Kapal Sumud Nusantara bergerak meninggalkan pengkalan di Barcelona. - Kredit video: FB Nadir Al-Nuri
Demikian pesanan mengharukan daripada wakil sukarelawan Misi Sumud Nusantara, yang mana mereka kini sedang dalam perjalanan menuju ke destinasi perjuangan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla atau Flotila Sumud Global (GSF) 2025.
Selalu kita tonton video rakyat Palestin tampil berteriak memohon bantuan.
Masyarakat sedunia walau di mana saja tidak pernah sepi daripada memberi sokongan, biarpun sukar untuk membantu memberikan pembebasan namun mereka terus berjuang menerusi demonstrasi jalanan beribu riban tidak terbilang dari segenap penjuru alam melaung sokongan dan mengutuk kekejaman pihak penindas sambil memberi pelbagai tekanan.
Dan terkini masyarakat dunia berjaya mengumpul serta menyatukan tenaga sukarelawan bagi menyahut seruan rakyat Palestin menerusi misi GSF 2025, bagi menghulurkan bantuan untuk rakyat Palestin yang dilaporkan sedang di ambang kebuluran.
Lambaian daripada ribuan penyokong rakyat awam, saat pelepasan kapal misi Sumud Flotilla Global 2025 di Barcelona, Sepanyol.
Laman media sosial sedang dihujani posting peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2025 yang sedang dalam pelayaran misi bantuan ke Gaza, Palestin.
Sukarelawan dari Malaysia tidak ketinggalan berada di dalam misi ini. Ada yang tertinggal kereta api tidak tahu mengenai kegiatan penting, pelayaran misi kemanusiaan ini yang membabitkan penyertaan sedunia?
"Misi yang menjadi garis tempur terbaharu bagi aktivis awam dengan lebih 40 buah negara merempuh garis halangan menuju Gaza," lapor Zainal Rashid Ahmad (ZRA), dalam laman FB - ZRA Strim's Post.
Menurutnya lagi, Nadir Al-Nuri antara panglima kita dalam perjuangan, yang selama ini istiqamah berusaha membelah kepungan selama 22 bulan yang mencetuskan bencana kemanusiaan terhadap 2.3 juta saudara kita.

Suasana sesak sewaktu kapal hendak berlepas di pelabuhan, tanda sokongan orang awam terhadap misi Globa; Sumud Flotilla 2025. - Kredit foto: Dari laman FB salah seorang peserta
Malaysia dan Indonesia memainkan peranan bersama sebagai penyelaras bagi barisan pejuang Asia.
Selain 6,000 aktivis terlatih; misi GSF 2025 ini turut dibantu 15,000 sukarelawan global. Misi puluhan kapal ini berangkat dengan muatan stok makanan, bekalan perubatan, keperluan panel solar dan barangan kanak-kanak.
Selain aktivis muda Greta Thunberg, aktres legenda Hollywood Susan Sarandon, aktor Ireland Liam Cunningham dan aktor Sweden Gustaf Skarsgard turut menyertai misi ini, tambahnya.
Mungkin anda tertanya tanya apakah maksud Sumud dan Flotilla? Kamus dewan edisi keempat mentakrifkan `flotila` adalah kumpulan kapal kecil @ bot besar yang bergerak bersama dalam satu misi misalnya perang, namun yang ini adalah kapal misi kemanusiaan manakala `sumud` bermaksud teguh dan tabah walaupun ditekan, seperti keadaan rakyat Palestin.
Jadi nama itu mengambil semangat itulah. Semangat yang ingin dikongsi bersama dalam gerakan Flotila Sumud Sedunia @ Global.
Semua mata mereka yang prihatin terhadap apa yang berlaku di Palestin, kini tertumpu kepada perjalanan peserta misi Global Sumud Flotilla 2025.
Thiago Avila, dari semasa ke semasa memuat naik siaran, mengemas kini berita dari mana saja dia berada. - Kredit video: instagram thiagoavilabrasil.
Peserta misi memanfaatkan akaun media sosial masing-masing untuk membuat laporan kemas kini perjalanan mereka di lautan.
Teruja bercampur terharu kita melihat keberanian mereka menempuh dugaan dalam misi yang tidak menentu nasibnya.
Dalam pada tersiar kenyataan Israel akan menghalang kemasukan kumpulan GSF 2025 ke Gaza, masing-masing tetap tega meneruskan perjalanan @ pelayaran.
Sesungguhnya bukan satu perjalanan yang mudah. Baru sahaja bergerak memulakan pelayaran daripada pengkalan, kapal peserta dilanda badai Mediterranean yang kuat, sehingga ada yang terpaksa berpatah ke pengkalan menunggu gelora laut reda, menyebabkan kelewatan berlepas.

