Insan & Komuniti 15 Sep, 2025

Menang RM10k! Johan pertandingan bot berhias bertemakan pakaian tradisional! Sempena Hari Malaysia!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Seorang nelayan Farhan Md Sahid, 42, dinobatkan sebagai johan setelah memenangi tempat pertama pertandingan bot berhias sempena Hari Malaysia di perairan Sungai Kerang, dekat Bukit Gantang.



Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal melancarkan pertandingan bot berhias di perairan Sungai Kerang.


Dia berjaya meraih hadiah wang tunai RM10,000 dan mengalahkan 134 peserta lain yang menyertai pertandingan bot berhias bertemakan pakaian tradisional.

Farhan berkata, dia membelanjakan lebih RM3,000 untuk menghias botnya supaya mempunyai kelaianan dengan bot lain.

"Saya tidak menyangka percubaan saya menghias bot secara sederhana tetapi meriah akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan,” katanya ditemui selepas majlis penyampaian hadiah oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di Jeti LKIM Sungai Kerang.

Farhan yang mengenakan pakaian busana Melayu dengan keris di pinggang nampak kelainan penampilannya selain berambut panjang dan bertanjak.


Farhan Md Sahid (kiri) menerima replika cek dan wang tunai daripada Syed Abu Hussin.


Beliau berkata, idea menghiaskan bot dilakukan bersama rakan-rakan dan pada awalnya hanya dianggap sebagai mencuba nasib, memandangkan penyertaan tahun ini cukup sengit kerana banyak peserta mempunyai kretiviti tersendiri.

“Alhamdulillah, saya tak sangka boleh menang pada kali ini kerana ada juga dua tiga bot lain yang cantik dan mampu bersaing dan ini rezeki berpihak kepada saya,” katanya.

Sebanyak 135 buah bot menceriakan perairan Sungai Kerang apabila pertandingan bermula jam 8 pagi itu. Upacara pelepasan telah disempurnakan oleh Syed Abu Hussin.

Acara tahunan kali keempat diadakan itu berlangsung dengan meriah apabila setiap bot dihias indah menggunakan Jalur Gemilang serta bendera Malaysia sebelum berarak sejauh kira-kira 10 kilometer.  

Rata-rata peserta pertandingan dinilai dalam aspek kreativiti dan hiasan yang menjadi kriteria utama penilaian oleh juri. 


Tiga juri sedang membuat penilaian ke atas bos yang menyertai pertandingan bos berhias.

Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata, penganjuran program yang menjadi acara tahunan dalam kalendar pelancongan daerah ini telah memperlihat komitmen komuniti nelayan terhadap semangat patriotisme.

“Acara ini bukan sekadar perarakan, tetapi satu wadah untuk memperkukuh hubungan antara komuniti nelayan dan masyarakat setempat. 

"Selain ini, ia mampu menjadi tarikan pelancong, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasan perairan ini," katanya.

Menurut beliau, setiap peserta diberikan RM300 untuk menghiaskan bot masing-masing, juara bakal membawa pulang wang tunai RM10,000, kedua (RM7,000), ketiga (RM5,000), keempat (RM3,000) dan RM1,000 untuk tempat kelima.


Sebahagian bot yang menyertai pertandingan bos berhias menggunakan kretiviti bagi menghias bot masing-masing.


Syed Abu Hussin berkata, sambutan Hari Malaysia yang diraikan secara inklusif bersama masyarakat nelayan di Parlimen Bukit Gantang ini menunjukkan simbolik semangat kebersamaan yang wajar terus dipupuk sejajar dengan gagasan Malaysia Madani.

"Kita ambil inisiatif mengadakan pertandingan ini kerana tidak mahu nelayan terpinggir daripada sebarang aktiviti nasional, ia menjadi bukti sambutan Hari Malaysia bukan sahaja boleh diadakan di daratan tetapi di lautan juga kita boleh adakan sambutan.

“Kita sentiasa menyokong penganjuran yang mengangkat identiti dan budaya nelayan, kerana mereka bukan sahaja penyumbang utama dalam bekalan makanan negara, tetapi juga sebahagian daripada warisan maritim negara yang perlu dipelihara,” ujarnya.

Syed Abu Hussin turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk persatuan nelayan tempatan, agensi kerajaan dan komuniti setempat yang menjayakan program itu, sambil menyatakan keyakinan ia mampu dikembangkan sebagai acara pelancongan bertaraf negeri pada masa hadapan. - Kitareporters

10
19
0
9
0
You will be interested