Insan & Komuniti 24 Feb, 2021

Kediaman warga emas hangus dalam kebakaran! Wakil rakyat turun padang beri bantuan, sumbangan

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

Api marak menjilat hangus kediaman pusaka seorang warga emas, Zahrah Salleh di Kampung Bukit Kor, Batu Balai, Jerantut pada 22 Februari 2021. - Kredit foto: FB Pejabat ADUN Damak


Orang-orang tua sering mengingatkan kita, 'Api pada mulanya sebagai kawan, tetapi lama-kelamaan menjadi lawan'.

Apabila semakin marak bertukar menjadi lawan dan musibah itu mampu memusnahkan harta benda hatta nyawa mangsa sekalipun.   

Begitulah nasib yang ditempuh oleh seorang warga emas, Zahrah Salleh, 82, ketika dia bersama penduduk masih berdepan ancaman pandemik COVID-19 belum berpenghujung, tetapi Allah telah menguji kesabarannya apabila rumah pusaka miliknya hangus dalam kebakaran di Kampung Bukit Kor, Batu Balai yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Jerantut.


Lagi kisah-kisah duka berkaitan kebakaran:

https://kitareporters.com/search?search=kebakaran


Kredit foto: FB Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang


Dalam kejadian kebakaran pada pukul 10.50 pagi, 22 Februari 2021, kediaman Zahrah yang juga seorang ibu tunggal musnah sama dijilat api sekali termasuk peralatan rumah dan sebuah motosikal.

Menurut laporan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook pada 22 Februari 2021 menyebut seramai enam orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut serta dibantu lima orang anggota sukarela pekan Damak telah berkejar ke tempat kejadian selepas menerima  laporan orang ramai.


Anggota bomba dan penyelamat menjalankan operasi pemadaman di kediaman seorang warga emas di Kampung Bukit Kor, Batu Balai, Jerantut pada 22 Februari 2021. - Kredit foto: FB Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang


"Ketika tiba di lokasi, kebakaran rumah yang berukuran 60 x 30 kaki persegi sudah hampir 60 peratus mengalami kemusnahan. 

"Operasi pemadaman diteruskan dan tidak ada mangsa yang cedera semasa kejadian ini," laporan yang dihantar menerusi laman sosial Facebook Bomba dan Penyelamat Pahang pada 22 Februari 2021.


Cuma tinggal rangka kayu dan tiang ... anggota bomba dan penyelamat memadamkan api yang masih bernyala di kawasan kediaman warga emas yang hangus di Kampung Bukit Kor, Batu Balai, Jerantut. - FB Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang  


Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud yang bergegas ke Kampung Bukit Kor pada pukul 11.30 pagi, 22 Februari 2021 berkata, pihak bomba telah memaklumkan 100 peratus kemusnahan kediaman itu selepas selesai operasi pemadaman.


Zuridan Mohd Daud (depan, kiri) bersama seorang anggota pihak berkuasa beruniform melawat kawasan kebakaran di Kampung Bukit Kor, Batu Balai, Jerantut pada 22 Februari 2021. - FB Pejabat ADUN Damak


"Saya difahamkan ketika kejadian Puan Zahrah Salleh tiada di rumah kerana menziarahi saudaranya di tempat lain, cuma anak lelakinya sahaja yang tinggal  berseorangan, tetapi tidak mengalami kecederaan dalam kejadian ini.

"Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Damak akan berusaha membantu warga emas ini seperti keperluan dapur, peralatan tidur dan sebagainya. 

"Saya juga akan memohon bantuan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk mendapatkan peruntukan projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi merealisasikan kediaman baharu warga emas ini," katanya di Kampung Bukit Kor, Batu Balai, Jerantut pada 22 Februari 2021.


Zuridan Mohd Daud (depan, kiri) bersama pegawai agensi kerajaan, pihak berkuasa beruniform dan ahli JKKK sedang berbincang mengenai usaha bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Bukit Kor, Batu Balai, Jerantut. - Kredit foto: FB Pejabat ADUN Damak  


Menurut beliau, keluarga itu masih di bawah pemantauan kebajikan oleh pihak JKKK dan buat sementara waktu menumpang di rumah saudara mara terdekat. 

Zuridan yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pahang berharap semoga Zahrah dan keluarganya bersabar atas ujian Allah SWT dan beristiqamah  dengan kejadian itu.  


Ahmad Nazlan Idris (tiga dari kiri) sedang menyampaikan bantuan wang tunai dan barang keperluan dapur kepada ahli keluarga mangsa kebakaran di Kampung Bukit Kor, Batu Balai, Jerantut pada 22 Februari 2021. - Kredit foto: FB Nazlan Idris 


Dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang melawat ke tempat kejadian kebakaran berkata, beliau amat  prihatin serta bersimpati dengan nasib mangsa kebakaran itu yang juga seorang warga emas.

"Selepas kejadian ini, saya bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Ugama Islam Pahang, Angkatan Pertahanan Awam (JAPM) hadir  menyumbangkan wang tunai, barang keperluan dapur dan  peralatan tidur," katanya di Kampung Bukit Kor, Batu Balai Jerantut pada 22 Februari 2021.

Menurut Ahmad Nazlan, bantuan itu berasaskan nilai kemanusiaan dan rasa simpati dengan nasib warga emas ini yang juga ibu tunggal secara langsung dapat meringankan kesusahan dan perbelanjaan dalam tempoh pemulihan selepas musibah ini.

"Saya juga berterima kasih kepada JKM, Majlis Ugama Islam Pahang, JAPM, JKKK dan para dermawan yang beramal jariah menerusi bantuan kecemasan kepada warga emas ini," ujarnya. - KitaReporters


Ahmad Nazlan Idris (empat dari kanan) menyaksikan bantuan keperluan dapur dan peralatan tidur disampaikan oleh pegawai JKM kepada wakil keluarga mangsa kebakaran di Kampung Bukit Kor, Batu Balai, Jerantut. - Kredit foto: FB Nazlan Idris   

2
0
1
0
0
You will be interested