Kenyataan rasmi mengenai kelewatan pelepasan misi Global Sumud Flotilla 2025, berikutan angin kuat Mediterranean.
Masuk hari kedua, mereka yang di tengah lautan dalam kapal masing-masing dikejutkan dengan kemunculan dron yang tidak dipastikan kepunyaan pihak mana, dan apa tujuan kapal mereka diekori dari udara. Keadaan cemas sedikit apabila peserta diarah bersedia dengan memegang pasport masing-masing.
Bagaimanapun tidak ada apa yang buruk berlaku selepas itu.
Kini sudah memasuki keempat mereka dalam pelayaran misi untuk memecahkan sekatan yang menyebabkan penduduk Palestin di Gaza berada di ambang kebuluran.
Konvoi pertama terdiri daripada berpuluh-puluh kapal awam kecil yang membawa aktivis, kemanusiaan, doktor, pelaut, dan bekalan kemanusiaan, berlepas dari pelabuhan Sepanyol pada 31 Ogos untuk bertemu di Tunisia dengan gelombang kedua pada 4 September 2025.
Penganjur menggambarkan GSF 2025 sebagai misi maritim terbesar ke Gaza, mengumpulkan lebih 50 kapal dan delegasi dari sekurang-kurangnya 44 negara.
Global Sumud Flotilla ialah inisiatif maritim antarabangsa yang diterajui masyarakat awam dilancarkan pada pertengahan 2025, untuk memecahkan sekatan Israel di Semenanjung Gaza.

Sumud Nusantara dan Global Sumud Flotilla memulakan pelayaran dari Barcelona, 31 Ogos 2025. - Kredit Gambar: FB ZRA Strim
Pada 30 Ogos 2025, jawatankuasa antarabangsa untuk membebaskan Gaza daripada sekatan pada Sabtu lalu (30 Ogos 2025) mengumumkan bahawa `Global Sumud Flotilla` bakal memulakan pelayaran dari Barcelona pada ahad (31 Ogos 2025), diikuti pelayaran kedua dari Tunisia pada Khamis, 4 September 2025, bagi mencabar sekatan Israel ke atas wilayah Palestin.
Memetik agensi berita antarabangsa yang beribu pejabat di Ankara, Anadolu Ajansi, Bernama melaporkan mengikut satu kenyataan, jawatankuasa itu menyifatkan flotila kali ini sebagai protes global terhadap `sekatan dan genosid` di Gaza, sambil mendakwa institusi antarbangsa ‘gagal dan bersekongkol.”
Konvoi itu bukan sekadar bot @ kapal kecil simbolik yang membawa misi bantuan sebaliknya mesej kemanusiaan yang kuat mencerminkan tekad dunia untuk menamatkan sekatan.
Kredit video: FB PU Amin
Setiap kapal membawa jeritan harapan untuk Gaza dan suara global yang menuntut penamatan segera terhadap sekatan dan ketidakadilan terhadap penduduk Palestin, kata kenyataan itu.
Flotila Sumud Global disertai 4 kumpulan yang berinisiatif iaitu;
- Flotila Sumud Maghreb
- Pergerakan Global ke Gaza
- Gabungan Flotila Kebebasan, dan
- Sumud Nusantara
Sumud Nusantara adalah kumpulan dari rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia. Konvoi Asia ini turut menyatukan pejuang Indonesia, Filipina, Maldives, Bangladesh, Bhutan, Thailand, Sri Lanka, Nepal dan Pakistan.

