Insan & Komuniti 11 Jan, 2021

UniSZA tampil bantu! Remaja yatim piatu kerja buruh untuk sambung belajar ke sekolah menengah

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

KEHIDUPAN sebagai anak yatim piatu tidak melemahkan semangat seorang bekas murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutung, Marang, Terengganu untuk meneruskan kehidupan walaupun terpaksa bekerja keras pada usia yang masih remaja. Shamenudin Marsah, 12, dari Kampung Bukit Payung, Marang, kini menjadi buruh ladang untuk mencari sumber pendapatan bagi membiayai keperluan alam persekolahannya yang bakal bermula pada 20 Januari 2021. : KitaReporters


Prof dr Hassan Basri Awang Mat Dahan menyampaikan peralatan sekolah kepada Shamenudin


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan anak yatim:

https://kitareporters.com/search?search=anak+yatim


Jika tidak melakukan kerja sendiri siapa lagi yang akan bertanggungjawab untuk membiayai persekolahan kerana dia sudah tidak mempunyai ibu dan ayah sejak 2008.

Agak menyedihkan apabila Shamenudin kini terpaksa tinggal bersama neneknya, Saudah Mat Zain, 83, yang uzur di rumah daif selepas kematian bapanya, Marsah Hamzah dan ibunya, Zainun Osman kerana serangan jantung pada 2008.


Dr Hassan Basri  bertanya khabar nenek Shamenudin, Saudah Nat Zain ketika berkunjung ke rumah mereka


Shamenudin berkata, dia terpaksa bekerja kerana ingin mengumpul wang bagi membeli barangan persiapan persekolahannya di tingkatan satu apabila penggal persekolahan bermula kurang dua minggu lagi.

"Saya tidak mahu menyusahkan nenek dan abang, Maliki, 20, untuk menampung perbelanjaan pembelian pakaian dan peralatan sekolah saya itu.

"Tidak kisah kerja apa pun asalkan dapat upah dan wang itu disimpan untuk kegunaan penting," jelasnya.


Keadaan bilik tidur rumah nenek Shamenudin di Kampung Bukit Payong,Marang,Terengganu


Shamenudin yang baru sahaja menamatkan alam sekolah rendah itu terpaksa membanting tulang untuk mencari makan dan sebagai punca pendapatan untuk membeli keperluan persekolahan pada peringkat menengah nanti. 

Ketika ini dia mengambil upah di sebuah kebun kelapa sawit dengan mengisi pasir dalam polibag dengan upah sebanyak RM30 sehari. 

Mengetahui kisah remaja tersebut, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan terpanggil untuk turun padang pada 3 Januari 2021 lalu menjengok sendiri nasib malang yang dihadapi remaja tersebut.


 

Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan


Dr Hassan turut memaklumkan bahawa Shamenudin akan dijadikan sebagai anak angkat UniSZA dan akan menjaga kebajikan persekolahan dia sehingga ke alam universiti

“Semoga adik Shamenudin terus cekal dan tabah dalam mengharungi cabaran hidup dan dapat mengubah nasibnya ke arah yang lebih baik,” katanya. 

Menurut beliau, pihak universiti akan memberi sumbangan secara berterusan kepada Shamenudin bergantung kepada keperluan.


Dr Hassan Basri turut menyumbangkan keperluan makanan kepada nenek Shamenudin. - Kredit gambar-gambar: UniSZA


"Paling penting, kami ingin pastikan dia mendapat pendidikan yang sepatutnya dan seterusnya dapat mengubah nasib keluarganya.

"Kumpulan Hero Komuniti UniSZA akan mengambil tanggungjawab bagi memantau keperluan dan pendidikan Shamenudin selepas ini," katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya berasa terpanggil untuk membantu Shamenudin dan keluarganya selepas melihat gambar kedaifan keluarganya yang dikongsi penduduk setempat. - KitaReporters

1
0
0
0
0
You will be interested