Insan & Komuniti 20 Mar, 2020

TERBAIK WEI!! MAKANAN BAGI PETUGAS HOSPITAL

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.-komunitimadanijertih@gmail.com

Share this
SIKAP prihatin dan pemurah rakyat negeri Terengganu yang tampil menyumbang pelbagai barangan keperluan termasuk makanan dan minuman kepada petugas di hospital negeri ini patut diberi pujian dan dicontohi rakyat negara ini. : KitaReporters

Sumbangan makanan dan minuman daripada orang ramai kepada petugas hospital di Terengganu


Dengan menyalurkan mesej menerusi media sosial ramai penduduk yang bersimpati dengan nasib yang menimpa pesakit dan petugas di hospital yang sedang berhadapan dengan krisis kesihatan angkara COVID-19, mereka bermurah hati menyumbangkan makanan dan minuman mengikut kemampuan.

Facebook Anak-Anak Jertih Besut (AAJB) yang menjadi medan penyaluran pelbagai maklumat mendapat perhatian netizan yang ingin berkongsi kesedihan terhadap nasib penduduk daerah itu terutama yang mendapat rawatan di hospital.


Tular di Facebook Kumpulan Anak-Anak Jertih Besut (AAJB) menyampaikan sumbangan makanan dan minuman kepada petugas Hospital Besut


Facebook berkenaan yang mempunyai ahli hampir 100,000 orang turut memainkan peranan menyokong usaha kerajaan dan sentiasa menasihati penduduk setempat mematuhan setiap arahan pihak pemerintah.

Admin media sosial itu yang hanya mahu dikenali sebagai “Bob” berkata seruan pihaknya meminta orang ramai menyumbangkan makanan dan minuman kepada pihak Hospital Besut mendapat sambutan menggalakkan. 

Katanya, semua sumbangan itu dikumpul kemudian menyerahkan kepada pegawai khas yang bertugas di hospital itu untuk diagihkan kepada petugas hospital yang tidak dapat keluar kerana terpaksa bertugas. 

Antara reaksi netizen terhadap sumbangan Anak-Anak Jertih kepada petugas Hospital Besut


“Sejak hari pertama penduduk diminta tinggal di rumah masing-masing, pihaknya tidak putus-putus menerima sumbangan daripada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, pada Jumaat, 20 mac 2020, turut menyumbangkan makanan dan minuman kepada petugas di Hospital Hulu Terengganu.

Petugas Hospital Hulu Terengganu menerima sumbangan makanan dan minuman daripada Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid


"Terima kasih di atas pengorbanan dan komitmen petugas kesihatan dalam melaksana tanggungjawab membendung jangkitan wabak COVID-19.

"Mereka telah bertugas melebihi masa demi memastikan kita semua berada dalam keadaan selamat.

"Sama-samalah kita doakan para petugas kesihatan terus dilindungi dan dirahmati," kata Rosol menerusi catatan Facebook miliknya.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu,Dr Noor Azimi Yunus 


Dalam perkembangan lain, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Noor Azimi Yunus berkata, Hospital Hulu Terengganu dijadikan Stesen Kuarantin yang diisytiharkan melalui Warta Kerajaan Persekutuan bagi pesakit dalam siasatan (person under investigation) untuk wabak COVID-19.

Katanya, jabatan telah melakukan persiapan rapi bagi memastikan  keperluan pesakit dan anggota yang bertugas seperti bekalan makanan, minuman dan keperluan asas yang lain mencukupi sepanjang tempoh kuaratin. 

“Pihak jabatan merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan penduduk untuk menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada pesakit dan anggota yang bertugas di hospital itu,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat, 20 Mac 2020. 

 Kenyataan Media Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu pada 20 Mac 2020.


Walau bagaimanapun, katanya, untuk tujuan penyelarasan, pihak jabatan memohon agar sebarang urusan berkaitan sumbangan perlu melalui pihak pengurusan hospital terbabit. 

Beliau berkata, individu atau organisasi bukan kerajaan tidak dibenarkan membuat sebarang kutipan secara peribadi tanpa melalui pihak pengurusan hospital.

Pendekatan ini dilaksanakan untuk mengelak daripada pihak tertentu mengambil  kesempatan di atas situasi yang sedang dihadapi sekarang ini.

“Jabatan akan sentiasa memastikan perawatan dan kebajikan anggota terjaga.

"Orang awam juga diminta agar tidak  menyebarkan maklumat tidak sahih tanpa merujuk  kepada kenyataan rasmi dari jabatan kesihatan,” katanya. - KitaReporters

13
5
1
0
0
You will be interested