SIKAP tolong menolong sesama insan pastinya terserlah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun dalam tempoh berkenaan siapa sangka haiwan juga memainkan peranan membantu melaksanakan misi bantuan kepada golongan memerlukan. : KitaReporters.com
Lima ekor gajah yang digunakan bagi menghantar bekalan makanan dan ubatan kepada penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman.
Ini dapat dilihat melalui kejayaan inisiatif Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Temerloh, Pahang yang berjaya melaksanakan misi bergajah bagi menyalurkan bantuan makanan dan ubatan kepada masyarakat Orang Asli di hutan Rezab Krau di Temerloh, Pahang.
Misi penghantaran bekanan makanan dan ubatan ke kawasan pedalaman menggunakan gajah itu merupakan julung kali dilaksanakan di negara ini.
Operasi bergajah menghantar bekalan makanan dan ubatan kepada penduduk Orang Asli
Ketua PKGK Kuala Gandah, Muhammad Khairul Adha Amin berkata, sebanyak lima ekor gajah denak yang dikendalikan oleh petugas pusat itu terlibat dalam misi yang dilaksanakan pada 18 April hingga 20 April 2020.
Katanya, lima ekor gajah yang terlibat dalam misi selama tiga hari itu ialah Sanum, Timur, Kala, Alam dan Kasturi yang merupakan gajah yang diselamatkan dan ditempatkan di PKGK Kuala Gandah sejak lebih 10 tahun lalu.
"Misi ini adalah kali pertama diadakan dan barangan yang dibekalkan adalah hasil sumbangan daripada pelawat-pelawat yang pernah mengunjungi PKGK Kuala Gandah.
"Inisiatif ini adalah serampang dua mata yang mana objektif program ini adalah bagi melaksanakan rutin bulanan operasi rondaan bergajah dan pada masa sama membawa bekalan kepada penduduk Orang Asli yang dibimbangi kekurangan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya di Temerloh pada Sabtu, 9 Mei 2020.
Muhammad Khairul Adha menyerahkan bantuan makanan dan ubatan kepada masyarakat Orang Asli
Menurut Muhammad Khairul Adha, misi ini dijayakan oleh 12 orang terdiri daripada seorang pegawai, sembilan mahut (pengendali gajah) dan dua orang pemandu pelancong Kuala Gandah.
Katanya, bantuan ini memanfaatkan kira-kira 110 keluarga Orang Asli di empat buah kampung terpencil iaitu Kampung Baek, Kampung Senil, Kampung Asli Serluh dan Kampung Lata Tujuh.
Muhammad Khairul Adha menyerahkan bantuan makanan dan ubatan kepada masyarakat Orang Asli
Beliau memberitahu, perjalanan menggunakan gajah adalah ke kampung Baek dalam tempoh dua jam dan seterusnya ke Kampung Senil yang mengambil masa selama lapan jam.
"Penduduk dua buah kampung lagi datang ke Kampung Senil bagi mengambil sumbangan kerana faktor lokasi yang lebih jauh ke Kampung Orang Asli Serluh dan Lata Tujuh, selain akses ke Lata Tujuh juga sangat sukar jika menggunakan gajah kerana banyak dinding berbatu," katanya.
Misi bergajah menghantar bantuan makanan dan ubatan kepada penduduk Orang Asli di pedalaman
Sementara itu beliau berkata, misi bantuan bergajah ke kawasan penempatan Orang Asli di Hutan Rezab Krau itu akan diteruskan bergantung kepada keperluan penduduk berkenaan dan hasil sumbangan rakan-rakan konservasi Kuala Gandah.
Jelasnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melalui PKGK Kuala Gandah sentiasa komited dan akan berusaha membantu masyarakat setempat seperti penduduk Orang Asli di sekitar Kuala Gandah. - KitaReporters