KEJAYAAN sesebuah negara, bangsa, masyarakat mahupun keluarga diukur menerusi pencapaian cemerlang dalam bidang pendidikan sebagai tonggak utama kemajuan kemudiannya diikuti ekonomi dan sebagainya. Pendidikan menjamin masa depan sesuatu bangsa malah bagi pada peringkat keluarga sudah tentu dapat mencorak perubahan kehidupan masing-masing. : KitaReporters
Anak Orang Asli etnik Bateq yang tidak pernah kenal sekolah dibantu dan dipulihkan oleh sukarelawan beberapa buah NGO menerusi projek literasi Kelas Rimba Bateq Sungai Keniam di Kampung Cangkung, pedalaman Hulu Tembeling, Jerantut baru-baru ini. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
Lagi cerita-cerita berkaitan Orang Asli:
https://kitareporters.com/search?search=orang+asli
Dalam hal ini, tidak seperti nasib yang dialami kira-kira 50 orang kanak-kanak daripada 36 buah keluarga Orang Asli etnik Bateq di Kampung Cangkung, Hulu Tembeling, Jerantut kerana tidak pernah bersekolah walaupun sudah berusia wajib perlu memperoleh persekolahan formal berasaskan Akta Pendidikan 1966 di negara ini.
Kanak-kanak tersebut tinggal di Kampung Cangkung berdekatan pesisir Sungai Keniam (anak Sungai Tembeling) yang cuma boleh sampai dengan menggunakan bot penambang mengambil masa selama dua jam 20 minit dari jeti Taman Negara Kuala Tahan.
Peliknya, kenapa kanak-kanak suku kaum Negrito itu malah ibu bapa mereka tersisih daripada menerima pendidikan formal walhal negara sudah mencapai kemerdekaan sejak 63 tahun lalu.
Anak Orang Asli suku Negrito etnik Bateq tanpa menerima pelajaran hanya mengenali aktiviti 'survival' di hutan yang diwariskan oleh nenek moyang mereka sejak dahulu. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
Sukarelawan Bird Group Taman Negara, Roslan Abu Kassim (3 dari kiri) bersama penduduk Orang Asli etnik Bateq yang tidak pernah bersekolah walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan.
Tinjauan bersama rombongan anggota sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Bird Group Taman Negara (BGTN), Sahabat Jariah Malaysia (SJM), Ikhlas.com, Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) serta beberapa rakan NGO dari luar mendapati kanak-kanak Orang Asli Bateq yang berusia antara enam hingga 15 tahun tidak pernah langsung 'kenal sekolah' tetapi pada raut wajah mereka tergambar sangat berminat hendak belajar.
Penempatan etnik minoriti itu agak pedalaman ditambah pula mereka masih kuat dengan tradisi berpindah randah dan 'survival' di hutan mendominasi kehidupan sejak turun-temurun berkemungkinan menjadi punca kanak-kanak Kampung Cangkung tidak memperoleh pelajaran formal setelah mula mencapai usia lima atau enam tahun.
Penggunaan bot penambang selama dua jam lebih dari Kuala Tahan antara alternatif pengangkutan memunggah barang bantuan sumbangan NGO luar ke Kampung Cangkung, Sungai Keniam.
Berbanding dengan rakan mereka etnik yang sama di Kampung Dedari, Kampung Teresek/Tabung, Kampung Yong, Kampung Atok dan Kampung Aur yang sudah terdedah dengan dunia luar menerusi sektor ekopelancongan Taman Negara dan penduduk Melayu berdekatan telah membuka minda serta berpeluang menimba ilmu di sebuah sekolah rendah berdekatan Kuala Tahan.
Bertolak dari kebenaran itu, mujurlah ada NGO seperti SJM, Ikhlas.com, YFBM dari beberapa pertubuhan termasuk BGTN Kuala Tahan yang pantas cakna serta endah dengan senario pendidikan Orang Asli di pedalaman Pahang.
Komitimen yang sungguh murni dan futuristik untuk melihat generasi Orang Asli Bateq tidak ketinggalan dalam acuan pembangunan negara menyebabkan NGO tersebut telah mewujudkan projek literasi Kelas Rimba Bateq Sungai Keniam (KRBSK) bertujuan untuk memberikan pelajaran asas iaitu Membaca, Mengira dan Menulis (3M) dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli.
Penyampaian buku pembelajaran asas 3M dan peralatan menulis disempurnakan oleh beberapa buah NGO luar ketika melancarkan projek literasi Kelas Rimba Bateq Sungai Keniam (KRBSK) di Kampung Cangkung, pedalaman Hulu Tembeling, Jerantut pada 19 September 2020. Berdiri di sebelah kiri, Profesor Makateb Mohamed (SJM) - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
Projek tersebut telah bermula awal bulan ini melibatkan pembinaan tempat belajar daripada kayu hutan dan atap rumbia, manakala pakaian seragam, keperluan makanan sihat, papan putih, tempat masak dan logistik tertentu disediakan menerusi bantuan SJM dan rakan sukarelawan NGO, manakala BGTN Kuala Tahan sebagai penyelaras termasuk pengangkutan.
Anak-anak Orang Asli berkenaan juga menerima manfaat pengajaran dan pembelajaran (PdP) menerusi modul KRBSK apabila beberapa orang sukarelawan terdiri daripada beberapa orang guru dari Pulau Pinang diketuai Noor Aida Affida Abd Rahman yang menyediakan buku asas 3M, iaitu mata pelajaran Bahasa Malaysia, Matematik, bahasa Inggeris, Sayangi Diri serta alat tulis.
Seorang guru dari Pulau Pinang yang juga seorang sukarelawan, Noor Aida Affida Abd Rahman menyediakan modul mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk anak Orang Asli di Kampung Cangkung, Hulu Tembeling, Jerantut.
