SUASANA sayu menyelubungi Rumah Sentuhan Budi (RSB), Petaling Jaya, Selangor apabila anak asnaf dan anak yatim yang mendapat jagaan di situ berebut-rebut melihat basikal baharu yang menjadi idaman mereka selama ini akhirnya berada di depan mata. : KitaReporters
Anak asnaf dan anak yatim bersama-sama basikal baharu dan barangan makanan asas yang diterima dalam Program A Day@Rumah Sentuhan Budi with iCharity Malaysia (ICM) pada 21 November 2020.
Lagi kisah-kisah berkaitan anak yatim:
https://kitareporters.com/search?search=anak+yatim
Impian 12 anak asnaf dan tiga anak yatim itu direalisasikan menerusi Program A Day@Rumah Sentuhan Budi with iCharity Malaysia (ICM) di RSB pada Sabtu, 21 November 2020.
Timbalan Setiausaha ICM, Mohd Haidres Syahali, berkata ICM berusaha merealisasikan impian anak asnaf dan anak yatim itu dengan menyumbangkan dua basikal apabila mendapat maklumat daripada penyumbang yang sering bekerjasama dengan ICM dalam kerja amal kebajikan.
Pizza Hut dan Lezzetto Sdn Bhd menyediakan aiskrim premium untuk meraikan anak asnaf dan anak yatim di RSB dalam program.
Menurutnya, pada program itu dengan kerjasama beberapa pihak ICM turut menyumbang barangan makanan dan keperluan asas yang sangat diperlukan RSB dalam situasi Pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang.
“ICM juga berasa bertuah apabila turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk penubuhan bukan kerajaan yang lain kerana sentiasa bersedia membantu dalam kerja amal dan kebajikan terutama membantu mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.
Presiden ICM, Mohamed Noordin Mohd Jalaludin (kanan) dan ahli Jawatankuasa ICM bersama-sama sebahagian anak asnaf dan anak yatim di RSB.
Ahli Jawatankuasa ICM, Shariza Rasheed, berkata pada program itu selain makanan ringan anak asnaf dan anak yatim di RSB turut dijamukan dengan pelbagai makanan termasuk yang disumbang oleh Pizza Hut dan Lezzetto Sdn Bhd menyediakan aiskrim premium.
“Kami dari ICM amat berasa terharu apabila dapat menghulurkan bantuan kepada RSB dalam situasi anak asnaf dan anak yatim di situ amat memerlukan bantuan khusus makanan asas dan telatah mereka berebut-rebut melihat basikal yang disumbangkan,” katanya.
Program ICM itu menggembirakan hati anak asnaf dan anak yatim yang terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di RSB kerana PKPB.
Pengetua RSB, Norhafizah Mohd Ghazali, berkata program itu secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim antara warga RSB dan masyarakat luar yang dicetuskan oleh ICM selain membantu menghilangkan stres anak asnaf dan anak yatim yang terpaksa berkurung kerana PKPB.
“Sejak PKPB dilaksanakan itu anak asnaf dan anak yatim terpaksa menjalankan aktiviti harian dan mengikuti sesi pembelajaran di RSB, apabila ICM mengadakan program ini ternyata melahirkan rasa gembira dalam kalangan mereka,” katanya.
Pengurus
RSB, Sakinah Mohamad menganggap program ICM itu membuka minda anak asnaf dan anak yatim mengenai adab dalam hidup bermasyarakat serta tatasusila yang perlu dipupuk
supaya menjadi insan berakhlak mulia serta cemerlang akademik.
“Program ICM ini diharap menjadi contoh kepada pihak lain untuk turut sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutama dalam Pandemik Covid-19 sekarang,” katanya. - KitaReporters