.
Rumah terbuka sejak bertahun-tahun menjadi acara tetap pada setiap sambutan Hari Raya Aidilfitri. Kebanyakan tuan rumah menetapkan tarikh khas untuk tetamu datang beraya ke rumah mereka.
Maknanya hanya yang dijemput sahaja boleh datang dan tidak kepada yang tidak dijemput.
Bagi yang berada, sambutannya mesti besar-besaran. Siap pasang khemah dengan hiasan cantik. Menu pula pelbagai jenis lazat dan sedap.
Ketupat rendang, lemang, nasi impit kuah kacang penyeri Syawal. Tidak cukup dengan itu, aneka kuih muih juga terhidang di meja.
Nak meriahkan lagi majlis ada yang menempah kambing bakar, ayam golek serta gerai-gerai makanan sampingan seperti mi bandung, laksa, aiskrim, apam balik dan juga sate.
Memang meriah. Tetamu pula bertali arus datang. Pendek kata tak sunyi majlis dibuatnya. Tambahan pula ada halua telinga penyeri suasana.
Tuan rumah tersenyum manis dan puas hati kerana majlis meriah. Sahabat handai, saudara mara jauh dan dekat turut meraikan Syawal. Bukan setakat makan minum, sekali gus menyambung ukhuwah, silaturahim dan persahabatan sempena hari baik dan bulan yang baik ini.

Namun sejak akhir-akhir ini terutama selepas PKP suasana sambutan hari raya sedikit berubah. Mungkin disebabkan suasana dan ekonomi yang tidak begitu menarik sehingga membebankan orang ramai rumah terbuka agak kurang diadakan.
Lalu tercetus pula idea potluck rumah terbuka dalam kalangan adik beradik dan kawan-kawan rapat.
Meriah juga potluck Aidilfitri ini. Caranya mudah sahaja. Salah seorang secara sukarela jadi tuan rumah. Yang hendak hadir bawa seorang satu menu atau lebih. Ikut persetujuan. Kuih-muih dan biskut raya pun jika ada lebih boleh dibawa.
Tuan rumah pun boleh sediakan satu menu dan air minuman. Sejuk dan panas. Pinggan mangkuk pula guna pakai buang. Selesai masalah. Tidak payah nak cuci. Sediakan plastik buang sampah di beberapa sudut.
Cara ini nampak menjadi dan lebih mudah. Jimat belanja. Masa pun tidak terbuang dan tuan rumah tidaklah sibuk di dapur. Tetapi mereka boleh duduk berbual dengan tetamu dengan senang hati.

Idea potluck rumah terbuka dalam kalangan adik beradik dan kawan-kawan rapat.
Saya percaya idea ini lebih praktikal kepada mereka yang rapat dalam perhubungan. Kena pula adik beradik, saudara mara
dan sahabat yang mudah diajak berbincang dan satu kepala.
Perkara mudah kenapa mesti kita hendak susahkan. Apa salahnya kita cuba cara ini. Mana tahu ia mungkin lebih baik dan sesuai
dalam kita menghadapi kenaikan harga barang di pasaran.
Secara tidak langsung ia juga memupuk semangat kasih sayang sesama saudara dan sahabat pada hari baik dan bulan kemenangan yang mulia bagi seluruh umat Islam.
Syawal atau Aidilitri hari kemenangan umat Islam melepasi ujian berpuasa dan cabaran sepanjang Ramadan. Oleh itu kita digalakkan menyambut hari kemenangan ini dengan sederhana dan tidak membazir.

Potluck rumah terbuka raya lebih jimat, bersederhana dan tidak membazir.
Idea potluck rumah terbuka Aidilfitri ini mungkin boleh dijadikan pembuka jalan untuk membuat rumah terbuka tahun ini dalam kalangan adik beradik dan sahabat. Sambil bersukaria, kita mohon ampun dan bersalam-salaman serta kukuhkan hubungan sehingga ke jannah.
Ibarat kata, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana kata. Sepakat membawa berkat. Semoga kita lebih istiqomah dalam meraikan Aidilfitri dan memahami erti sebenar rumah terbuka.
Yang baik kita ikut. Yang kurang kita perbaiki. - KitaReporters
Tags: