MENGHADIRI majlis hari persandingan sangat mengujakan bukan sahaja dapat meraikan pasangan pengantin baharu disatukan tetapi juga lebih meriah berkumpul beramai-ramai.
Situasi berkenaan pasti meninggalkan momen indah bukan sahaja kepada pasangan pengantin tetapi juga kepada tetamu yang hadir.
Namun di Indonesia, seorang wanita menggunakan kesempatan menghadiri hari perkahwinan rakannya sebagai kaedah untuk menuntut hutang.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan hutang
Wanita berkenaan, Yayah Nurhayati menjadi tular dalam media sosial selepas berkongsi pengalaman dirinya menghadiri majlis perkahwinan sahabat lamanya sambil menuntut hutang.
Menariknya kehadiran Yayah pada majlis berkenaan bukan sahaja untuk meraikan pasangan berkenaan tetapi juga menuntut hutang daripada si pengantin.
Kongsi Yayah, pengantin berkenaan yang merupakan teman lamanya yang pernah berhutang dengannya dua tahun lalu.
Namun untuk menuntut hutangnya, Yayah merasa segan selepas penghutang berkenaan lama menghilangkan diri.
Lalu pada hari bahagianya, Yayah hadir dengan menyerahkan sampul kosong berserta nota ringkas menyatakan dia telah menghalalkan hutang berkenaan.
Menariknya, dia menggantikan hutang berkenaan sebagai hadiah kepada sahabat tersebut.
Kongsi Yayah, hanya cara itu sahaja dia boleh menuntut hutangnya yang berlarutan sejak dua tahun lalu. Yayah kemudian menyerahkan sampul kosong bersama nota ringkas.
“Maaf ya hanya berikan sampul kosong di majlis perkahwinan anda. Namun jika difikirkan semula, anda berhutang dengan saya sebanyak 500,000 rupiah (RM150) sejak dua tahun lalu.
“Maka dengan ini, anggap sahajalah sekarang dengan pemberian kosong di majlis perkahwinan anda, hutang sudah lunas dan selamat berbahagia,” tulis Yayah di nota kecil berkenaan.
Perkongsian berkenaan menjadi tular dalam media sosial sehingga ditonton sehingga mencecah lebih 3.7 juta (setakat 10 malam, 19 Jun 2022).
Menurut Yayah, rakannya meminjam wang pada 2020 dan berjanji akan membayar semula apabila mendapat gaji. Namun sayangnya, selepas menerima gaji pada bulan berkenaan rakannya terus membisu sehingga kini.
Mungkin atas dasar kesian dan malu membuatkan Yayah juga terus mendiamkan diri.
Namun katanya selepas mengetahui rakannya mahu bersanding, dia terus memutuskan untuk menuntut hutang.
Bagaimanapun demi menjaga air muka pada hari bahagia, menyebabkan dia mengambil keputusan menggunakan cara yang lebih lembut iaitu dengan menulis nota.
Katanya, apa yang dilakukan itu adalah pengajaran dan juga peringatan buat mereka yang berhutang untuk membayar apabila sudah mampu.
Bagus idea yang ditampil Yayah masih kekal menjaga kerana aib sahabat namun tetap cekal menuntut hak dirinya.
Terbaiklah Yayah. - KitaReporters