Insan & Komuniti 12 Apr, 2020

TOLONG KAMI!! PELATIH ILKBS NAK BALIK RUMAH!!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this

PELATIH Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dan kolej kemahiran vokasional tempatan yang tertangguh menjalani latihan amali @ praktikal di seluruh negara, memohon kerajaan membenarkan mereka pulang ke kampung halaman berikutan perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKPK) selama dua minggu lagi sehingga 28 April 2020. - KitaReporters

SOS dari pelatih...minta kebenaran untuk pulang ke kampung halaman.


Presiden Persatuan Alumni ILKBN,  Haji Samsudin Oli Mohamed memberitahu buat masa ini, dia dihubungi oleh ramai pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah ILKBS, yang tertangguh latihan amali itu. Mereka kini terkandas di Pulau Langkawi, Kedah, Lembah Klang dan Perak sejak 10 lalu. 

Pelatih itu bimbang ekoran lanjutan PKP itu, mereka sukar dapat bekalan makanan, minuman dan tempat tinggal.

Beliau berkata, pada masa ini, pelatih itu tinggal di asrama yang disediakan oleh majikan selain rumah sewa, rumah kawan-kawan dan menumpang kasih dengan saudara mara sepanjang tempoh menjalani latihan amali itu.

Haji Samsudin Oli Mohamed, Presiden Persatuan Alumni ILKBS


Samsudin berkata, Alumni ILKBS sedang berhubung dengan semua pelajar amali terbabit untuk mengumpul maklumat bagi mengatur usaha mendapatkan kebenaran agar mereka dibenarkan pulang ke rumah atau menghubungi ILKBS mereka supaya dapat menumpang di ILKBS berhampiran. 

Pelatih itu sudahpun menjalani `kurantin` dengan tidak pergi menjalani kursus amali itu sejak 14 Mac 2020, sebelum PKPK berkuat kuasa pada 18 Mac 2020.

"Terbaru saya menerima aduan daripada pelatih yang menjalani latihan di hotel Langkawi, memohon untuk pulang pertengahan bulan ini. 

"Rumahnya di Petaling Jaya dan kami harap supaya dia dan pelatih lain dibenarkan pulang untuk berpuasa," katanya.

Bantuan RM200 kepada pelatih belia seperti pelajar IPT

Dalam pada itu, Samsudin juga berkata Alumni ILKBS sudah mengemukakan rayuan kepada kerajaan untuk membela nasib 5,000 pelatih di 22 institut latihan belia supaya dipertimbangkan pemberian bantuan RM200 seorang yang sebelum ini diperuntukkan kepada pelajar pusat pengajian tinggi.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan peruntukan RM270 juta sebagai insentif untuk pelajar IPT di seluruh negara.

Beliau berkata, rayuan itu membabitkan pelatihan yang sedang melanjutkan latihan peringkat sijil dan diploma di lapan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara  (IKTBN), 13 Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan sebuah Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) di seluruh negara. 

Pelatih ini kini turut tertangguh pengajian mereka sebaik PKP dikuatkuasakan dan sesetengah IKBN pula digunakan sebagai pusat kurantin negara.

"Mereka perlu juga diberikan elaun ini kerana kerajaan sudah mengumumkan RM200 kepada IPT menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. 

"Sedikit sebanyak bantuan ini dapat membantu belia berdepan dengan kegawatan ekoran penularan wabak Covid19 di seluruh dunia," tegas Samsudin lagi.

Seorang lagi ahli Alumni ILKBS, Basok Alwi turut mengemukakan laporan kepada kerajaan jangan mengabaikan pelatih IPT dan TVET yang sedang menjalani latihan praktikal kerana ada yang terkandas dengan menumpang kasih dengan majikan dan rakan-rakan mereka


Azim Azri, Presiden MPP IKTBN Alor Gajah

Sementara itu Presiden Majlis Perwakilan IKTBN Alor Gajah, Azim Azri, 19, ketika menyokong usul berkenaan berharap sumbangan RM200 itu dapat dinikmati semua pelajar khususnya 678 pelatih di Melaka.

"Saya berharap sumbangan ini menceriakan warga IKTBN, AG dan ILKBS terutama pelatih amali di seluruh negara.

"Sebahagian besar pelatih daripada keluarga yang susah dan duit itu nanti akan dapat digunakan sepanjang PKP atau urusan buka kolej nanti," katanya. - KitaReporters

1
0
0
0
0
You will be interested