Insan & Komuniti 21 Apr, 2025

Video| Sila ambil tindakan tegas! Berulang kali malukan negara! Tidak lagi cukup dengan minta maaf!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai Stringer Berita Harian, Wartawan Berita Harian, Penyunting Harian Metro, Grup Editor Majalah IBUBAPA. Emel: kartini.mdnoor63@gmail.com

Share this

.


SUDAH semakin menjadi-jadi perbuatan sesetengah pihak yang begitu berani mencabar kedaulatan negara sehingga tergamak membuang lambang bulan sabit pada Jalur Gemilang sebagai satu "pengkhianatan" terbuka, menghina agama Islam dan memperlekeh raja-raja Melayu yang selama ini sebagai pelindung kepada agama rasmi negara.

Sebelum ini dua akhbar tempatan yang memaparkan bendera negara tanpa simbol bulan sabit itu ketika meraikan kedatangan Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping ke Malaysia dari 15 hingga 17 April 2025 lalu, menimbulkan kecaman dan kemarahan masyarakat kerana macam sengaja mahu menghina agama Islam.



Dua akhbar Cina tempatan itu, Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh, telah memaparkan bendera Jalur Gemilang tanpa bulan sabit dalam artikel editorial mereka sempena meraikan kedatangan Xi itu.

Kini satu lagi insiden menjadi tular yang mengulang perbuatan memaparkan bendera itu tanpa simbol bulan sabit mengundang kecaman dan protes orang ramai sehingga ramai netizen mula mengesyaki perbuatan itu seperti sengaja atau sabotaj untuk mencemarkan nama baik negara ini atau mengelirukan orang luar tentang simbol Jalur Gemilang itu.



Seorang pengunjung ekspo itu, Amelia Zainabila Zaiffiri membuat laporan polis selepas beliau mendakwa melihat bendera itu tidak mempunyai simbol bulan yang dipaparkan di sebuah reruai (booth) pada pameran produk bayi, TCE Baby Expo yang berlangsung di Dewan Ekspo, Tingkat 3, Mid Valley Megamall, pada Sabtu 19 April 2025.

Reka bentuk latar pentas di reruai Singapore Lactation Bakes itu hanya memaparkan 14 jalur dan bintang pecah 14 tanpa kehadiran bulan sabit -- satu elemen penting dalam Jalur Gemilang yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Amelia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield dan ramai netizen yang marah dengan kecuaian itu meminta kerajaan bertindak tegas. 

"Penerimaan mohon maaf tidak mencukupi sebab sudah berulang kali perbuatan itu dilakukan dengan ada niat tersembunyi. Lama kelamaan perbuatan itu semakin menjadi biasa," kata netizen.

Pameran tersebut yang memaparkan bendera silap berkenaan telah tular dalam media sosial.  Ramai netizen mempersoal bagaimana kesilapan amat jelas ini boleh berlaku dalam acara awam sebesar itu.



Insiden ini berlaku tidak lama selepas dua kontroversi serupa membabitkan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh, yang masing-masing menyiarkan imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit dalam bahan terbitan mereka. 

Kedua-dua kes tersebut sedang disiasat oleh pihak berkuasa kerana menyentuh sensitiviti nasional dan dikhuatiri menyalahi Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada penganjur TCE Baby Expo atau syarikat Singapore Lactation Bakes mengenai kejadian tersebut.

Paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap atau diubah suai tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. 

Orang ramai digesa agar lebih peka terhadap penggunaan bendera kebangsaan bagi mengelak perasaan tidak hormat terhadap simbol negara termasuk Jalur Gemilang.



Sementara itu wartawan veteran yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar The New Straits Time (NSTP) dan pemilik blog The Scribe, Datuk A Kasir Jasin yang dipetik daripada hantaran Facebooknya ketika diminta oleh media Merdeka Times  mengenai perbuatan akhbar Sin Chew Daily menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit, menyifatkan "Kalau penyiaran grafik itu disengajakan, saya anggap mereka ini sama ada sangat bodoh, sangat jahat atau sangat berani.

"Tapi, kalau tidak disengajakan, mereka ini sama ada bodoh kerana tidak kenal bendera negara sendiri atau mereka buat kerja sambil lewa dan sistem penyuntingan serta kawalan dalaman mereka sangat lemah iaitu mereka tidak profesional. 

"Oleh sebab mereka sudah mengaku silap, minta maaf secara terbuka dan siarkan permohonan maaf itu pada akhbar mereka, maka daripada sudut etika kewartawanan, mereka sudah melakukan apa yang perlu."

Namun dari sudut lain pula, kata Kadir, "yang tidak saya sebutkan kepada Merdeka Times, hal seperti ini lebih sesuai diadili Majlis Media Malaysia (MMM) daripada menjadi isu polis dan SKMM. 

"Jadi, sangatlah baik kalau penubuhan Majlis Media Malaysia ini boleh disegerakan."


Paling tidak boleh diterima juga ialah perbuatan menterbalikkan Jalur Gemilang.



Sehubungan itu netizen mendesak pihak berkuasa, tolonglah bertindak tegas kerana Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ismail sendiri telah bertitah bahawa bendera bukan sekadar sehelai kain berwarna-warni tetapi ia mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.

“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah Sultan Ibrahim menerusi kenyataan dalam Facebook pada 16 April 2025.


Lambang negara majmuk.... Arkitek Mohamed yang bapanya keturunan Cina dan ibunya keturunan India mencipta bendera ini adalah pencipta bendera menggantikan bendera Union Jack.


Tahukah anda bahawa Jalur Gemilang dihasilkan oleh Mohamed Hamzah (5 Mac 1918 - 19 Februari 1993), seorang berketurunan Cina dan juga merupakan seorang pereka bentuk bendera yang ahli dalam bidang veksilologi dan arkitek Malaysia. Beliau merupakan pencipta Jalur Gemilang, iaitu Bendera Malaysia.

Bapa beliau, Hamzah Abdullah seorang berketurunan Cina dan anak seorang tauke ladang gambir di Segamat, Johor.

Hamzah diambil sebagai anak angkat oleh Dato' Bentara Dalam, Dato' Ibrahim bin Abdullah Munsyi dan dibesarkan sebagai seorang Muslim. 

Ibu Mohamed pula, Aminah Tahir merupakan seorang berketurunan India Muslim dari Melaka. Mohamed dilahirkan di Hospital Kandang Kerbau, Singapura pada 5 Mac 1918, anak kedua daripada 10 beradik.

Keluarganya menetap di Jalan Mariamah (Kampung Kubor), Johor Bahru, berdekatan dengan Makam Diraja Mahmoodiah.  - KitaReporters


16
13
0
16
0
You will be interested