Insan & Komuniti 22 Apr, 2020

AH HENG, AH PAU ‘GEGARKAN’ MALAYSIA!! SIAPA??

@mohd. hazli hassan
A Mobile Journalist (Mojo) trainer by profession but force to be a scuba diver for food. Have more than 28 years experience in the media industry. Get more info on mobile journalism and mobilegraphy at www.mymojo.my

Share this

SEMASA arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik Covid-19 ketika ini, kita perhatikan berderu-deru orang perseorangan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. : KitaReporters


Ini berikutan ketika inilah ramai dalam kalangan rakyat Malaysia tidak dapat menjalankan kerja-kerja seharian mereka termasuklah kepada mereka yang berniaga dengan pendapatan harian.

Sumbangan yang dilakukan itu sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka sekeluarga.

Bukan hanya individu dan NGO, kerajaan turut mewujudkan Bantuan Perihatin Nasional yang diberikan kepada mereka yang terdiri daripada golongan B40 dan M40 selain Pakej Ransangan Ekonomi Rakyat Prihatin untuk semua peniaga, tanpa ada yang terkecuali

Kehidupan dua golongan ini dikenal pasti terjejas ekoran pendapatan seharian dan bulanan mereka terhenti akibat daripada arahan PKP oleh kerajaan yang dilihat berjaya memperlahankan kehadiran kes-kes positif Covid-19 baharu setiap hari dan seterusnya diharap mampu memutuskan rantaian sebaran penyakit itu di Malaysia.

Kredit foto: FB Polis Daerah Seri Alam


Pada Selasa, 22 April 2020, kes positif keseluruhan yang dicatatkan ialah 5,482 kes dengan 2,041 yang sedang dirawat, manakala 3,349 kes telah pulih dan discaj daripada hospital.

Namun setiap yang berlaku itu pasti ada kekurangan pada orang lain

Dari segi positif, PKP berjaya mengurangkan pertambahan kes-kes positif, namun dari aspek negatif, penutupan perusahaan, pejabat dan tempat kerja menghentikan pendapatan segelitir rakyat negara ini terutama golongan B40.

Malah, PKP juga memberikan kesukaran kepada mereka yang sedia ada susah terutama golongan yang tiada pendapatan.

Kredit foto: FB Nazirul Roslan


Atas dasar itu jugalah beberapa individu mahupun NGO turun ke jalanan membantu golongan berkenaan untuk mengurangkan penderitaan yang ditanggung.

Namun tidak semua apa yang dilakukan individu mahupun NGO itu disukai oleh orang lain.

Dua nama yang paling dikenali oleh rakyat Malaysia ketika ini ialah Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang dan Lew Yun Pau atau sekarang dikenali sebagai Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ustaz Ebit Lew.


Ramai yang tahu, dua Cina ini banyak membantu mereka yang di dalam kesusahan dalam cara mereka sendiri

Tiada birokrasi, tiada kerenah sehingga menyebabkan penerima bantuan bosan.

Mereka berdua ini bukan hanya tiba pada musim PKP sahaja untuk turun membantu masyarakat yang memerlukan, namun sudah dilakukan sejak lama dahulu tidak kira lokaliti, agama mahupun parti politik, semuanya dibantu tanpa sebarang pertanyaan.


Ketika ramai penyumbang tumbuh bak cendawan semasa arahan PKP ini, Uncle Kentang dan Ustaz Ebit sebenarnya semakin memperhebatkan lagi tugas-tugas sukarelawan mereka selama ini.

Ramai tahu, Uncle Kentang, insan yang berasal dari Batu Pahat, Johor yang pernah menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Februari 2019 itu telah membantu untuk uruskan dan bawa jenazah ayah seorang lelaki yang datang dari Kuantan, Pahang bagi dibawa pulang ke Melaka walaupun ketika itu dia sedang bergegas untuk menyelesaikan penamaan calonnya di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“Jam 6 pagi tadi, ada orang datang ketuk pintu minta tolong sambil menangis kerana bapanya meninggal, tetapi dia tiada duit nak uruskan dan bawa jenazah ayahnya pulang ke Melaka. 

“Sebelum itu pun ada jenazah yang ditahan di hospital kerana waris tak mampu bayar bil dan jenazah tak dibenarkan untuk dibawa keluar, jadi saya bayar separuh bil itu dan selepas ni saya akan terus ke hospital itu untuk selesaikan bakinya," katanya ketika ditemui Berita Harian pada 2019.


