.
SURATAN atau kebetulan? Atau adakah ia satu keajaiban dan ‘keramat’ kerusi bernombor 11A dalam penerbangan?
Pesawat Air India Penerbangan 171 terhempas hanya beberapa saat selepas berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmedabad, Gujarat, menuju Lapangan Terbang Gatwick, London pada 12 Jun pukul 1.38 petang. Kesemua 242 penumpang termasuk anak kapal terbunuh dalam tragedi tersebut.
Namun seorang warga British, Ramesh Vishwashkumar, 40, terselamat. Hanya dia yang hidup dalam tragedi tersebut. Kumar Ramesh duduk di kerusi 11A, tepi tingkap.

Ramesh Viswashkumar penumpang tunggal yang selamat dalam tragedi pesawat Air India Penerbangan 171 terhempas di Lapangan Terbang Ahmedabad pada 12 Jun 2025.
Insiden ini mengimbau tragedi 27 tahun lalu pada Disember 1998 apabila seorang penyanyi dan pelakon Thailand, Ruangsak Loychusak, terlibat dalam kemalangan pesawat Thai Airways Penerbangan TG261. Pesawat terhempas ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Surat Thani, selatan Thailand.
Pesawat
tersebut jatuh ke dalam kawasan paya mengorbankan 101 orang daripada 146
penumpang serta anak kapal. Ruangsak antara yang selamat. Dia duduk di kerusi
bernombor 11A!
Adakah ini satu kebetulan, atau suratan ditakdirkan di mana penumpang yang duduk di kerusi 11A terselamat dalam kecelekaan? Air India dan Thai Airways tidak sama. Tetapi tragedi sama, cuma dalam kes di Thailand masih ramai terselamat.

Pelakon dan penyanyi Thailand, Ruangsek Loychusak, terselamat dalan tragedi pesawat Penerbangan Thai terhempas di Surat Thani 27 tahun lalu, mengorbankan 101 penumpang.
Apa yang berlaku kepada Ramesh dianggap satu keajaiban sedangkan yang lain rentung terbakar. Dia merangkak keluar daripada bahagian pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang tersadai di atas sebuah bangunan doktor pelatih.
Dalam
kesakitan dia berjalan ke arah ambulans yang memang siap siaga untuk kerja-kerja
mencari dan menyelamat di lokasi. Petugas penyelamat pun terkejut melihat dia keluar
daripada bangkai pesawat yang berkecai.
Menurut Ramesh,
untuk beberapa ketika dia menyangka dia sudah mati. Tetapi apabila membuka
mata, dia dapati dirinya masih hidup. Dia berusaha membuka tali pinggang
keledar. Duduk di kerusi berhampiran pintu kecemasan membantunya lebih mudah keluar
menyelamatkan diri.
Tentunya insiden ini meninggalkan trauma kepada Ramesh. Masakan tidak, sambil berusaha untuk keluar dia melihat mayat bergelimpangan di sekeliling, kebanyakannya rentung sukar dikenali.
Bagi Ruangsak Loychusak pula, tragedi yang menimpa memberi kesan mendalam sehingga trauma untuk menaiki kapal terbang selama 10 tahun selepas kejadian.
Dia juga
seolah-olah merasa bersalah kerana terselamat sedangkan ramai penumpang lain
terkorban. Namun dia menganggap yang berlaku sebagai peluang kedua untuknya
hidup.
Apabila mengikuti perkembangan tragedi Penerbangan Air India 171, Ruangsak berasa ngeri. Tubuhnya bagai digegar rasa takut kerana mengenangkan peristiwa yang pernah dialami.

Laporan media kemalangan Penerbangan Thai pada Disember 1998. Ruangsak Loychusak, antara yang selamat dalam tragedi tersebut, menerima rawatan di hospital.
Jadi adakah kerusi bernombor 11A dalam pesawat boleh dianggap ‘kerusi ajaib’ kerana dua penumpang yang duduk di kerusi tersebut selamat dalam tragedi kapal terbang terhempas?
Pakar penerbangan menyifatkan ia tidak ada kena mengena dengan keajaiban atau akan selamat dalam kemalangan jika duduk di kerusi tersebut. Bagi mereka ia hanyalah satu kebetulan.
Dalam tragedi Air India Penerbangan 171 kebetulan kerusi A11 berhampiran pintu kecemasan, memudahkan usaha menyelematkan diri.
Bagi kita umat Islam, mesti menerima hakikat semuanya adalah ketentuan Allah. Tiada kerusi tertentu bernombor selamat dan tidak selamat. Semuanya telah diatur oleh Allah. Berdoalah memohon perlindungan-Nya. - KitaReporters