Penganjur berkata misi ini adalah susulan usaha mengharungi cabaran sekatan yang pernah dihadapi kapal Turki, Mavi Marmara pada 2010 serta misi kapal al Dhamir, Madleen dan Handala tahun ini (2025).
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam FB-nya menyifatkan Sumud Nusantara sebagai jejak kecil dengan tekad besar.
Flotila ini adalah lambang keberanian dan keteguhan jiwa kita semua yang tetap teguh berdiri dan menolak keganasan yang dipaksakan kepada Gaza.
Gerakan ini bermula dari misi flotila ke Gaza sekitar 2009, solidariti besar-besaran 2014, kempen “We Are Sumud” dalam media sosial pada 2018, hingga kini membentuk jaringan Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand Selatan dan Filipina Selatan.
Usaha kecil ini bila dikumpulkan, menjadi jambatan besar buat Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) , Datuk Dr Ahmad Sani Araby al-Kahery berkata, masing-masing 15 sukarelawan Malaysia ke Katania, Itali dan Tunisia dan kesemuanya menjalani latihan di negara itu untuk melayakkan mereka menyertai misi kemanusian global itu.
Dengan itu bermakna, seramai 30 sukarelawan dari Malaysia menyertai Sumud Nusantara 2025. Mereka bergerak dalam dua kumpulan.
Pasukan A – 15 wakil meliputi aktivis, influencer, media dan artis tempatan, antaranya Musa Nuwayri, PU Rahmat, Zizi Kirana dan Ardell. Mereka belayar dari Barcelona pada 31 Ogos 2025.

Peserta Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang menjelang pelepasan kapal Sumud Nusantara dalam misi Sumud Flotilla Global 2025 . Kredit foto - Youtube Literal Idees & Ilibres Radicals
Menjelang 31 Ogos 2025, ketika rakyat Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan negara, petugas kemanusiaan dari seluruh dunia memulakan pelayaran bersejarah - Misi Global Sumud Flotilla 2025 ke Gaza bagi memecahkan kepungan dan memaksa Zionis membuka koridor kemanusiaan dan menghentikan keganasan di Gaza.
Bersama-sama yang lain, wakil negara kita sedang mengharungi lautan luas dengan membawa amanah jutaan rakyat Malaysia dan dunia, demi memecahkan sekatan zionis dengan membawa harapan dan bekalan kepada mereka yang menanti dengan penuh harap di tebing-tebing laut Gaza.
Setiap pelayaran yang dimulakan membawa risiko, tetapi mereka tetap memilih untuk berdiri di barisan hadapan, menyampaikan mesej PENTING bahawa dunia tidak pernah melupakan Palestin.
Moga Allah melindungi dan mengurniakan kekuatan buat semua petugas kemanusiaan.
ZRA Strim's Post dalam laman FB-nya menyifatkan Sumud Global Flotilla adalah Misi Perwira Dunia yang akan menjadi garis tempur terbaharu bagi aktivis sivil lebih 40 buah negara yang merempuh garis halangan menuju Gaza.
Pergerakan Misi dipecahkan di dua pangkalan utama dengan pelayaran pertama dari Sepanyol bermula pada 31 Ogos 2025. Sebaik konvoi puluhan kapal dari garis Eropah ini merentas laluan setara, akan disambut dengan penyertaan puluhan lagi kapal dari pelabuhan di Tunisia.
Kita mendoakan delegasi Malaysia dan Nusantara serta Global selamat dalam misi ini, dikurniakan kesihatan, dipermudah segala urusan mereka serta keluarga yang ditinggalkan.
Doa kita tanda solidariti untuk perjuangan mereka. - KitaReporters