Pada Ogos 2019 juga, Uncle Kentang terpaksa membantu sebuah  keluarga India di Jalan Ipoh yang tidak mempunyai wang RM2,500 untuk menyempurnakan pengkebumian ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

Uncle Kentang ketika itu cuba menghubungi Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran yang mungkin mempunyai peruntukan untuk kes-kes di kawasan Parlimennya itu, namun selepas berusaha semalaman, YB berkenaan gagal dihubungi (alasan YB itu disebabkan dia berada di Bangkok, Thailand).

Atas desakan itu, Uncle Kentang merayu kepada netizen dan akhirnya masalah keluarga itu berjaya diselesaikan.

Uncle Kentang turut memuat naik status di Facebook beliau: “Terima kasih ‘anak Malaysia’, mayat lelaki India yang tersadai di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) telah diambil dan akan di uruskan hari ini. Tidak perlu tunggu YB. Telefon YB pun tidak terjawab langsung.


“Maafkan YB, beliau (Prabakaran) terlampau sibuklah

"Terima kasih kepada semua penderma, semangat merdeka itu ada dalam diri masing-masing, terima kasih,” katanya.

Umum mengetahui, Uncle Kentang yang mengetuai Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia turut menyediakan ambulans percuma kepada mereka yang memerlukan termasuk van jenazah secara percuma kepada mereka yang memerlukannya.

"Tak payah cari merata tempat, kita dah sediakan 24 jam (van jenazah). Minyak penuh, sila ambil buku tulis nama dan nombor telefon di kedai berkenaan, mereka akan serahkan kunci.

"Permudahkan urusan, minyak van sentiasa penuh. Ia disedekahkan kepada orang ramai, ia bukan van saya tetapi kita mudahkan bukan untuk menyukarkan bagi mendapatkan van jenazah," katanya.


Bagi Ustaz Ebit pula, figura ini memang terkenal dengan khidmat sukarelawan dan juga bakti serta sumbangan beliau kepada mereka yang memerlukan di jalanan.

Cara Ustaz Ebit menyantuni mereka mungkin tidak pernah dipraktikkan oleh orang lain, lebih-lebih lagi pihak kerajaan yang dipertanggungjawabkan menjaga mereka yang memerlukan. Mungkin ada, mungkin tak ada. Kalau adapun, caranya pasti berbeza.


Cerita mengenai Ustaz Ebit berjumpa dengan pondan dan mak nyah, mat-mat motor, pelesit jalanan, gelandangan, orang susah, geng basikal lajak mahu pun sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan memang tersebar sejak pendakwah bebas itu dijentik Allah hatinya untuk kembali ke agama fitrah pada usia 12 tahun.

Malah, penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1437H/2015M menjadikan rutin hariannya mendampingi mereka dijalanan dan dengan sopan mendengar apa masalah yang mereka hadapi selain memberikan nasihat berlandaskan al-Quran dan hadis.

Semasa arahan PKP yang kini memasuki peringkat ketiga sehingga 28 April ini, Ustaz Ebit memperhebatkan tugas-tugas kesukarelawan beliau bersama beberapa badan NGO mencari mereka yang memerlukan.


Yang pasti, Ustaz Ebit tidak duduk diam. Bantuan dibuat hampir setiap hari malah, mereka di barisan hadapan juga turut disantuni kumpulan sukarelawan Ustaz Ebit.

Namun dalam melakukan kerja-kerja sukarelawan itu, ada juga suara-suara sumbang yang tidak bersetuju dengan apa yng dilakukan oleh Ustaz Ebit sehinggakan beliau difitnah dengan pelbagai perkara.

Yang pasti, tiada apa yang diminta oleh Ustaz Ebit daripada sesiapa selain sumbangan membantu mereka yang memerlukan.


Apa yang sudah dilakukan oleh orang lain terutama oleh agensi kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri, tidak pernah beliau nafikan dan dia hanya melengkapkan mana-mana yang tertinggal. 

Tidak pernah pun di mana-mana termasuk di media sosial, Ustaz Ebit menyalahkan mana-mana pihak terhadap sebarang insiden yang berlaku melainkan menyalahkan dirinya sendiri kerana alpa dengan apa yang berlaku di sekeliling beliau.


Apa pun, bagi Uncle Kentang dan Ustaz Ebit, dua insan berbangsa Cina ini tidak segan dan malu serta piilih kasih untuk membantu sesiapa sahaja termasuk masyarakat Islam.

Mereka berdua sebenarnya berjaya menggegarkan Malaysia dengan membuka mata dan minda pihak berkuasa dan orang ramai di mana bantuan boleh disalurkan tanpa perlu ada karenah birokrasi yang sempit.

Kepada Uncle Kentang dan Ustaz Ebit, pengorbanan anda sebenarnya tiada yang dapat menggantikannya, hanya Allah yang maha mengetahui. - KitaReporters


17
0
1
0
1
You will be interested