Insan & Komuniti 29 Jul, 2020

PKPP: Pusat jagaan warga emas disantuni! Dapat wang zakat!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akhirnya memenuhi hasrat Persatuan Kebajikan Wanita Nurul Huda, Pandan Jaya, Kuala Lumpur untuk meneruskan kerja amal dan kebajikan membantu mereka yang kurang bernasib baik. Berpegang kepada slogan ‘Kau Di Hatiku’ kini persatuan itu boleh kembali aktif meneruskan kerja amal dan kebajikan bagi membantu anak-anak yatim, warga emas, keluarga miskin, Orang Asli, ibu tunggal, mangsa bencana alam dan sebagainya. : KitaReporters


Zaharah Yusuf (empat dari kanan) bersama-sama ahli persatuan menunjukkan kain alas meja yang disumbangkan.


Lagi cerita-cerita berkaitan pusat jagaan: 

https://kitareporters.com/search?search=pusat+jagaan 


Sebagai langkah permulaan selepas PKP persatuan itu menghulurkan bantuan kira-kira 500 kain alas meja, kain skirting, sarung kerusi, baju terpakai dan buah labu manis untuk Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di Semenyih, Selangor, pada Isnin 27 Julai 2020.

Pengerusi Persatuan itu, Zaharah Yusuf, berkata barangan itu termasuk wang RM1,000 adalah hasil sumbangan dana daripada pelbagai pihak termasuklah badan korporat, individu dan mendapat kerjasama yang erat daripada pelajar Al-Quran Tahsin, Masjid Mustakim, Ampang.

Penasihat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman (tengah) dibantu ahli persatuan cuba menyarung kerusi.


Menurutnya, buah labu manis itu pula dibeli persatuan daripada pekebun kecil di Kampung Dalam Nenasi, Pekan, Pahang dalam usaha membantu mereka yang menghadapi masalah untuk memasarkannya berikutan PKP.

“Pada masa PKP, persatuan tidak dapat aktif dalam kerja amal dan kebajikan berikutan itu banyak program terpaksa ditangguhkan dan sekarang kami menyusun semula perancangan yang sudah dibuat untuk keluar bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Bantuan kami ini sekurang-kurangnya meringankan bebanan pusat jagaan warga emas, rumah anak yatim, keluarga miskin serta masyarakat Orang Asli dalam menjalani kehidupan harian,” katanya.

Zaharah (kiri) dan Datin Noridah Mamat yang memberi sokongan kuat kepada persatuan itu melihat cenderamata yang disampaikan Azman.


Zaharah menyampaikan cek RM1,000 kepada Azman. 


Sementara itu dalam majlis berasingan Persatuan Badan Didikan Islam UDA (BADIM) menyerah wang zakat RM5,000 kepada Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia dan Nur Hasanah di Beranang, Selangor.

Timbalan Pengerusinya, Azhar Yop, berkata wang zakat berkenaan akan meringankan bebanan pihak pengurusan pusat jagaan terbabit bagi menampung kos penyelenggaraan dan mengurus warga emas di pusat-pusat itu.

Azhar Yop (atas) menyampaikan cek zakat RM5,000 kepada Bendahari Pusat Jagaan Nur Hasanah, Suraya Harun (kiri) dan (bawah) Azhar menyampaikan cek zakat RM5,000 kepada Penasihat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman.



“Kami cukup terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan dan petugas di dua pusat jagaan ini yang sentiasa dedikasi melaksanakan tugas mereka tanpa mengenal penat lelah setiap hari,” katanya. 

Sempena majlis itu kira-kira 50 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut hadir bagi mengikuti program gotong-royong membersih persekitaran Pusat Jagaan Nur Hasanah itu. 

Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado (kiri) menyampaikan sijil penyertaan gotong-royong kepada Ketua Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Muhd Supian Muhd Alias.


Ahli NGO sedang bergotong-royong membersih tilam di Pusat Jagaan Nur Hasanah.

18
4
0
0
0
You will be interested