Insan & Komuniti 19 Sep, 2024

Periwayatan hadis tanda kasih kepada Rasul! Majlis Qiraah & Sama' Sunan Ibni Majah pada Maulid Nabi!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

SEBAHAGIAN penuntut ilmu mengikuti Majlis Qiraah & Sama' Sunan Ibni Majah anjuran Kolej Islam As Sofa sempena sambutan Ihtifal Maulid Nabi SAW 1446H.


Pemandangan sekumpulan pelajar berjubah putih yang beratur memasuki Dewan Kolej Islam As Sofa (KIAS) menyejukkan mata yang memandang. Deretan rehal yang tersusun di atasnya salah satu kitab hadis Kutub Sab'ah itu turut memenuhi ruang dewan yang serba indah.

Di situlah berlangsungnya Majlis Qiraah & Sama' Sunan Ibni Majah anjuran Kolej Islam As Sofa sempena meraikan sambutan bulan kelahiran Rasulullah SAW.

Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Mohd Sufi Ibrahim Al-Hafiz berkata, penganjuran program ini memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari dan mendalami hadis-hadis daripada Sunan Ibni Majah, salah satu daripada enam koleksi hadis utama dalam Islam, sekali gus memperluas pengetahuan tentang ajaran Nabi Muhammad SAW.


PROGRAM ini memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari dan mendalami hadis-hadis Nabi SAW daripada Sunan Ibni Majah.


"Ia juga bertujuan menghargai dan memelihara warisan ilmu Islam melalui pembacaan dan pemahaman hadis secara mendalam. Ini membantu memastikan ajaran Nabi SAW terus hidup dan diterapkan dalam kehidupan seharian.

"Di samping itu, kehadiran para peserta pada majlis ini mampu meningkatkan kekuatan spiritual dengan memanfaatkan rohani dengan menghayati ajaran-ajaran Rasulullah SAW yang boleh meningkatkan kecintaan dan kepatuhan kepada Baginda serta memperbaiki amalan peribadi," ujar Mohd Sufi kepada KitaReporters.

Tambah beliau, dalam aspek komuniti, program sebegini menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dan kesatuan dalam kalangan umat Islam melalui perkongsian ilmu dan penglibatan dalam aktiviti keagamaan bersama.


PENGLIBATAN masyarakat dalam majlis periwayatan hadis sebegini mampu menguatkan kesatuan dalam kalangan umat Islam.


"Majlis seperti ini adalah penting dalam usaha memperkukuh pengetahuan agama dan meningkatkan amalan spiritual dalam kalangan umat Islam," jelasnya.

Menurut Mohd Sufi lagi, program Majlis Qiraah & Sama' Sunan Ibni Majah ini merupakan salah satu tentatif dalam menyemarakkan sambutan Ihtifal Maulid Nabi SAW bagi tahun 1446H.

"Kitab ini merangkumi sekitar 4,341 hadis yang mencakupi berbagai aspek kehidupan seperti akidah, ibadah, muamalah, akhlak dan sebagainya.

"Selain itu, ia juga merupakan Kutubus Sittah iaitu antara enam kitab hadis terpenting yang menjadi rujukan utama dalam memahami sunnah Rasulullah SAW selain daripada Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan Tirmidzi dan Sunan an-Nasa’i,” jelas beliau.


PERIWAYATAN hadis Sunan Ibni Majah ini melibatkan pembacaan 4,341 hadis oleh Dato' Muhammad Fuad Kamaludin.


Program ini berlangsung selama 6 hari bermula 8 September dan periwayatan keseluruhan hadis yang diadakan sebanyak 22 sesi berjaya dikhatamkan pada 13 September 2024.

Setiap hari, 4 sesi pembacaan hadis dilaksanakan yang mengambil masa sehingga 7 jam. Periwayatan hadis Nabi SAW ini dibaca sepenuhnya oleh Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Dato’ Muhammad Fuad Kamaludin.

