaran maklumat palsu yang boleh mengancam keamanan bersama.
"Hanya melalui pendidikan, kesedaran, dan penerapan nilai hikmah dalam kehidupan seharian, kita dapat membina masyarakat yang aman selain berdaya tahan terhadap ketaasuban dan manipulasi.
"Masyarakat yang bijak akan sentiasa menilai sebelum bertindak, menyebarkan fakta bukan emosi dan mempromosi keharmonian untuk kesejahteraan bersama," katanya lagi. - KitaReporters

Orang ramai mengambil kesempatan melakukan pemeriksaan kesihatan sempena Forum Masyarakat Madani.