Insan & Komuniti 02 Jan, 2025

Video| Nak ambil atau tak? Lelaki terkejut burung buat sarang guna rantai emas! Rezeki atau ujian?

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Pernah dengar tak peribahasa Melayu berbunyi, yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang. Peribahasa ini bermaksud orang yang bertuah mendapat keuntungan dari mana-mana sahaja. Paling mudah, orang kita sering menyebutnya sebagai rezeki datang bergolek depan mata.

Bagaimana kalau ia terjadi kepada anda? Adakah anda merebut peluang tersebut atau berfikir terlebih dahulu. 

Yelah, kadang-kadang di sebalik rezeki datang bergolek, ada maksud lain atau pengorbanan yang perlu dipertaruhkan. Kadang-kadang rezeki datang bergolek itu kita tidak tahu halal atau haram sekiranya kita mengambilnya.



Contohnya, anda sedang berjalan dan tiba-tiba ternampak duit bernilai RM50 di tepi jalan. Adakah anda mengambilnya atas alasan rezeki atau membiarkannya sahaja kerana bukan milik anda? 

Kalau menurut hukum yang diperjelas oleh laman web Mufti Wilayah Persekutuan, seseorang itu perlu membuat hebahan kepada orang ramai (media sosial pada zaman kini) terlebih dahulu.

Sekiranya dalam tempoh tertentu tidak dijumpai pemiliknya, duit tersebut boleh disedekahkan kepada masjid atau rumah anak yatim. Namun sekiranya nilai yang besar dan berharga diwajibkan untuk mengiklankannya selama satu tahun atau boleh diserahkan kepada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan badan yang berautoriti bagi menguruskan harta tersebut.



Perkara inilah yang menjadi dilema buat seorang lelaki apabila ada rezeki datang bergolek di depan rumahnya. Namun rezekinya ini agak unik dan mistik. Dia berkongsi kisah tersebut dalam TikTok miliknya.

Dalam video yang dikongsinya itu, dia menceritakan bagaimana seekor burung (kelicap) telah membuat sarang di garaj rumahnya. Pada mulanya dia anggap itu perkara biasa. Namun dia mula tertarik kerana burung tersebut membuat sarang menggunakan pelbagai jenis bahan terbuang termasuk kulit ular.



Tetapi apa yang lebih mengejutkannya apabila dia ternampak seutas rantai yang dipercayai diperbuat daripada emas turut digunakan burung tersebut untuk membuat sarang.

“Macam-macam benda burung ni kutip buat sarang. Burung apa yang buat sarang macam ni? Tapi yang lebih terkejut apabila tengok atas sarang burung tu ada rantai emas,” tulisnya.



Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai. Pelbagai andaian dan pendapat diberikan. Ada yang mengaitkan kejadian itu dengan perkara mistik.

“Kenapa aku nampak macam lain je yang atas sekali. Macam ada sesuatu, macam muka,” tulis salah seorang netizen.



Manakala seorang lagi netizen menasihatkan agar dihebahkan terlebih dahulu selari dengan nasihat yang diberikan oleh laman web Mufti Wilayah Persekutuan.

“Kalau emas betul jangan lupa iklankan dulu setahun. Kalau tiada yang tuntut baru boleh miliki atau jual. Itupun kena tanda, mana tahu nanti ada tuan datang tuntut, wajib bagi,” nasihatnya.



Melihat komen-komen yang diberikan, rata-ratanya menasihatkan agar rantai emas itu tidak diambil dan hendaklah diserahkan kepada baitulmal. 

Namun sehingga berita ini ditulis (2 Januari 2025), masih belum dapat dipastikan sama ada rantai itu betul-betul diperbuat daripada emas atau sebaliknya. - KitaReporters



12
10
0
10
0
You will be interested