Sesi 1 bermula pada pukul 9 hingga 11 pagi, diikuti Sesi 2 (11 pagi – 1 petang); Sesi 3 (5 petang – 7 malam) dan Sesi 4 (7.45 hingga 9.15 malam).

Kitab Sunan Ibni Majah ini dikarang oleh al-Hafiz Abu Abdillah Muhammad bin Yazid Majah Al-Qazwini RA.


MAJLIS ini turut dihadiri oleh barisan tokoh ulama dari luar negara yang diundang khas oleh Kolej Islam As Sofa.


Majlis penuh keberkatan itu juga dihadiri barisan tetamu kehormat dari luar negara iaitu Penasihat Kolej Islam As Sofa, Dr. Sayyid Abdul Wahhab Al-Tazi Al-Hasan Al-Idrisi dan Dr. Sayyid Abdul Mun’im ibn Abdul Aziz Al-Ghumari serta Felo Akademik Kolej Islam As Sofa, Dr. Sayyid Mus’ab al Kheir Al-Idrisi.

Pada majlis pengkhataman tersebut, Dr. Sayyid Mus’ab dan Dr. Sayyid Mun’im turut meriwayatkan beberapa hadis terakhir bagi menyempurnakan pengkhataman tersebut. Ia diikuti pembacaan qasidah Tawassul dengan Imam-Imam Hadis nukilan ulama terkenal Mekah, Al-Muhaddith Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi Al-Maliki RA.

Kemudian masing-masing membacakan ijazah tertinggi yang mereka miliki hingga sampai kepada pengarang Kitab Sunan Ibni Majah ini untuk diterima para peserta. 

Majlis pengkhataman itu kemudian ditutup dengan bacaan doa oleh Dr. Sayyid Abdul Wahhab Al-Tazi.


PESERTA yang mengikuti program sehingga tamat menerima sijil pengijazahan yang sanadnya sampai kepada pengarang kitab Sunan Ibni Majah ini.


Tambah Mohd Sufi, mengadakan majlis periwayatan hadis sempena meraikan Maulidur Rasul ini merupakan cara yang bermakna untuk menghormati dan mengingati sumbangan Baginda SAW dalam penyampaian wahyu dan ajaran Islam.

“Di samping itu, dengan membaca dan membincangkan hadis, umat Islam dapat memperdalamkan pengetahuan dan pemahaman tentang ajaran Nabi Muhammad SAW yang merupakan panduan utama dalam kehidupan. Ini adalah usaha untuk mengikuti sunah dan mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

“Dan paling utama, melalui penganjuran majlis sebegini, ia mampu meningkatkan kecintaan umat kepada Nabi SAW dengan mengingatkan mereka tentang ajaran, sifat dan teladan Baginda SAW,” ungkapnya lagi.


MELALUI penganjuran majlis sebegini, ia mampu meningkatkan kecintaan umat kepada Baginda Nabi SAW.

Terdapat banyak nas dan dalil mengenai Periwayatan Hadis dan Peringatan Nabi SAW. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:

"Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu ada teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan hari akhirat dan dia banyak menyebut Allah.”

Ayat ini menunjukkan bahawa kita dianjurkan untuk mengikuti teladan Nabi SAW. Malah, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Ini menunjukkan kepentingan untuk kita menyampaikan dan mempelajari hadis Baginda SAW dalam menjaga dan menyebarkan ajaran Islam.

Semoga setiap peserta yang istiqamah mengikuti majlis ini sebagai tanda kasih kepada Nabi SAW diredhai Allah SWT dan menjadi asbab beroleh syafaat Baginda SAW pada hari akhirat kelak. - KitaReporters


SEKUMPULAN pelajar di bawah Kumpulan Pendidikan Sofa yang mengikuti program periwayatan hadis ini memegang kitab Sunan Ibni Majah.


15
15
0
16
0
You will be interested