Insan & Komuniti 16 Jun, 2022

Video| Mata kanan rosak, mata kiri guna kanta pembesar! Ibu tujuh anak tamatkan PhD! Enam Tahun!

@adzin naim mohammad
Penulis merupakan pelajar lepasan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Komunikasi Penyiaran. Berpengalaman dalam bidang kewartawanan, pengacaraan, penulisan skrip dan fotografi. Penulis juga merupakan seorang tutor yang mengajar dalam subjek Matematik dan Bahasa Melayu.

Share this

Dr Nor Hayati Samba Mohamed menggunakan kanta pembesar selepas mata kirinya menghidap lekangan retina.

MELANJUTKAN pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah sudah semestinya menuntut kita untuk lebih cekal dan tabah dengan pelbagai cabaran yang bakal dihadapi.

Ramai tidak nampak realiti menjadi seorang pelajar dan belajar ini adalah bukan satu perkara yang mudah.

Begitu juga pengalaman yang dihadapi seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan yang mengambil masa selama enam tahun untuk menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan majlis konvokesyen


Pensyarah UiTM itu Nor Hayati Samba Mohamed, 52, berkata meskipun mengambil masa selama enam tahun, beliau bersyukur dapat menghabiskan pengajiannya dalam bidang perakaunan.

Walaupun mengalami masalah penglihatan iaitu mata kanan tidak berfungsi, ia sama sekali tidak melunturkan semangat seorang ibu tujuh anak untuk memperoleh PhD. Malah anak-anak dan suami menjadi pembakar semangat untuknya menggapai ijazah doktor falsafah itu.

“Tipulah, jika tidak pernah ada rasa putus asa, pernah rasa mahu menjual tanah untuk membayar semula duit kerajaan (biasiswa).

“Pernah juga satu tahap, rasa macam sudah tidak nampak (hala tuju) kerana tiada hasil. Bersyukur ada penyelia yang sangat menyokong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, semalam, 16 Jun 2022.



Dr Nor Hayati kini terpaksa menggunakan kanta pembesar selepas mata kirinya menghidap lekangan retina bagi menjalani kehidupan seharian selepas mata kirinya pula menghidap lekangan retina, namun, hal itu tidak memadamkan cita-citanya untuk meraih skrol PhD.

“Tahun lepas, selepas selesai PhD saya terpaksa lalui dua kali pembedahan mata kiri. Mata kanan tidak berfungsi sejak 10 tahun lepas, hanya menggunakan mata kiri sahaja.

“Mungkin terlalu mengharapkan mata kiri, ia terlalu stres sehingga jadi seperti ini (tidak nampak),” katanya yang telah menghasilkan dua buah buku berkaitan kewangan.

Selepas selesai temu bual, wanita cekal itu dibantu oleh staf UiTM bagi mendapatkan suaminya yang menunggu di pekarangan dewan memandangkan penglihatannya yang sangat minimum telah membantutkan pergerakannya.


NORHAYATI Sambak bersama Abang Faisal Yaman menerima Ijazah Doktor Falsafah masing-masing.

Sementara itu, seorang pegawai polis ASP Abang Faisal Yaman, 54, melahirkan rasa syukur selepas penantiannya selama tujuh tahun bagi memperoleh PhD dalam pengurusan korporat akhirnya tercapai

Selain sokongan rakan-rakan, Ketua Cawangan Pengajian Latihan Asas/Lanjutan di Pulapol Kota Kinabalu itu berkata kemahuannya mahu memakai bonnet atau topi PhD mendorongnya untuk terus berusaha.

“Jika mahu belajar PhD perlu pandai membahagikan masa dan perlu mencari titik perubahan supaya terus bersemangat.

“Saya akan pastikan dalam masa satu hari, dua jam akan diperuntukkan untuk PhD. Jika bekerja di luar kawasan saya mesti bawa komputer riba, sebab itu nadi kita supaya kita tidak lupa,” katanya.

Bapa dua anak itu berharap kejayaannya itu memberikan galakan buat rakan dan anak-anaknya untuk terus belajar ke peringkat tertinggi.

Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana dan Sarjana Muda kepada 1,124 graduan UiTM pada hari kedua istiadat konvokesyen tersebut. - KitaReporters


10
9
0
11
0
You will be interested