
Muhammad Faiz Fadzil (dua dari kiri) menyerahkan enjin sangkut kepada Osman Hisham (kanan) pada Program Ramah Mesra Madani Aidiladha Pengurusi LKIM Bersama Nelayan di Sungai Tinggi, Perak.
Nasib golongan nelayan di negara ini tidak dipinggirkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Ini terbukti apabila LKIM memberikan empat enjin sangkut 30 kuasakuda kepada empat nelayan, manakala tong insulasi dan jaket keselamatan kepada 22 nelayan lain di Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi, Bukit Gantang di Perak dengan nilai bantuan berjumlah RM56,850.
Pengerusi
LKIM Muhammad Faiz Fadzil sendiri turun padang untuk menyampaikan bantuan pada
Program Touchpoint tersebut.
LKIM
sentiasa berusaha dan komited untuk membantu meringankan beban yang ditanggung
golongan sasar nelayan bagi memastikan kebajikan nelayan terjaga selain
memastikan sekuariti makanan sentiasa terjamin.
Sehubungan itu, Muhammad Faiz memandang serius kes penyeludupan diesel bersubsidi melibatkan rampasan sebanyak 50,900 liter yang ditumpaskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di Lumut pada 14 Mei 2025 lalu.
Menurutnya, penyelewengan subsidi diesel merupakan perbuatan yang mencemari amanah kerajaan serta pengkhianatan terhadap usaha membantu golongan nelayan yang memerlukan.

Muhammad Faiz memakaikan jaket keselamatan kepada seorang nelayan di Jeti Sungai Kerang, Sungai Tinggi, Perak.
“Subsidi diesel adalah hak rakyat dan satu bentuk sokongan kerajaan kepada komuniti nelayan.
"Sebarang penyalahgunaan subsidi tersebut adalah perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya pada Program Rahmah Mesra Madani Aidiladha Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Sungai Tinggi yang diadakan di Jeti Nelayan Sungai Kerang, Perak pada 9 Jun 2025.
Walaupun kes penyelewengan yang berlaku itu disifatkan sebagai kes terpencil, tetapi ia jelas mencemarkan nama baik komuniti nelayan dan boleh menjejaskan kelangsungan pemberian subsidi oleh kerajaan.
"LKIM akan
mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan kelayakan subsidi kepada individu
yang terbukti menyalahgunakannya, manakala jika ada ejen penjual minyak (JT)
yang terlibat, lesen mereka akan ditarik balik,” tegasnya.
Menurut Muhammad
Faiz, subsidi diesel perlu diteruskan kerana nelayan tidak menerima subsidi lain
sebagaimana pesawah yang mendapat bantuan benih, baja dan racun.
Beliau
menjelaskan, kerajaan memperuntuk kira-kira 70 juta liter subsidi diesel
setiap bulan, bersamaan 840 juta liter setahun dengan anggaran kos mencecah
antara RM1.2 bilion hingga RM1.3 bilion bergantung kepada harga pasaran semasa.
Katanya, subsidi diesel ini memberi manfaat kepada lebih 40,000 nelayan di seluruh negara merangkumi Zon A, B dan C2 yang bergantung kepada hasil laut sebagai sumber utama pendapatan.

Muhammad Faiz (tengah) menunjukkan isyarat bagus bersama dengan penerima bantuan LKIM.
Sementara
itu, nelayan di Perak merupakan penyumbang terbesar bagi bekalan ikan di negara
ini dengan tangkapan 220,000 metrik tan setahun, manakala 120,000 metrik tan sumbangan nelayan
dari Sabah.
Tahun ini (2025),
kerajaan memperuntuk RM10 juta bagi projek baik pulih rumah nelayan membabitkan lebih
200 buah projek di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Persatuan Nelayan Sungai Tinggi turut memberikan sumbangan zakat Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) berjumlah RM10,000 kepada 50 orang nelayan dan sumbangan RM3,550 kepada 15 cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).