Ketua Wanita UMNO Cawangan Taman Pinggiran Pedas di Rembau, Marzuzah Abdul Hamid (kanan) turut melawat Subuh Ma'arof bersama-sama Zazali Ahmad (tengah).
ALANGKAH beruntungnya memiliki jiran yang mengambil berat dan sentiasa bersedia menolong kita apabila ditimpa musibah. Ini adalah kerana jiran yang rapat dan mesra merupakan kenalan yang lebih mengetahui keadaan kehidupan kita.
Atas usaha jiran di Taman Pinggiran Pedas, Rembau, Negeri Sembilan, bekas anggota polis, Subuh Ma’arof , 69 dan pemandu lori, Zaidi Ali, 34, berasa terharu apabila nasib mereka mendapat pembelaan daripada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin selepas menghadapi masalah kesihatan.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Rembau:
https://kitareporters.com/search?search=rembau
Pengerusi Surau Nur Iman taman itu, Abdul Samah Abdul Samad, berkata sebaik sahaja mengetahui keadaan dua jiran itu dia bersama-sama ahli jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan UMNO cawangan taman berkenaan mengambil inisiatif menghubungi pejabat ahli Parlimen bagi mendapatkan bantuan.
Menurut beliau, perkara itu akhirnya mendapat perhatian Khairy dan menerusi Pegawai Khasnya, Zazali Ahmad yang datang menziarah dua jiran itu di samping menyampaikan bantuan pampers dan wang tunai sumbangan ahli Parlimen berkenaan 26 Januari 2021 lalu.
Bekas anggota Polis, Subuh Ma'arof yang lumpuh.
“Zazali turut menzahirkan rasa sedih serta simpati Khairy terhadap musibah yang menimpa Subuh dan Zaidi selain berharap sumbangan itu akan meringankan bebanan keluarga mereka terutama pada masa pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini,” katanya.
Abdul Samah berkata, Subuh terlantar di atas katil beberapa tahun lalu kerana menghidap sakit lumpuh serta amat sukar untuk bergerak dan sepanjang hari beliau ditemani isterinya Maimon untuk mengurus makan minum, menukar pampers dan sebagainya.
Abdul Samah Abdul Samad (kiri), Zazali dan Muhd Zin Abas (kanan) bersama-sama Zaidi Ali yang cedera dalam kemalangan ke tempat kerja.
Menurut
beliau, manakala Zaidi pula terbabit dalam kemalangan ketika bermotosikal untuk
ke tempat kerja di Port Klang, Selangor yang mengakibatkan dia mengalami kecederaan patah
kaki kiri dan tulang belakang sementara tulang pinggul retak sejak tiga bulan
lalu.
“Zaidi hanya mampu berkerusi roda untuk bergerak dan masih tidak mampu untuk berdiri berikutan kecederaan yang dialaminya itu akan mengambil masa untuk pulih seperti sedia kala,” kata Abdul Samah.
Maimon setia menemani suaminya, Subuh setiap hari.
Sementara itu, Subuh melahirkan rasa gembira apabila menerima sumbangan pampers dan wang tunai itu yang akan dapat meringankan bebanan keluarga beliau yang amat memerlukan sumber kewangan tambahan bagi mendapatkan ubat alternatif serta untuk pembelanjaan harian.
Zaidi pula
terharu dengan keprihatinan jiran di taman itu kerana mengambil berat keadaan
kesihatan dirinya dan berusaha mendapatkan bantuan daripada Ahli Parlimen yang
menghantar wakil bagi bertanya khabar.
Turut hadir mengiringi Zazali dalam lawatan itu ialah Pengerusi Kawasan Rukun Tetanggan (KRT) yang juga Penasihat Surau Nur Iman taman itu, Muhd Zin Abas dan Ketua Wanita UMNO cawangan taman berkenaan, Marzuzah Abdul Hamid. - KitaReporters