BAGI orang ramai di Malaysia ketika pandemik Covid-19 ini, 5.30 petang merupakan waktu perdana untuk mendengar perkembangan situasi terbaharu wabak berkenaan di Malaysia. : KitaReporters
Pelbagai angka berlegar-legar di kepala sambil mendengar penjelasan panjang lebar dan teratur oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
Pastinya semua ingin tahu, berapa ramai yang dijangkiti, berapa ramai yang sudah discaj, berapa ramai yang sedang dirawat di Unit Penjagaan Rapi dan juga akhirnya berapa ramai yang terkorban akibat daripada wabak yang bermula di Wuhan, China tahun lepas itu.
Umum mengetahui bagaimana lancarnya Dr. Noor Hisham mengendalikan saluran maklumat penularan wabak Covid-19 di negara ini sehinggakan beliau dinamakan sebagai antara tiga doktor terbaik da diyakini di dunia oleh China Global TV Network (CGTN).
Dr. Noor Hisham bersama pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat, Dr. Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield disanjung stesen TV berkenaan berdasarkan kewibawaan mereka menangani krisis Covid-19.
Menurut CGTN, mereka bukan menteri Kabinet, namun berjaya muncul sebagai 'hero' negara masing-masing dalam memerangi wabak Covid-19, malah ada yang menggelar mereka ‘pujaan hati, rock star dan hero negara’ di media.
Namun bagi Dr. Noor Hisham, bukan hanya masyarakat global memerhati dan memuji beliau, di Malaysia, beliau turut disanjungi oleh rakyat Malaysia sendiri yang gembira menerima maklumat terkini berkaitan pandemik Covid-19.
Salah seorang daripada mereka merupakan seorang murid sekolah berusia 9 tahun yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu, Lara Khadijah McAfee dengan mengutus surat kepada Dr. Noor Hisham ada 19 Mac 2020.
Menurut surat Lara Khadijah yang kini tular dalam media sosial, beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr. Noor Hisham ke atas kerja-kerja yang beliau lakukan semasa penularan pandemik Covid-19 ini.
Malah bersama-sama surat berkenaan, Lara Khadijah turut menyertakan gelang tangan yang dikenali sebagai Loom Bands yang dia buat sendiri.
Kata Lara Khadijah, gelang tangan berkenaan adalah sebagai tanda persahabatan antara kawan-kawannya dan beliau menyertakan gelang tangan berwarna biru khas untuk Dr. Noor Hisham kerana usaha yang dilakukan beliau untuk semua rakyat Malaysia.
"Saya membuat gelang tangan biru ini untuk anda kerana usaha anda membantu semua rakyat Malaysia agar kekal selamat dan sihar ketika penularan wabak Covid-19 ini. Jaga diri, rakan anda... Lara," kata pelajar tahun 3 berkenaan di dalam suratnya.
Tidak terhenti di situ, Dr. Noor Hisham turut membalas surat Lara Khadijah pada 16 April 2020 dengan mengatakan beliau amat berterima kasih kepada pelajar berkenaan kerana mengutus surat termasuk hadiah gelang tangan yang diberi.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan itu, gelang tersebut kini dipakai oleh cucunya dan amat disukainya.
Di dalam surat itu, Dr. Noor Hisham turut menyatakan bahawa beliau tidak bersendirian dalam usaha yang sedang dilakukan untuk membantu negara ketika penularan wabak terbabit.
"Saya amat bertuah untuk mempunyai satu pasukan petugas yang terbaik untuk membantu negara kita. Rakyat Malaysia, sama macam anda turut sama membantu dalam usaha ini dengan duduk di rumah.
"Teruskan usaha ini dan sama-sama kita mampu mencegah wabak ini daripada menular.
"Ini tidak akan lama, dan saya amat berharap, anda tidak perlu risau, Insya-Allah, ia akan berakhir secepat mungkin," tulis Dr. Noor Hisham.
Tambah beliau lagi, dia berharap Lara Khadijah untuk terus belajar dan mendapat gred yang baik dalam pelajaran di mana satu hari nanti, giliran pelajar itu pula yang akan dapat membantu Malaysia.
"Capailah impian anda, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya - dari rakan baharu anda, Dr. Hisham," tulis beliau lagi.
Untuk rekod, Lara Khadijah merupakan seorang yang amat menggemari sukan gimnastik dan mahu mengikut jejak gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi. - KitaReporters