Insan & Komuniti 13 May, 2020

Batalkan kebenaran kunjungan hari raya! Dr. Rafidah rayu PM!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun 2020. Antara inti pati perutusan khas itu yang paling mendapat perhatian ialah larangan pergerakan antara negeri atau rentas negeri, sekali gus membawa maksud orang ramai tidak dibenarkan pulang berhari raya di kampung. : KitaReporters


Namun sedikit kelegaan apabila kerajaan membenarkan kunjungan hari raya antara daerah dengan syarat tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa

Ini bermakna orang ramai masih boleh berkunjung ke rumah jiran-jiran atau sanak-saudara yang tinggal di dalam negeri yang sama.

Keputusan itu menarik perhatian seorang pakar buah pinggang, Dr. Rafidah Abdullah.

Dr. Rafidah sering memperjuangkan hak-hak orang ramai agar tidak tertipu dengan peniaga produk kecantikan dan kesihatan.


Bagi yang belum mengenali Dr. Rafidah, beliau sering memperjuangkan hak-hak orang ramai dalam media sosial agar tidak tertipu dengan helah peniaga-peniaga produk kecantikan dan kesihatan.

Menurut Dr. Rafidah, dia memohon agar PM menimbang semula keputusan itu kerana percaya ramai yang tidak mampu mengekalkan jarak sosial yang selamat apatah lagi ketika berada di rumah yang kecil.

“Saya dengan merendah diri memohon Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Malaysia menimbang semula saranan membenarkan kunjungan hari raya (had maksimum) seramai 20 orang. 

"Untuk mengekalkan jarak sosial selamat, rumah tersebut mesti rumah yang sangat besar.

“Berapa ramaikah masyarakat kita yang ada rumah sebesar itu? 

'Mampukah mereka mengekalkan saranan yang sangat umum oleh Kementerian Kesihatan Malaysia?

“Adakah anda percaya semua masyarakat Malaysia bertanggungjawab? 

"Mana anda tahu antara mereka adalah “contact” rapat yang positif COVID-19? 

"Walaupun mereka patut kuarantin tapi masih keluar berjalan-jalan?

“Sanggupkah anda menjadi pembawa penyakit (yang mungkin anda kutip dari rumah orang lain) dan jangkitkan orang yang menerima kunjungan anda? 

"Elok-elok mereka sihat, dapat jangkitan jadi tenat dan menghadapi risiko kematian?

“Cuba tanya, betulkah mereka nak anda kunjungi mereka? 

"Bukan senang mereka ini nak masak, basuh pinggan bagai. 

"Tetamu datang dan pergi. Yang penat mereka menyediakan itu ini. Kali ini ditambah dengan risiko jangkitan COVID-19 yang datang percuma para pengunjung,” tulisnya.

Dr. Rafidah memohon PM menimbang semula kebenaran berhari raya.


Justeru bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu, Dr. Rafidah mencadangkan langkah-langkah berikut:

1. Hanya berhari raya di rumah keluarga anda sendiri. 

Paling ramai pun ibu bapa dan mentua. Itupun jika berada di dalam negeri yang sama. Maksimum dua rumah. Sekejap saja. Lepas itu, balik rumah sendiri.

2. Jika rumah anda nak buka untuk ziarah, mesti ada SOP sendiri. 

Buat saringan di pintu pagar (tanya simptom, contact dan periksa suhu badan). Sediakan mask dan pastikan setiap pengunjung basuh tangan di pintu masuk rumah. 

Jika tiada SOP ketat, baik kunci sahaja rumah itu. Tak payah beri sesiapa masuk.

Menurut Dr. Rafidah, petugas-petugas barisan hadapan sepertinya sangat mengharapkan orang ramai untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. 

Jadi kunjung-mengunjung Aidilfitri bukan caranya. - KitaReporters

3
0
0
0
1
You will be interested