Insan & Komuniti 04 Apr, 2020

MANA ANAK-ANAK FELDA?? BANTULAH PENEROKA!

@rashid rahman
Memulakan kerjaya sebagai Wartawan Utusan Malaysia sejak Jun 2006 dan pernah bertugas di Ibu Pejabat (Kuala Lumpur), Sabah dan Pahang.

Share this

DALAM berhadapan krisis pandemik COVID-19, warga Felda termasuklah golongan peneroka yang sudah berusia turut terkesan dan terjejas sumber pendapatan. Dengan kira-kira 119,293 peneroka Felda di seluruh negara, tidak dicampur lagi generasi baharu di semua tanah rancangan Felda, kos yang besar diperlukan sama ada oleh Felda atau NGO Felda bagi membantu semua yang terkesan. : KitaReporters

Sumbangan barangan makanan dihantar ke Pejabat Felda Mempaga Satu untuk diagihkan kepada warga peneroka yang memerlukan.


Atas dasar inilah mendorong Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF), Datuk Amizar Abu Adam tampil membantu masyarakat Felda di tanah-tanah rancangan Felda di Pahang.

Tanpa peruntukan daripada kerajaan dan KAF sendiri tidak menghalang beliau yang merupakan anak peneroka Felda Chemomoi untuk tampil membantu menggunakan dana sendiri.

Datuk Amizar Abu Adam


"Masa inilah kita semua dan anak-anak Felda yang berjaya sama ada dalam perniagaan atau pun kerjaya tampil menghulurkan bantuan kepada masyarakat Felda.

"Jadi sumbangan daripada anak-anak Felda yang berjaya tidak kira berapa banyak amat berharga bagi membantu masyarakat Felda pada masa ini, selain bantuan kepada barisan hadapan yang berada di Felda," katanya di Bentong pada Jumaat, 3 April 2020.  

Bantuan barangan makanan dihantar ke pejabat Felda bagi disalurkan kepada warga Felda yang memerlukan.


Menurutnya, dengan menggunakan wang sendiri, beliau dan anak-anak Felda telah berjaya menghulurkan bantuan makanan kepada peneroka Felda di tanah rancangan di negeri ini seperi Mempaga dan juga Felda Chemomoi.

Tambahnya, bantuan turut disalurkan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) seperti di Balai Polis Bentong, Balai Polis Telemong, Balai Polis Manchis dan Hospital Bentong.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan pemimpin utama KAF berkata, kekurangan dana dari KAF bukanlah penghalang kepadanya untuk membantu.

Bantuan berupa makanan diberikan kepada warga Felda yang memerlukan.


Katanya, sebagai anak peneroka dia berasa bertanggungjawab membantu masyarakat Felda walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

"Saya akan cuba membantu dan dengan bantuan rakan-rakan anak Felda yang berjaya bantuan akan dilakukan berterusan sehingga wabak COVID-19 berakhir," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jika semua anak Felda yang berjaya tampil menghulurkan bantuan di kawasan masing-masing, warga peneroka akan terus terbela dan tidak akan terbeban.

Justeru beliau turut menggesa lebih ramai anak peneroka Felda yang berjaya tampil membantu warga Felda yang berada dalam kesukaran pada masa ini. - KitaReporters

7
0
2
2
2
You will be interested