Modul pembelajaran anak Orang Asli Kampung Cangkung disediakan oleh beberapa orang guru berpengalaman dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Di sebalik kejayaan KRBSK itu juga disandarkan kepada idea tiga orang individu, iaitu El Musliha Katiman dan Profesor Maketab Mohamed (SJM) dan Roslan Abu Kassim selaku Pengerusi BGTN, Kuala Tahan yang bekerja keras sebelum ini telah membuat perancangan hasil daripada beberapa kali mengadakan program kemasyarakatan bersama penduduk Orang Asli Kampung Cangkung.
Menurut Roslan, dia serta rakan sukarelawan bersyukur kerana kesepakatan bersama BGTN Kuala Tahan, SJM, Yayasan Food Bank Malaysia dan beberapa NGO luar membuahkan hasil yang membanggakan apabila KRBSK mula dirintis dengan PdP pada 19 September 2020 lalu.
Sukarelawan BGTN, Roslan Abu Kassim sedang mengajar anak Orang Asli di Kelas Rimba Batek Sungai Keniam di Kampung Cangkung pada 27 September 2020 baru-baru ini. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
ROSLAN ABU KASSIM
"Saya amat bersyukur hasil kerja keras dan niat murni serta ikhlas untuk membantu Orang Asli Bateq kampung ini dipermudahkan oleh Allah sehinggalah kelas pertama dibuka di dalam bangsal kayu hutan dan beratapkan rumbia," katanya di Kampung Cangkung pada 27 September 2020 lalu selepas mengajar di KRBSK.
Roslan yang juga pemandu pelancong Taman Negara berkata, sehingga ini beliau serta dibantu dua orang lagi ahli BGTN, Jali a/l Arda dan Emma a/p Amir bergilir-gilir secara sukarela mengajar seramai 37 orang kanak-kanak berkenaan menguasai 3M yang diadakan pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Sukarelawan Sahabat Jariah Malaysia, El Musliha Katiman (barisan tengah, berdiri kiri) dan tenaga pengajar BGTN, Jali a/l Arda (tengah) dan Emma a/p Amir (kanan) turut membantu mengajar anak Orang Asli di Kampung Cangkung.
Anak-anak Orang Asli Bateq Kampung Cangkung berpotensi menjadi pelajar cemerlang seperti rakan mereka di tempat lain sekiranya diberi peluang dan ruang memperoleh pendidikan formal.
Sementara itu, sukarelawan SJM dari Kuala Lumpur, Rizwan Halim berkata, dia serta rakannya berasa simpati melihat kanak-kanak itu tidak pernah ke sekolah sedangkan cukup berminat untuk belajar ketika ditanya malahan mereka berpotensi menjadi insan yang cemerlang sekiranya diberi peluang sepenuhnya.
""Hasil lawatan sebelum ini dan sepanjang wabak COVID-19 ke kampung ini yang diketuai Presiden SJM, Johan Halid untuk menghantar makanan serta tugas kemasyarakatan bersama ahli BGTN, kita dapati anak-anak di sini ketinggalan dalam bidang pelajaran dan perlu pembelaan sewajarnya.
"SJM serta rakan NGO lain kerap kali ke sini (Kampung Cangkung) untuk memberikan bantuan makanan sepanjang tempoh wabak COVID-19 sebelum ini dan sempena hari raya sambil menitip motivasi kepada ibu bapa dan anak-anak Orang Asli mengenai pendidikan, keagamaan dan hal pembangunan negara," katanya.
Dua orang sukarelawan sedang menyediakan makanan waktu rehat untuk anak Orang Asli yang belajar di
Kelas Rimba Bateq Sungai Keniam di Kampung Cangkung pada 19 September 2020 baru-baru ini. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim.
ABDUL JALIL ABDUL RAHMAN
Dalam pada itu, ahli BGTN yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abdul Rahman berkata, sehingga ini seramai 53 orang kanak-kanak Orang Asli di penempatan berdekatan Kuala Tahan sahaja berpeluang menimba ilmu di SK Kuala Tahan menerusi program Chup Badui Sikulah (CBS) yang wujud beberapa tahun lalu dengan usaha BGTN dan NGO luar serta kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Jerantut dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
"Kita (BGTN) bersama NGO luar sedang berusaha untuk mengumpul dana bagi membuka kelas pembelajaran di beberapa penempatan Orang Asli Bateq di Hulu Tembeling supaya anak Orang Asli dapat menuntut ilmu, sekali gus mengubah mentaliti penduduk minoriti pedalaman ini supaya cakna dengan pelajaran serta peluang lain dalam pembangunan," katanya.
Anak Orang Asli Bateq berdekatan Taman Negara Kuala Tahan sudah menerima pelajaran formal sejak diperkenalkan program Chup Badui Sikulah di sebuah sekolah rendah berdekatan pusat pelancongan hutan tropika tersebut. - Kredit foto: FB Maketab Mohamed
NGO luar dan para dermawan dialukan menghulurkan sumbangan dan amal jariah untuk tugas sukarelawan membantu penduduk Orang Asli di pedalaman Hulu Tembeling dan mereka bolehlah menghubungi Roslan Abu Kassim menerusi talian 014 6051663 019 9965263 dan Pertubuhan Sahabat Jariah menerusi akaun Maybank bernombor 562759694628. - KitaReporters
Sukarelawan Ikhlas.com juga turut membantu Roslan Abu Kassim (kiri) mengajar anak Orang Asli Batek cara 'berbaris' yang betul sebelum masuk ke kelas untuk belajar. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim.
Anak Orang Asli Batek termasuk beberapa orang remaja yang berminat sedang belajar di Kelas Rimba Batek Sungai Keniam, Kampung Cangkung.