Insan & Komuniti 22 Mar, 2025

Rossa, PRIHATIN! Bekerjasama cari dana kebajikan dan pendidikan! Konsert Here I Am, 14 Jun 2025!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

Sebahagian anak-anak yatim dari Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras yang hadir di majlis berbuka puasa bersama Rossa.


DALAM kesibukan rutin harian sebagai artis, diva dari Indonesia, Datuk Seri Rossa tidak pernah melupakan kerja-kerja kebajikan terutama sepanjang Ramadan malah sentiasa menyantuni sesiapa sahaja terutama golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim, ibu tunggal malah gelandangan.

Penyanyi lagu, Hati Yang Kau Sakiti dan Takkan Berpaling Dari-Mu yang berasal dari Sumedang, Jawa Barat Indonesia itu bersama beberapa rakan sekampung mewujudkan Warung 2,000 iaitu setiap hari sepanjang Ramadan, dengan menyediakan makanan berharga Rp2,000 (kira-kira 55 sen).

Walaupun harganya murah tapi isinya ibarat bernilai Rp20,000 (RM5.50) seperti nasi ayam, daging dan lauk pauk. Ia hasil sumbangan daripada restoran di Sumedang dan dikenakan bayaran agar penerima merasakan mereka membeli dan bukan meminta-minta.


Rossa bersama sebahagian tetamu VIP mengabadikan kenangan selepas majlis berbuka puasa. 


Dan, sempena kehadirannya di Kuala Lumpur, beliau sempat menyantuni anak-anak yatim dan pemenang pertandingan Iftar Bersama Rossa yang dijalankan secara dalam talian beberapa hari sebelum majlis berbuka puasa di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.  

Dalam majlis itu, Rossa  bersama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) menyampaikan duit raya, pakaian, serta barangan keperluan harian kepada anak-anak daripada Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras. 

Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Aizuddin Mohd Ghazali berkata, Rossa juga menyampaikan bantuan baju Melayu dan baju kurung sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada anak-anak yatim Rumah Bakti Nur Syaheera. 


Aizuddin Mohd Ghazali bersama Rossa di sidang media mengenai konsert "Here I Am" yang akan berlangsung di Bukit Jalil pada 14 Jun 2025.


"Saya terharu dengan keprihatinan Rossa yang berbesar hati untuk menjayakan aktiviti kebajikan di negara ini dan meraikan anak-anak daripada Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras, Kuala Lumpur dengan memberikan sumbangan pakaian, duit raya dan barangan keperluan harian.

"Silaturahim yang terjalin sejak lebih dua dekad membawa penyanyi itu kembali ke Kuala Lumpur pada Ramadan ini bagi menyempurnakan acara Iftar Bersama Datuk Seri Rossa di di Ballroom 2, Sunway Putra Hotel," katanya.

Beliau berkata, sejak 2012, mereka sentiasa bekerjasama menerusi penganjuran konsert yang bukan bersifat komersial semata-mata.


Ajai (kiri) dan Hael Husaini (kanan) antara artis yang hadir di majlis Iftar bersama Rossa.


"Bagi Konsert Rossa  Here I Am di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025, penyanyi itu bersetuju untuk bersama-sama mencari dana bagi tujuan pendidikan dan kebajikan menerusi jualan tiket selain menyalurkan sebahagian hasil jualan ke Tabung Kasih Prihatin.

“Justeru, PRIHATIN mengalu-alukan pihak korporat dan individu perseorangan untuk membeli tiket Royale, First Class dan Executive seterusnya memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam pendidikan melalui konsep ‘Berhibur Sambil Beramal’,” katanya.


Aizuddin (dua dari kiri), Pengerusi Yayasan Prihatin Nasional, Prof Emeritus Tan Sri  Dr. Sahol Hamid Abu Bakar (dua dari kanan) dan Rossa menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada anak-anak yatim Rumah Bakti Nur syaheera, Cheras. 


Sementara itu, Rossa mengakui teruja dapat kembali ke Kuala Lumpur dan mengakui konsert "Here I Am" bukan sekadar meraikan 29 tahun perjalanan luar biasa karier seninya tapi menjadi kesinambungan daripada kejayaan siri konsert sebelum ini iaitu Rossa 25 Shining Years (2022) dan Another Journey: The Beginning (2023).

“Sebagai penyanyi, “Here I Am” menjadi penanda aras perjalanan karier saya dengan merangkumkan lagu-lagu hits, album, pencapaian dan konsert yang dilunaskan sepanjang bergelar anak seni.

"Konsert “Here I Am” menjanjikan sebuah persembahan yang mega, segar dan terkini menerusi pelbagai segmen sepanjang tiga  jam berlangsung," katanya. 


Rossa bergambar bersama anak-anak yatim Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras sempena majlis Iftar di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.


Konsert “Here I Am” dianjurkan PRIHATIN dan Inspire Production dengan kerjasama promosi dan pemasaran dari SAH Entertainment selain mendapat sokongan Maybank (sebagai Rakan Perbankan Strategik) dan Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur sebagai Rakan Penginapan.

Selain penyanyi seperti Ariel Noah, beberapa artis dari Malaysia seperti Ernie Zakri dan MK K-Clique turut dijemput bersama-sama Rossa dalam konsert itu.

Tiket boleh dibeli secara online menerusi platform: www.ticket2u.com, manakala untuk tiket korporat boleh berhubung terus dengan Rohaiza melalui talian 019-288 9764 atau emel: rossa@yayasanprihatin.com untuk maklumat lanjut. - KitaReporters

15
6
0
13
0
You will be interested